Individu itu mengaku berumur 21 tahun dan “saya mula menulis cerpen
Bahasa Malaysia selepas SPM. … Minat saya mula membara selepas memenangi
pertandingan cerpen anjuran DBP pada tahun 2019.”
Saya tertanya-tanya, pertandingan apa
pula dianjurkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2019? Tetapi saya
tidak mengesyaki apa-apa. Sebaliknya, gembira dengan kejayaan seorang lagi penulis kaum India.
Manuskrip cerpen yang dikirimnya belum layak disiarkan di mana-mana.
Bagaimanapun, saya mahu mengirim beberapa buku sebagai motivasi dan galakan.
Maka, saya membalas e-mel dan meminta “D***i” mengirim nama penuh dan
alamat penuh ke WhatsApp saya.
Walaupun nama dan alamat dinyatakan pada hujung manuskrip cerpen, entah
mengapa saya sedikit was-was. Tambahan pula, cerpen itu dikirim dari alamat e-mel
“B***r K***r” sedangkan alamat e-mel yang dinyatakan pada manuskrip cerpen ialah
“anbeva24”.
Tidak lama kemudian, saya menerima mesej WhatsApp dari nombor sama seperti dinyatakan pada manuskrip cerpen.
Pemilik nombor itu muncul sebagai “B***r K***r” secara automatik pada telefon
saya.
Berlaku juga perbezaan maklumat yang amat ketara. Misalnya, nama bapa
sudah berubah daripada “Ravichandran” kepada “Ravichandar”. Alamat rumah pula
berubah daripada “178 Taman Sri Pinang” kepada “179 Taman Sri Pinang”.
“Adakah D***i dan B***r K***r orang yang sama?” Saya bertanya menerusi WhatsApp.
Jawapan: “Tak, B***r K***r, jiran sebelah. Dia beri galakan dan tunjuk
ajar untuk saya menulis cerpen.”
Hairan pula mengapa D***i membalas mesej dari telefon bimbit milik jiran
pada waktu malam.
“Dan telefon ini miliknya?” Saya meminta kepastian.
Jawapan: “Yes.”
Persoalan sama masih bermain dalam minda. Ada sesuatu yang tidak kena! Saya
segera membuat tangkapan skrin (screenshot)
maklumat dan foto pengirim mesej kerana dapat mengagak dia akan menyekat (block) saya.
“Siapa yang sedang menjawab mesej ini sekarang?” Saya bertanya lagi.
Serta-merta, nombor saya disekat (blocked)
dan mesej saya seterusnya tidak dihantar. Panggilan telefon juga dibatalkan (cancelled).
Saya menghubungi e-mel “anbeva24” yang diberi tetapi mendapat balasan
automatik bahawa mesej tidak dapat dihantar ke alamat berkenaan (the address couldn’t be found or is unable
to receive email).
Ternyata ada orang menyamar sebagai seorang penulis wanita kaum India
untuk mengirim manuskrip cerpen kepada saya.
Tanpa berlengah, saya melakukan semakan di Internet dan media sosial. Dalam masa yang singkat, identiti
sebenar individu berkenaan berjaya dikesan!
Amat menyedihkan kerana orang itu bukannya budak-budak. Dia sudah ada sekurang-kurangnya
sebuah novel Melayu yang dilancarkan di Labu, Negeri Sembilan pada Jun 2014.
Drama radio (Tamil) tulisannya pula mendapat tempat di MinnalFM. Dia juga terlibat dalam bidang
pendidikan (sekolah swasta).
Entah mengapa B***r K***r menyamar sebagai “D***i”, seorang wanita kaum
India berumur 21 tahun, untuk mengirim manuskrip cerpen kepada saya.