17 Jan 2015

Bagaimana Uthaya Mula Menulis?


Cerpen saya bertajuk “Secebis Kisah” mendapat tempat di majalah Sekolah Menengah Darul Ridwan (SMDR), Taiping, Perak pada 1989 manakala cerpen “Selamat Jalan, Ayya” di majalah Dewan Pelajar keluaran Ogos 1992.

[Karya amatur dalam SEDAR, majalah SMDR  My First Three Loves (1988), Secebis Kisah (1989), Apologi Buat Panther” (1989), Semalam, Hari Ini dan Esok II (1989), A Monologue To A Friend (1989), கவிதையின் காதல் கதாநாயகி (1989), dan Panther (1990).]

Sekiranya direnung kembali, perjalanan awal saya ke arah menjadi seorang penulis profesional (penulis sepenuh masa) bermula selepas menyertai Minggu Penulis Remaja (MPR) pada Ogos 1991. [Baca biodata penuh]

Terdahulu, semasa belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Convent Aulong, Taiping, saya banyak membaca buku cerita yang dipinjam dari perpustakaan kecil di sekolah.

Semasa berkunjung ke sekolah berkenaan bersama-sama anak saya, Devishi Prabha Sankari, pada 17 Disember 2014, saya mengimbas pengalaman silam.

Semasa belajar di SMDR, minat membaca itu berkembang pula menjadi minat menulis karya kreatif. Walaupun lebih suku abad sudah berlalu [semasa catatan ini ditulis], segala pengalaman itu sukar dilupakan.


Tentu sahaja saya amat terhutang budi kepada guru-guru dan kakitangan perpustakaan di kedua-dua sekolah berkenaan yang menjadi pemangkin dan pemberi semangat kepada saya untuk meneruskan minat dalam bidang sastera dan penulisan.

Kisah dan pengalaman ini ada saya ceritakan menerusi cerpen berjudul “e-mel untuk anda” (Dewan Siswa, Mac 2007) dan sebuah makalah di majalah Tunas Cipta (Oktober 2012).

Pada 14 Jun 1991, semasa belajar di Sekolah Menengah King Edward VII (SMKEVII), saya berpeluang mendengar ceramah yang disampaikan oleh Encik A. Rahim Abdullah sempena pesta buku di Dewan Majlis Perbandaran Taiping.

Saya memberanikan diri untuk berbual-bual bersama beliau yang merupakan pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada waktu itu.


Beberapa hari kemudian, saya mengirimkan manuskrip cerpen “Mereka Tidak Mengerti” dengan harapan akan disunting, dikomen, dan dikembalikan.

Sebaliknya, beliau rupa-rupanya menyalurkan manuskrip saya kepada editor Dewan Siswa dan pada 26 Julai 1991, saya menerima undangan menyertai MPR.

Petua Memikat Hati Editor

Sepanjang MPR, saya berpeluang berguru pada tiga Sasterawan Negara iaitu Arenawati (Allahyarham), Shahnon Ahmad dan A. Samad Said. Tidak ketinggalan juga Othman Puteh (Allahyarham), Rahman Shaari dan Ali Majod (Allahyarham).

Bayangkan! Seorang anak muda dari sebuah kampung terpencil di Aulong Lama, Taiping berpeluang menimba ilmu daripada tokoh-tokoh hebat dalam kesusasteraan negara.


Selepas menyertai MPR, saya mengirimkan beberapa manuskrip cerpen kepada Othman Puteh untuk diantologikan. Sejak itu, sehingga beliau meninggal dunia pada 19 Oktober 2003, Allahyarham sentiasa menghubungi saya apabila memerlukan cerpen atau cerita rakyat bagi antologi yang diselenggarakan.

Saya menghadiri MPR sebagai individu yang belum ada sebarang karya tersiar (kecuali dalam majalah sekolah). Selepas menyertai MPR, saya mula mengirim satu demi satu manuskrip cerpen ke pelbagai akhbar dan majalah arus perdana.

Wajib baca: [Genius dan Maru Malarchi]

Ramai juga yang bertanya (dan tertanya-tanya) bagaimana karya saya sering mendapat tempat di hati editor akhbar dan majalah. Walaupun saya “orang baru”, ada dua perkara yang sering diakui oleh para editor sebagai “kelebihan” pada manuskrip-manuskrip yang saya kirim.

Pertama, cerita dan teknik penceritaan yang berbeza berbanding apa yang sering ditulis orang lain. Kedua, kesalahan bahasa yang sangat minimum.


Saya akui bahawa saya sering berpegang pada pendirian ini: “Permudahkan kerja editor sebagaimana Tuhan permudahkan urusan kita.” 

