11 May 2010

Mao’s Last Dancer

Maklumat terkini menyebut bahawa beliau menjawat suatu jawatan tinggi dalam sebuah firma broker saham di Melbourne, Australia selain menjadi pakar motivasi. .
..

Beliau yang yang berpindah ke Australia pada 1995 menerima anugerah Australian Father of the Year (2009) mempunyai tiga anak (Sophie, Thomas dan Bridie) hasil perkongsian hidup bersama penari balet Australia, Mary McKendry; wanita yang mula-mula beliau temui di Beijing, China. Pada tahun 1970-an.

.

Individu yang saya maksudkan ialah Li Cunxin. Terus terang, saya tidak pernah mendengar nama beliau sebelum ini. Bagaimanapun, sebaik melihat judul DVD Mao’s Last Dancer (2009), saya terus membelinya; apatah lagi selepas membaca di kulit belakang DVD bahawa filem Australia itu berdasarkan autobiografi dengan judul yang sama.

.

Ternyata – sekali lagi – saya tidak tersilap membuat pilihan. Filem arahan Bruce Beresford yang saya tonton pada 8 Mei 2010 membantu saya mendekati “roh” masyarakat China (bezakan dengan “Cina”); khususnya semasa dan sejurus selepas berakhirnya pemerintahan Mao Zedong (26 Disember 1893 – 9 September 1976) di China.

.

Saya yakin bahawa Chi Cao, Chengwu Guo dan Huang Wen Bin telah melakonkan sebaik-baiknya kisah Li Cunxin yang lahir pada 26 Januari 1961 dalam sebuah keluarga miskin di wilayah Shangdon. Filem ini – dan tentunya kisah Li Cunxin – merentas batas geografi dan etnik. Pengalaman beliau bersifat universal dan tentu sahaja boleh mengingatkan kita kepada pengalaman sendiri; dalam versi yang berbeza.

.

Kisah dalam filem berakhir dengan Li Cunxin kembali ke kampungnya – tentunya selepas melalui pelbagai cabaran hidup yang menyentuh minda dan jiwa – bersama-sama isteri keduanya, Mary McKendry. (Apa yang berlaku kepada isteri pertama, Elizabeth Mackey, boleh disaksikan pada maklumat yang disiarkan di akhir filem.)

.

Sekiranya saudara berpeluang menonton filem ini, jangan lupa menghayati sepenuhnya lima saat terakhir babak Li Cunxin menari bersama Mary McKendry di halaman rumah ibu bapanya; sebelum kredit filem.

.

Memandangkan saya pernah belajar seni persembahan semasa di Universiti Malaya, maka memudahkan saya menghayati dan memahami persembahan balet yang dipaparkan dalam filem ini yang pertama kali ditayangkan semasa Festival Filem Antarabangsa Toronto pada 13 September 2009.

.

Autobiografi Mao’s Last Dancer (2003) juga khabarnya mendapat sambutan hangat serta pengiktirafan berupa anugerah Book of the Year di Australia.

.

Autobiografi berkenaan turut diterbitkan dalam versi buku berilustrasi bagi kanak-kanak dengan judul Mao’s Last Dancer: The Peasant Prince (2008) di mana buku itu menang Australian Publishers Association’s Book of the Year for Younger Children dan Queensland Premier’s Literary Awards Children's Book Award.

.

Membaca autobiografi berkenaan – atau menonton versi filem – pasti menyentuh hati, perasaan dan minda.