Wednesday, 21 January 2015

Siapa Kisah Lembah Bujang?

Benarkah terdapat usaha menyembunyikan sejarah dan fakta oleh pihak tertentu demi memastikan kebenaran tidak muncul pada permukaan?

Demikian antara persoalan yang terus bermain dalam minda saya sejak berpeluang berkunjung ke Lembah Bujang, Kedah buat kali pertama pada 31 Januari dan 1 Februari 2014.

Saya pergi bersama-sama Prabhawathy Govindarajoo, Devishi Prabha Sankari dan Kughan Nadarajah dengan kerjasama Datuk Murugan Alimuthu dan Kartik Ramachandran berikutan kes Candi Nombor 11 dimusnahkan pemaju perumahan.

Pada kesempatan itu, kami dibawa melawat dan mewawancara beberapa tokoh tempatan yang tahu kisah sebenar Lembah Bujang secara mendalam.

Antara individu yang sempat ditemui ialah pengkaji sejarah Kedah Tua, Dr Jayabarathi; penulis veteran, Rayappan dan pengkaji sejarah, Balan Nair.

Penulis berumur awal 80-an itu memulakan cerita dengan kisah sebuah kuil di kawasan perbukitan yang terletak antara Bedong dan Tanjung Dawai, Kedah. Keseluruhan bangunan kuil itu tertimbus di bawah tanah.

Pada tahun 1957, seorang penoreh getah ternampak sebahagian bangunan kuil itu dan terus memberitahu orang ramai. Setahun kemudian, kerja-kerja arkeologi dimulakan oleh pengkaji dari Perancis dan Jerman.

Rayappan bersama-sama rakan-rakannya tidak melepaskan peluang untuk pergi melihat tapak berkenaan.

“Kami segera cam bahawa bangunan berkenaan merupakan sebuah kuil Dewa Shiva. Tidak ada sebarang berhala. Apa yang kelihatan adalah sebuah linga yang mewakili Shiva,” katanya sambil mengimbas kenangan.

Bangunan kuil dibina menggunakan batu paarai (batu bongkah hampar). Keseluruhan bangunan berkenaan berjaya digali keluar pada tahun 1958.

Kuil yang hilang penuh misteri

“Kebetulan pada masa itu, dua tokoh budaya dan bahasa Tamil dari India datang ke Bedong sempena sambutan Tamilar Thirunal. Kami membawa mereka melawat tapak kuil tersebut dengan penuh bangga,” kata Rayappan yang berusia sekitar 24 tahun pada waktu itu.

Menurut papan tanda yang dipasang pakar arkeologi, kuil Shiva itu dibina sekitar kurun 10 Sebelum Masehi atas perintah Rajendra Cholan.

Putera berkenaan turut diberikan nama “Kadaram-kondan” (Penakluk Kadaram) walaupun tenteranya juga menakluk Sri Vijaya, Malaiyur (Malayu dan Jambi) dan pelbagai wilayah lain di Kepulauan Melayu (Nusantara).

Memanglah raja dari negara India itu tidak pernah datang ke Kadaram (Kedah). Bagaimanapun, mengikut catatan sejarah yang juga terdapat di India, wujud perjanjian damai antara Kedah dan Kerajaan Cholan.

“Saya ada terbaca di sebuah majalah terbitan Singapura bahawa kepingan wang emas dan batu permata turut ditemui pakar kaji bumi di tapak bangunan kuil berkenaan pada 1958.

“Khabarnya tempayan berisi barangan bernilai sekitar 9 juta ringgit itu dibawa ke Kuala Lumpur. Selepas itu, tiada sebarang berita mengenainya,” Rayappan menceritakan sewaktu ditemui di rumahnya.

Menurut warga emas itu, batu-bata pada kuil asal juga dipercayai sudah ditukar semasa bangunan berkenaan dipindahkan ke tapak baru di Lembah Bujang. Tidak diketahui apa yang berlaku kepada batu-bata asal yang bernilai tinggi itu.

“Selepas peristiwa hitam 13 Mei 1969, sejarah negara nampaknya sudah mula diubah sesuka hati oleh pihak tertentu. Misalnya, fakta bahawa kuil berkenaan dibina atas perintah Rajendra Cholan sudah dipadam,” katanya.