Lihat juga: [Bimbingan Penulisan Cerpen]

Walaupun sudah bergelar penulis, saya tidak berhenti daripada menghadiri bengkel-bengkel penulisan yang dianjurkan pelbagai pihak. Saya percaya bahawa masih banyak ilmu dan pengalaman yang boleh ditimba daripada setiap tenaga pengajar.

Antara tahun 1991 dan 1994, saya menaip manuskrip cerpen menggunakan mesin taip terpakai jenama Olivetti Lettera 32 yang saya beli pada Oktober 1990 menggunakan wang mengajar kelas tambahan.

Mengimbas Pengalaman Silam

Mulai 2 April 1994, susulan kemalangan jalan raya (26 Februari 1994) yang menyebabkan tangan kiri saya mengalami kecacatan kekal, saya menggunakan komputer riba AcerNote 530 yang saya beli menggunakan honorarium penulisan. Kedua-duanya sudah rosak tetapi masih saya simpan sebagai kenangan. 


Semasa melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (1993), saya bersama-sama beberapa rakan mula mengendalikan siri ceramah dan bengkel penulisan cerpen.

Pada 22 Ogos 1999, beberapa penulis kaum India yang berkarya dalam Bahasa Malaysia bergabung dan mengasaskan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).

Organisasi kecil ini terus aktif mengendalikan pelbagai program bahasa, sastera, seni dan budaya dengan kerjasama pelbagai pihak di seluruh negara.


Semasa bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dari 1996 hingga 2010, saya masih terus berkarya dan terlibat dalam pelbagai aktiviti sastera.

Pengalaman menjadi pensyarah sambilan di beberapa kolej swasta (1999-2007) turut membekalkan bahan dan idea bagi penulisan.

Saya kerap mengangkat budaya kaum India dalam cerpen, novel dan makalah yang ditulis. Sejak awal perkenalan kami, Allahyarham Othman Puteh dan A. Samad Said tertarik pada ciri berkenaan dalam karya-karya saya.

Kemampuan saya menyajikan citra budaya masyarakat India dilihat sebagai satu lagi kekuatan yang wajar dikekalkan dan terus dikembangkan demi memperkaya khazanah sastera kebangsaan.


Suatu aspek yang cukup ketara – serta menjadi pegangan utama saya – adalah penggunaan bahasa yang betul dalam penulisan fiksyen, e-mel, blog mahu pun kiriman mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Bagi saya, aspek penggunaan bahasa yang betul tidak boleh dipandang ringan dan diperlekeh.

Mengharapkan Sokongan Pembaca

Aspek penguasaan dan penggunaan bahasa yang betul adalah lebih penting bagi golongan penulis kerana bahasa menjadi wahana utama dalam menyampaikan idea. Perkara ini sentiasa saya tekankan dalam setiap bengkel penulisan yang saya kendalikan bersama-sama Kavyan.

Setiap kali berhadapan dengan peserta bengkel dan ceramah sastera, saya sentiasa terkenang akan pengalaman saya di sekolah rendah dan sekolah menengah.





Saya yakin bahawa zaman sekolah mampu membentuk masa depan seseorang sebagai penulis yang berjaya. Namun begitu, saya tidak pasti sama ada sistem pendidikan masa sekarang masih mampu melakukannya.

Pada 2003, acara Baca Cerpen Kavyan dikendalikan selama 96 jam 32 minit tanpa henti sebagai usaha memasyarakatkan sastera dan mempopularkan aktiviti membaca cerpen di pentas.

Sejak itu, aktiviti “baca cerpen” dan “baca novel” diadakan dari semasa ke semasa di pelbagai tempat di seluruh negara; termasuk di sekolah kebangsaan, Tamil (SJKT) dan Cina (SJKC).


Kavyan turut mengadakan aktiviti galakan membaca, memartabatkan Bahasa Malaysia, bimbingan penulisan dan kunjungan sastera pada skala kecil di seluruh negara.

Mungkin sahaja pengalaman dan ilmu yang mampu saya dan Kavyan kongsikan menerusi bengkel dan ceramah sastera tidak seberapa berbanding tokoh-tokoh besar yang lebih hebat dan terpelajar.

Namun, seperti kata Mahatma Gandhi: “Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini.”


Mengimbas pengalaman lama secara ringkas pada awal tahun baharu 2015 menyedarkan saya bahawa tugas, tanggungjawab dan peranan penulis (kreatif atau non-kreatif) memang besar.

Semoga masyarakat pelbagai kaum terus memberikan sokongan serta meningkatkan minat membaca hasil tulisan kelompok penulis yang masih yakin untuk berkarya menggunakan Bahasa Malaysia.

[Makalah ini diolah semula berdasarkan catatan lama dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 5 Januari 2015. Juga dijadikan bahagian awal Prakata buku Pulau Pendatang (2015). RUJUK SENARAI CERPEN DI SINI. © Uthaya Sankar SB 2015. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]