Novel satira politik Animal Farm (1945) tulisan George Orwell masih diperkatakan dan dikaji sehingga kini. Jika anda belum membacanya, sila hentikan pembacaan ini dan terus dapatkan buku berkenaan!
Secara mudah, Animal Farm – atau Politik Kandang (2014) tanpa babi di kulit buku dalam terjemahan Bahasa Malaysia oleh ITBM – mengisahkan sekumpulan binatang/haiwan di sebuah ladang yang mengambil keputusan untuk memerdekakan diri daripada penyeksaan dan kezaliman manusia yang mempergunakan mereka untuk kepentingan peribadi.
Kebangkitan binatang ini dirancang, diketuai, dan dikemudi oleh beberapa ekor babi yang digambarkan memiliki kepintaran melebihi binatang-bintang lain seperti kuda, keldai, kambing, biri-biri, ayam, dan lembu.
Akhirnya, mereka berjaya menghalau manusia – Jones dan isterinya – dari “Manor Farm” (Ladang Manor) dan menamakannya “Animal Farm” (Ladang Binatang). [Baca juga — Skandal 1MDB]
Golongan babi, selaku ketua dan pemikir, memperkenalkan “Rukun Tujuh” atau The Seven Commandments yang menggariskan tujuh prinsip atau rukun yang wajib dipatuhi dan diamalkan semua binatang di ladang berkenaan.
(Terdahulu, Old Major, si babi tua, sudah memperkenalkan lagu revolusi “Beasts of England” yang terus-menerus menyuntik semangat juang kepada penghuni ladang berkenaan hingga membawa kepada kemerdekaan daripada kezaliman manusia.)
Segala-galanya berjalan lancar pada mulanya. Haiwan/binatang berjaya berdikari dan menikmati sepenuhnya kemerdekaan yang diimpikan. Mereka membuat keputusan untuk tidak sesekali cuba meniru apa-apa sikap dan amalan manusia. Golongan manusia – yang berkaki dua – adalah musuh.
Namun begitu, lama-kelamaan, kumpulan babi yang mengetuai binatang lain mula berubah sikap secara senyap-senyap. Mereka mula meniru amalan manusia – misalnya, berpakaian, tidur di katil, dan minum arak.
Malah, ketua babi mula mengatur rundingan perniagaan dengan beberapa manusia; misalnya Fredrick dan Whymper. Kumpulan babi ini mula menganggap diri mereka setaraf manusia.
Pada masa sama, dalam usaha mengampu pemimpin, watak Minimus menulis sajak Comrade Napoleon yang memuja babi berkenaan. [Dalam pada itu — Filem Mahathir Penyelamat Malaysia]
Bukan Sekadar Fiksyen
Kalau anda pernah menonton versi filem – animasi pada 1954 dan live action pada 1999 – kisah yang disajikan agak berbeza dengan kisah sebenar dalam novel asal. Maka, saya menyarankan anda supaya membaca versi novel.
The Seven Commandments (Rukun Tujuh) yang diperkenalkan oleh golongan babi (pemimpin) mula dilanggar oleh mereka sendiri. Pelbagai alasan diberikan untuk mewajarkan tindakan mereka.
Misalnya, syarat “bintang tidak boleh tidur di katil” ditambah dengan kata-kata “yang ada cadar”; “binatang dilarang minum arak” ditambah dengan “sehingga mabuk”; dan “binatang dilarang membunuh binatang lain” ditambah dengan “tanpa sebab”.
Malah, prinsip/rukun “semua binatang adalah saksama” ditambah dengan “tetapi sebahagian binatang memiliki lebih banyak kesaksamaan”; dan “sesiapa yang berkaki empat adalah baik (kawan)” disambung dengan “tetapi sesiapa yang berkaki dua adalah lebih baik”.
Akhirnya, kumpulan babi itu hidup di dalam rumah, berpakaian seperti manusia, berjalan seperti manusia, dan berkelakuan seperti manusia – sehingga digambarkan pada akhir novel satira politik ini bahawa binatang-binatang lain di ladang berkenaan tidak dapat membezakan antara babi dan manusia.
Novel Animal Farm bukan sebuah fiksyen dan rekaan semata-mata; walaupun edisi pertama yang diterbitkan di England berjudul Animal Farm: A Fairy Story. Sebaliknya, ia bersumberkan Revolusi Rusia dan era pemerintahan Stalin di Soviet Union.
Satira politik ini masih sesuai dikaji dan dibandingkan dengan perkembangan semasa di pelbagai negara di seluruh dunia.
Di Malaysia, misalnya, pemerintahan Barisan Nasional (BN) sejak 1957 dikatakan menyebabkan Rakyat akhirnya bangkit memberontak. Rakyat memerlukan pemimpin yang berwibawa bagi menjayakan revolusi, kebangkitan, atau reformasi itu.
