10 May 2010

4 Pelakon, 1 Watak

Seorang pelakon memegang beberapa watak bukan sesuatu yang baru dalam industri filem. Begitu banyak filem menampilkan pelakon yang memegang watak adik-beradik, kembar seiras, bapa-anak, datuk-cucu. Malah, tidak kurang juga filem menampilkan watak serupa (seiras) tanpa sebarang pertalian keluarga. Kononnya ada tujuh orang yang menyerupai kita di dunia.
.

Legenda filem Tamil, mendiang Sivaji Ganesan (1 Oktober 1928 – 21 Julai 2001), pernah memegang sembilan watak dalam filem Navarathri (1964). Filem berkenaan pernah dibikin semula dalam versi Telegu pada 1966 di mana Akkineni Nageswara Rao melakonkan sembilan watak.

.

Kamal Haasan yang memang sudah biasa melakonkan beberapa watak kembar seiras dalam banyak filem pula memegang sepuluh watak dalam filem Dasavathaaram (2008).

.

Pada 3 Mei 2010, saya berkesempatan menonton filem The Imaginarium of Doctor Parnassus (2009) yang penuh magis. Saya tidak mahu menyentuh mengenai plot dan cerita yang disajikan.

.

Sebaliknya, saya tertarik kerana watak Tony dilakonkan oleh empat pelakon berbakat. Pelakon asal yang memegang watak itu ialah Heath Ledger (4 April 1979 – 22 Januari 2008).

.

Berikutan kematian mengejut Ledger, proses perfileman tergendala sebentar. Kemudian, pelakon pengganti dicari. Maka, watak Tony dalam filem ini turut dilakonkan oleh Johnny Depp, Colin Farrell dan Jude Law.

.

Malah, Tom Cruise turut menyatakan minat untuk melakonkan watak Tony tetapi ditolak oleh pengarah/penerbit/penulis, Terry Gilliam, kerana Cruise tidak termasuk dalam senarai individu yang rapat dengan Ledger semasa hayatnya.

.

Selepas sudah biasa menonton filem-filem yang menampilkan seorang pelakon memegang beberapa watak, agak menarik juga menonton filem di mana empat pelakon memegang satu watak.

.

Kehadiran Christopher Plummer sebagai Doctor Parnassus juga menjadikan filem lebih menarik dan menjanjikan santapan minda bagi khalayak bermentaliti tinggi. Sila KLIK DI SINI untuk ke laman sesawang rasmi The Imaginarium of Doctor Parnassus.