Pernah ada sebuah kuil Dewa Muruhan yang dibina sekitar 300 tahun lalu di Gunung Jerai. Gunung berkenaan memang amat sinonim dengan kedatangan pedagang India ke Kedah pada zaman dahulu.

Kita tentu maklum bahawa Gunung Jerai menjadi semacam mercu tanda dan penunjuk arah kepada kapal pedagang dari India pada zaman dahulu.

Sikap “bangau oh bangau”

Beberapa penduduk sekitar Bedong yang ditemui mengatakan bahawa sulam iaitu tombak yang lazim digambarkan dipegang berhala Muruhan (seperti patung besar di Batu Caves) pernah dilihat di kuil atas gunung itu.

Kuil, berhala dan sulam itu juga khabarnya sudah ghaib sekarang. Ghaib bukan kerana kuasa mistik tetapi kerana ada pihak yang dipercayai sedang cuba menyembunyikan fakta sejarah serta menghapuskan bahan bukti mengenai pengaruh Hindu di Kedah.

“Kita tidak boleh menolak kemungkinan ada pihak yang tidak mahu menerima hakikat dan fakta sejarah bahawa tanah ini pernah berada di bawah kuasa dan pemerintahan kerajaan Hindu-Buddha dari India.

“Mungkin ada pihak yang mahu mencipta ilusi dan kepalsuan bahawa negara ini tidak pernah menerima pengaruh luar – khasnya India – sebelum penjajahan Portugis, Belanda dan British,” Rayappan berkongsi hipotesis.

Pandangan ini membawa pula kepada persoalan mengapa tidak ada pihak yang prihatin tampil memperjuangkan dan membetulkan fakta.

Pertanyaan ini adalah wajar kerana hasil pertemuan dengan begitu ramai penduduk kaum India di sekitar Bedong selama dua hari, saya dapati rata-rata mengatakan ada pihak cuba menyembunyikan fakta.

Mereka juga mengeluh kerana sejarah dan fakta sebenar Lembah Bujang tidak disebarkan kepada umum. Mereka mahu identiti, fakta dan maklumat sebenar mengenai Lembah Bujang diketahui orang.

Maka, persoalannya adalah mengapa penduduk di situ – khususnya generasi muda dan tua kaum India yang kononnya begitu prihatin – tidak memikul tanggungjawab menyebarkan fakta sebenar?

Rayappan memberikan alasan bahawa sejak 1958, hanya pengkaji dan peminat sejarah dan budaya dari Tamil Nadu, India yang menunjukkan minat untuk datang dan melawat Lembah Bujang.

“Belum pernah ada orang India tempatan datang bertemu saya dan meminta dibawa melawat tapak-tapak arkeologi di Lembah Bujang. Hanya beberapa kenalan rapat yang datang,” tegasnya sambil mengaku bahawa inilah kali pertama beliau diwawancara bagi sebuah makalah.

Peluk tubuh dan menanti

Hampir setahun sudah berlalu sejak lawatan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) ke Lembah Bujang tetapi isu-isu yang ditimbulkan Rayappan terus bermain dalam minda saya.

Tentulah saya tidak mahu mempertikaikan atau mempersoalkan pandangan yang dikemukakannya. Bagaimanapun, hujah beliau memberikan gambaran jelas bahawa kaum India sendiri kurang berminat terhadap sejarah Lembah Bujang.

Penganut Hindu di Malaysia mahu Lembah Bujang diiktiraf sebagai tapak tamadun Hindu, tetapi mereka sendiri hanya mahu berpeluk tubuh dan mengharapkan orang lain melakukan tugas itu.

Setahun selepas melawat Lembah Bujang, saya belum mendengar apa-apa berita mengenai usaha yang dilakukan para pejuang terbabit untuk mempertahankan apa yang disifatkan sebagai tamadun Hindu.

Pada masa sama, pencinta dan pejuang tersebut mula bising apabila pihak lain tampil mengangkat Lembah Bujang sebagai tapak warisan tamadun Melayu. Usah kita lupa bahawa orang Melayu di negara bertuah ini menganut ajaran Hindu sebelum kedatangan Islam.

