8 May 2010

Kertas Kerja yang Hilang

Pada 6 Oktober 2001, saya dan Saroja Theavy Balakrishnan membentangkan kertas kerja pada Seminar Kesusasteraan Bandingan Malaysia 2001: Selangor Darul Ehsan di Muzium Alam Shah, Shah Alam.
.

Apa yang menarik, Puan Saroja menghubungi saya melalui telefon selepas beliau terbaca di akhbar bahawa kami berdua turut dijadualkan membentangkan “proses kreatif” kami pada seminar yang dijadualkan pada 6 & 7 Oktober 2001.

.

Tentulah amat menghairankan kerana kami tidak tahu-menahu mengenai seminar itu dan tidak pernah dihubungi pihak penganjur. Untuk berlaku adil, saya sendiri menghubungi pihak penganjur yang memberi alasan bahawa mungkin pegawai yang dipertanggungjawabkan “terlupa” menghubungi kami berdua.

.

Saya dan Puan Saroja memutuskan untuk segera menulis kertas kerja untuk dibentangkan kerana nama kami sudah dimasukkan dalam jadual. Saya sendiri yang membawa dan menyerahkan kertas kerja kami berdua kepada pihak penganjur pada 2 Oktober 2001 untuk difotokopi supaya dapat diedarkan kepada hadirin/peserta seminar.

.

Anehnya, pada hari seminar berlangsung, saya dimaklumkan bahawa kertas kerja saya “hilang” dan hanya kertas kerja Puan Saroja sempat difotokopi untuk diedarkan.

.

Memandangkan saya tidak membawa salinan kertas kerja berkenaan, apabila tiba giliran saya untuk membuat pembentangan, saya memberitahu hadirin/peserta bahawa saya hanya akan bercakap selama lima minit.

.

Penganjur pula berjanji bahawa kertas kerja saya akan difotokopi dan diedarkan kepada hadirin/peserta pada 7 Oktober 2001. Bagaimanapun, janji itu hanya tinggal janji.

.

Ahmad Muhammad menulis laporan bertajuk “Penulis Malaysia Kurang Wawasan” mengenai seminar itu dan disiarkan dalam Berita Harian, 2 November 2001. Manakala kertas kerja saya bertajuk “Mengapa Saya Menulis Karya Bahasa Malaysia?” dimuat di ruang siber supaya boleh dibaca oleh semua.