Muncul Anwar Ibrahim pada 1999. Kemudian, muncul Hindraf pada 2007. Akhirnya, muncul Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Mahathir Mohamad; sekali gus menumbangkan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018.
Senario Politik di Malaysia
Sebagaimana reaksi kumpulan haiwan/binatang dalam novel satira politik Animal Farm, para “penghuni” mula teruja kerana “ladang” mereka kini bebas, mereka sudah merdeka, dan “ladang” diterajui golongan “babi” yang berilmu, berkaliber, berani, dan berwawasan.
PH memberi jaminan bahawa anasir-anasir BN tidak akan dibenarkan masuk semula ke dalam “ladang” yang perlu dibaik-pulih dan diusahakan dengan sebaik-baiknya tanpa membebankan Rakyat. [Contoh — PH Will Not Accept BN Members]
Sebaliknya, segala kemudahan dan hasil akan dipastikan membawa manfaat kepada Rakyat. [Contoh — SPAD dibubar]
Sebaliknya, segala kemudahan dan hasil akan dipastikan membawa manfaat kepada Rakyat. [Contoh — SPAD dibubar]
Sekiranya diperhatikan, kita sudah melalui sebahagian kisah revolusi dan kebangkitan yang hampir selari (walaupun tidak semestinya sama dan serupa) dengan apa yang diceritakan dalam Animal Farm.
Dalam pada Rakyat berseronok meraikan kemerdekaan – Malaysia Baharu – sebagaimana binatang-binatang di “Ladang Manor” meraikan kelahiran “Ladang Binatang”, jangan pula “penghuni” menjadi terlalu leka.
[Baca – Back to Malaysia Lama]
[Baca – Back to Malaysia Lama]
Leka sehingga tidak sedar – atau membiarkan sahaja – golongan “babi” yang diangkat menjadi pemimpin mula melanggar “Rukun Tujuh” yang mereka sendiri perkenalkan demi kesejahteraan Rakyat.
Leka sehingga tidak sedar golongan “babi” yang menjadi ketua mula menjalin hubungan dengan “manusia” demi keuntungan perniagaan (kewangan), selain mula mengamalkan gaya hidup “manusia” yang dianggap musuh. [Dalam pada itu — Tiga Adun BN Johor Sertai PPBM — Mahathir Says Umno Members Can Join PH — Wan Azizah Welcomes Umno Members — Hadi Puji DAP, Sedia Kerjasama]
Leka sehingga akhirnya terkejut apabila melihat sudah tidak ada perbezaan antara “babi” dan “manusia”. Rupa-rupanya, “ladang” sudah kembali dijajah “manusia” bertopengkan “babi”. Ladang Binatang kembali menjadi Ladang Manor!
[Baca juga — Jangan Jadi Macam Orang Yang Pernah Kita Benci — Janji 100 Hari Ditangguh — Kontrak Bazar Ramadan — Guan Eng Berani Sanggah Anwar — PKR the Weakest Link in PH]
[Baca juga — Jangan Jadi Macam Orang Yang Pernah Kita Benci — Janji 100 Hari Ditangguh — Kontrak Bazar Ramadan — Guan Eng Berani Sanggah Anwar — PKR the Weakest Link in PH]
Demikianlah sedikit pengajaran yang boleh kita ambil dengan membaca semula serta menganalisis kritikan politik yang disajikan oleh George Orwell menerusi novel satira Animal Farm.
Semoga para pemimpin PH sepakat membaca novel berkenaan dan berikrar tidak menjadi “babi” yang mengkhianati impian Rakyat. Trivia: Pemerintahan PH tumbang dalam masa 22 bulan dan pemerintahan dirampas oleh pihak yang masuk ikut lubang belakang. Sama seperti dalam Animal Farm.
[Baca juga — Kula Makes A U-Turn — Zahid Yakin PH Tumbang — Don't Be Stupid, Guan Eng — Clueless Wan Azizah — Mahathir Tidak Tahu — In the New Malaysia, Some Animals Are More Equal]
[Baca juga — Kula Makes A U-Turn — Zahid Yakin PH Tumbang — Don't Be Stupid, Guan Eng — Clueless Wan Azizah — Mahathir Tidak Tahu — In the New Malaysia, Some Animals Are More Equal]
_________________________________________
Uthaya Sankar SB tidak menyokong mana-mana parti politik. Beliau sedang mengusahakan buku berjudul Thirukkural dan Megha Duta yang dijadualkan terbit pada Ogos 2018. © Uthaya Sankar SB 2018. Ulasan ini ditulis pada 16 Mei 2018. Harap maklum bahawa anda membaca sebarang kandungan di mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.