12 May 2010

Teater Bahasa Malaysia

Bahasa Malaysia bukan milik kaum tertentu. Apabila mempersembahkan karya (teater, drama, cerpen) dalam Bahasa Malaysia, tidak bermakna wajib mengangkat tema dan budaya kaum Melayu.
.

Demikian antara perkara yang disentuh secara langsung dan tidak langsung oleh Timbalan Pengarah Bahagian Kokurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia, Encik Samsuri Sujak dan Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Tuan Haji Mesran Mohd Yusop dalam ucapan mereka.

.

Encik Samsuri berucap mewakili Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Dom manakala Tuan Haji Mesran mewakili Ketua Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Dato’ Norliza Rofli pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Teater Bahasa Malaysia Antara Sekolah-sekolah Tamil Peringkat Kebangsaan Ke-4 di Taman Budaya, Kuala Lumpur pada petang 8 Mei 2010.

.

Saya diundang sebagai pengacara majlis oleh penganjur, Fenomena Seni Pentas bagi kali ketiga. 40 sekolah mengambil bahagian tahun ini; dan khabarnya lebih ramai guru Melayu terlibat melatih murid-murid.

.

Daripada pengalaman saya mengikuti pertandingan ini sejak 2007, kata-kata yang diungkapkan dalam ucapan tadi memang pedas tetapi suatu hakikat yang nyata dan memalukan.

.

Pandangan bahawa Bahasa Malaysia adalah milik eksklusif kaum tertentu masih ketara; hingga ke tahap tidak membenarkan penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” kerana kononnya istilah itu menafikan “ketuanan” kaum tertentu terhadap bahasa berkenaan.

.

Saya secara peribadi bersetuju menjalankan tugas pengacara majlis kerana penganjur mengiktiraf “Bahasa Malaysia”. Malah, tetamu kehormat yang berucap turut menerima hakikat penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” apabila merujuk pada bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini. Tidak pula timbul masalah.

.

Satu lagi pandangan yang dinyatakan adalah mengenai tabiat mengangkat tema dan budaya Melayu semata-mata kerana pertandingan teater ini menggunakan Bahasa Malaysia.

.

Suatu hakikat yang amat memalukan adalah bahawa masih ramai kaum India (warga emas, dewasa, belia, remaja, kanak-kanak) yang beranggapan apabila sebuah karya (drama, cerpen, filem, hatta karangan peringkat UPSR) menggunakan Bahasa Malaysia (atau “Bahasa Melayu”) maka ia wajib mengangkat tema, persoalan, watak, kebudayaan dan agama kaum Melayu!

.

Puak seperti inilah yang membantutkan usaha pembinaan Bangsa Malaysia melalui Bahasa Malaysia. Mereka lupa – atau tidak mampu menerima hakikat – bahawa Bahasa Malaysia adalah milik sah setiap warganegara Malaysia. Mereka lupa: Satu Bahasa, Pelbagai Budaya.

.

Kedangkalan dan kejahilan ini saya perhatikan berterusan dalam Pertandingan Teater Bahasa Malaysia Antara Sekolah-sekolah Tamil Peringkat Kebangsaan Ke-4.

.

SJKT Bandar Mentakab, Pahang mempersembahkan kisah Si Tanggang. SJKT Sungai Renggam, Selangor dengan kisah mengenai keluarga Lamin. SJKT Nigel Gardner, Selangor yang membawa kisah binatang (ayam, kambing, kerbau) masih tidak dapat lari daripada mengangkat kisah bahawa pemilik binatang itu seorang petani Melayu.

.

SJKT Mahatma Gandhi Kalasalai, Perak mempersembahkan kisah keluarga Talib (kalau tidak salah, diangkat daripada sebuah cerpen dalam Dewan Pelajar atau e-baca). SJKT Saraswathy, Sungai Buloh dengan kisah mengenai Kamil, Pak Min dan Cikgu Aishah. Kisah majlis kesyukuran keluarga Kamal dan Pak Mat diangkat oleh SJKT Sithambaram Pillay, Teluk Intan.

.

Terbukti tanggapan negatif mengenai Bahasa Malaysia dan teater Bahasa Malaysia masih amat ketara. Saya tidak pasti di mana silapnya: penganjur, guru besar, guru, murid atau masyarakat.

.

Kisah Sang Kancil (yang universal dan pada realitinya disadur dari kisah dari India) dibawakan SJKT Ladang Wellesley, Kedah. Adaptasi suatu babak filem Thiruvilayadal dipersembahkan SJKT Jalan Yahya Awal, Johor Bahru. Versi moden Ramayana pula oleh SJKT Ladang Sungai Salak, Negeri Sembilan.

.

Tema universal fauna dan flora dipersembahkan SJKT Batu Caves, Selangor. Kisah keluarga Puan Lecthumy oleh SJKT Persiaran Raja Muda Musa, Selangor. Kisah jiran Cina dibawakan SJKT Sungai Besi, Kuala Lumpur manakala kisah tiga keluarga oleh SJKT Mak Mandin, Pulau Pinang.

.

Mujurlah ada juga pihak yang memahami makna sebenar “Bahasa Malaysia” dan “teater Bahasa Malaysia”! Saya percaya, tidak keterlaluan untuk mengharapkan dan mengimpikan “kejernihan fikiran” yang lebih nyata menjelang Pertandingan Teater Bahasa Malaysia Antara Sekolah-sekolah Tamil Peringkat Kebangsaan Ke-5 (2011).