Filem arahan Chuck Russell berdasarkan epik Ramayana khabarnya turut menampilkan Gary Oldman sebagai Ravana dan Aamir Khan sebagai Hanuman. Penggambaran pula di lakukan di beberapa lokasi di Rajasthan, India dan di beberapa studio di Hollywood.
Saya tidak pasti jika akan ada sebarang protes daripada golongan fanatik berhubung filem ini. Kalaulah filem ini diharamkan sekali pun, saya tetap akan mencari jalan untuk menonton filem Hanuman.
Untuk makluman, saya pernah menghasilkan novel Hanuman: Potret Diri (1996) dan kemudian diadaptasi menjadi teater di Johor pada Julai 2005.
Bercakap mengenai Hanuman dan Ramayana, industri filem Tamil juga dijadual menampilkan filem Raavanan yang dialih bahasa sebagai Villain dalam versi Telegu.
Filem berkenaan ditulis, diterbitkan dan diarah oleh Mani Ratnam yang pernah menyajikan khalayak dengan filem-filem hebat seperti Nayagan (1987), Anjali (1990), Thalapathi (1991), Bombay (1995), Iruvar (1997), Uyire/Dil Se (1998) dan Kannathil Muthamittal (2002).
Kalau dalam filem Thalapathi (1991), Mani Ratnam menampilkan versi moden kisah dari epik Mahabharata, dalam Raavanan (2010) pula disajikan versi moden epik Ramayana.
Vikram memegang watak Veera (Ravana), Prithviraj (Rama), Aishwarya Rai (Sita), Karthik (Hanuman), Munna (Lakshmana) dan Priyamani (Surpanaka).
Dalam filem Raavanan, kisah disampaikan dari sudut Veera (Ravana) manakala Rama menjadi antagonis. Hal ini mengingatkan saya pada filem Ilangeswaran (1987) di mana kisah disampaikan dari sudut Ravana; serta novel Hanuman: Potret Diri (1996) dan beberapa cerpen parodi yang saya hasilkan.
Filem Raavanan turut diterbitkan dalam versi Hindi (Raavan) di mana Vikram memegang watak antagonis dan Abhishek Bachan memegang watak protagonis. Aishwarya Rai memegang watak isteri (Sita) dalam kedua-dua versi.
.