Pada pandangan saya, candi-candi di Lembah Bujang yang ditemui penjajah British pada tahun 1840-an serta tapak berusia lebih 2,000 tahun yang ditemui di Sungai Batu pada 2009 sepatutnya menyedarkan kita bahawa ia adalah milik Tamadun Tanah Melayu; termasuk orang Melayu-Hindu dan India-Hindu pada masa dahulu.

Apabila sebuah candi yang dibina di Lembah Bujang pada kurun ke-8 dirobohkan pemaju pada September 2013 – dan kejadian itu diketahui ramai beberapa bulan kemudian – masyarakat pelbagai kaum mula bersuara bagi melahirkan rasa marah dan kecewa.

Kemusnahan yang berlaku pada candi berusia lebih 1,200 tahun di Sungai Batu menyedarkan orang ramai bahawa monumen serta tapak arkeologi itu bukan hanya milik orang India-Hindu; sebaliknya juga milik orang Melayu-Hindu pada masa dahulu.

Perkara ini pernah saya huraikan menerusi makalah bertajuk “Apa Khabar, Lembah Bujang?” (The Malay Mail Online, 17 Mac 2014).

Seminar khas kedaulatan Melayu

Dalam perkembangan terkini, pada 17 Januari 2015, suatu seminar khas dijadualkan di Taman Lembah Bujang, Bedong. Antara kertas kerja yang menarik adalah “Tarikan Mistik Gunung Jerai dan Sekitarnya” serta “Hindu dan Buddha Berasal daripada Agama Islam”.

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mokhtar Saidin dijangka menyampaikan kertas berja bertajuk “Sungai Batu Sebagai Tapak Tamadun Tertua di Asia Tenggara”.

Keesokan hari, peserta akan dibawa melawat Tapak Arkeologi Sungai Batu. Menurut penganjur, “sesiapa yang sayangkan Melayu dan Islam boleh datang” serta “digalakkan memakai busana Melayu bertanjak, bersampin dan berkeris”.

Menurut maklumat di blog penganjur, mereka “memohon dikembalikan hak ketuhanan Melayu selain hak ketuanan Melayu”. Maka, usah mengharapkan kehebatan tamadun Hindu-Buddha di Lembah Bujang diangkat menerusi program ini.

Dalam pada itu, usahlah pula kita bertindak bodoh dengan bertanya apa peranan MIC dalam mempertahankan Lembah Bujang sebagai tapak warisan India-Hindu.

Selepas Candi Nombor 11 dijahanamkan pemaju pada September 2013, Pemuda MIC dilaporkan turun padang. Mereka menyerahkan memorandum kepada setiausaha sulit kanan Menteri Besar Kedah pada 3 Disember 2013.

Saya mencatatkan dalam makalah “Selamatkan Ashram, Hapuskan Chetti” (The Malay Mail Online, 19 November 2014) bahawa Pemuda MIC telah bergambar beramai-ramai sambil memegang serpihan batu candi dan memuatkan foto di laman Facebook 1 Million Likes To Save Bujang Valley.

Semakan pada 11 Januari 2015 menunjukkan laman berkenaan disukai (“like”) 22,960 orang (bertambah 5 orang sejak 18 November 2014). Sejak 23 Disember 2014, laman itu sekadar diisi pelbagai berita mengenai usaha Pemuda MIC Kebangsaan membantu mangsa banjir di Pantai Timur.

Berita terakhir mengenai Lembah Bujang di laman berkenaan adalah suatu keratan akhbar pada 6 April 2014. Sasaran “1 Million Likes” juga masih terlalu jauh!

Semoga paparan ini membuka mata dan menjadi tamparan pada pipi kelompok pejuang Lembah Bujang daripada kalangan kaum India-Hindu.

Kita berhak untuk kecewa kerana mereka nampaknya hanya tahu berpeluk tubuh serta mengharapkan orang lain membuat kerja.

Mereka hanya tahu bising-bising apabila pihak lain bersikap proaktif dalam mengubah sejarah demi agenda politik. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. – Baca juga: Tragedi Lembah Bujang

[Makalah ini ditulis pada 11 Januari 2015 berasaskan wawancara bertarikh 31 Januari 2014 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 12 Januari 2015. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!