22 Oct 2018

Alat Muzik Thavil dan Nadaswaram


Kehidupan manusia tidak dapat dipisahkan daripada muzik. Muzik adalah kehidupan. Setiap rentak dan gerak geri boleh dikaitkan dengan muzik. Begitu juga dengan upacara dalam kalangan kaum India. Pelbagai alat muzik digunakan dalam upacara di kuil dan juga semasa upacara keagamaan.

Dua jenis alat muzik yang kerap digunakan di kuil adalah thavil dan nadaswaram. Kedua-duanya jarang dipisahkan. Kedua-duanya adalah instrumen yang paling lazim dalam setiap upacara tradisional, terutamanya semasa upacara perkahwinan.

Thavil (தவில்) adalah alat muzik perkusi yang berbentuk silinder. Bahagian sebelah kanan adalah lebih besar diameternya berbanding bahagian sebelah kiri. Kedua-dua bahagian ini mempunyai ketegangan yang berbeza untuk menghasilkan bunyi yang berbeza.


Thavil dimainkan dengan menggunakan jari dan tapak tangan di bahagian kanan manakala  sejenis kayu khas (pendek dan tebal) digunakan di bahagian kiri. Pemain thavil boleh menggunakannya sambil berdiri atau duduk mengikut situasi.

Nadaswaram pula adalah alat muzik yang ditiup oleh pemainnya. Secara tradisional, nadaswaram diperbuat daripada pokok yang dipanggil aacha. Nadaswaram mempunyai tujuh lubang yang ditutup dengan jari mengikut rentak muzik apabila pemain sedang meniup alat tersebut. Nadaswaram berbentuk panjang; bahagian di hujung mempunyai diameter yang agak besar.




Perkahwinan atau majlis keagamaan Hindu dan kebudayaan India tidak lengkap tanpa thavil dan nadaswaram. Semasa pengantin lelaki mengikat thali pada leher pengantin wanita, thavil dan nadaswaram akan mewujudkan satu muzik yang sungguh rancak untuk mengelakkan perhatian pengantin lelaki terhadap perkara lain. Ia juga secara tidak langsung menghindarkan kedua-dua pengantin daripada mendengar perkara yang tidak sepatutnya mereka dengar pada saat yang cukup indah itu.



[Esei ini ditulis oleh Anuradha Chelliah sebagai salah satu usaha kecil-kecilan membantu Bangsa Malaysia mengenali budaya India/Hindu, serta “menyelamatkan” budaya India/Hindu daripada dicuri pihak lain. © Anuradha Chelliah 2018.]