Sesungguhnya Facebook sudah menjadi laman rangkaian
sosial yang sangat penting dalam kehidupan seharian. Sejak mula menggunakannya
semasa bertugas sebagai editor kandungan berita di Bernama Radio24 pada Ogos 2008, saya menjadikan Facebook sebagai alat komunikasi utama;
selain telefon bimbit dan e-mel.
Walau bagaimanapun,
sehingga kini, jumlah “rakan” saya di Facebook tidak ramai. Antara sebab utama adalah kerana saya tidak
mahu membaca komen-komen dan paparan status yang “membunuh bahasa” – mana-mana
bahasa.
Maka, apabila ada orang
mahu menambah saya sebagai rakan, awal-awal lagi saya akan mengingatkan mereka
supaya tidak “membunuh bahasa” di dinding (wall)
saya.
Rakan-rakan yang mahu
menulis komen bagi mana-mana catatan status, pautan atau foto di laman Facebook saya pula akan dinasihatkan
supaya menyemak dengan teliti apa yang ditulis sebelum dipaparkan.
Rata-rata rakan-rakan
saya sedia maklum akan syarat ketat yang saya tetapkan dalam soal penggunaan
bahasa. Tidak kurang juga “pembunuh bahasa” yang merajuk dan segera membuang
saya dari senarai sahabat. Saya mengalu-alukan tindakan mereka dengan penuh
syukur dan rasa gembira.
Saya tidak akan melayan sesiapa yang tidak tahu
(atau tidak mahu) menggunakan Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Tamil
atau Bahasa Mandarin yang betul apabila berkomunikasi dengan saya menerusi Facebook.
Selaras dengan usaha memartabatkan penggunaan bahasa
yang betul, komen serta individu yang “membunuh” bahasa (mana-mana bahasa) akan
dibuang serta-merta tanpa notis dan tanpa simpati. Demikian pendirian tegas
saya.
“Buatlah apa sahaja pada ruangan status dan dinding
anda tetapi dinding Facebook saya
bukan tempat untuk anda sewenang-wenangnya menganjurkan pesta membunuh
mana-mana bahasa.” Demikian makluman awal yang saya nyatakan kepada
rakan-rakan. [BACA DI SINI]
Dari semasa ke semasa, saya meluangkan masa membuang
(unfriend) sesiapa sahaja (ulang:
sesiapa sahaja) yang tidak tahu membezakan antara “kah” dan “ke”, “what” dan “wat” serta “its” dan “it’s” apabila menulis komen di dinding
saya.
Malah, ramai juga individu yang mempromosikan diri
di khalayak sebagai “pencinta bahasa” dan “pejuang bahasa” tetapi realiti
berkenaan tahap kecintaan, keprihatinan dan usaha mereka memartabatkan bahasa –
khususnya Bahasa Malaysia – dapat
dilihat menerusi paparan pada akaun Facebook
mereka.
Memartabatkan bahasa di laman rangkaian sosial
Tentulah saya sedar bahawa masing-masing berhak
menulis apa-apa sahaja – dan dengan apa-apa gaya – pada dinding Facebook masing-masing. Saya menghormati
hak itu dan tidak akan masuk campur dalam urusan “rumahtangga” orang.
Walau bagaimanapun, apa-apa yang ditulis pada
ruangan status rakan-rakan pasti akan muncul pada paparan jalur masa (“timeline”) saya sendiri. Maka, bagi
mengelakkan daripada terpaksa melihat segala macam “pembunuhan bahasa”, saya
memanfaatkan fungsi “unfollow” yang
tersedia tetapi kurang diketahui orang.
Dengan cara itu, individu berkenaan masih kekal
sebagai “sahabat” saya di Facebook
tetapi segala paparan pada ruangan statusnya tidak lagi muncul secara automatik
apabila saya mahu melihat senarai perkembangan rakan-rakan pada jalur masa.
Berikutan tindakan saya meletakkan syarat-syarat
ketat berhubung penggunaan bahasa yang betul, ramai juga yang pada mulanya
bersemangat mahu menjadi sahabat saya di Facebook
tetapi kemudian memutuskan untuk “membatalkan” persahabatan itu.
Sebenarnya tidak menjadi masalah kepada saya kerana
saya tidak mahu menyesakkan minda dan Facebook
dengan terlalu ramai kawan. Sekitar 500 orang sudah lebih daripada mencukupi.
Bagi saya, kualiti sahabat adalah jauh lebih penting daripada kuantiti sahabat.
Ada juga orang yang mengatakan bahawa saya
sepatutnya tidak menyingkirkan (“unfriend”)
rakan-rakan yang tidak tahu – atau tidak mahu – menggunakan bahasa yang betul
semasa menulis komen pada dinding saya. Kononnya saya perlu membimbing mereka.
Kononnya mereka perlu dikekalkan dalam senarai “sahabat” supaya mereka boleh
terus belajar tentang penggunaan bahasa yang betul.
Sebenarnya, jika benarlah mereka mahu belajar
penggunaan bahasa yang betul menerusi paparan pada Facebook saya, mereka tidak semestinya menjadi “sahabat” saya.
Mereka masih ada pilihan untuk memanfaatkan fungsi “follow” bagi tujuan itu. Atau mereka boleh melayari blog saya untuk
belajar penggunaan bahasa yang betul seperti yang kononnya dihajati.
Hasil penelitian saya sejak mula-mula menggunakan Facebook pada 2008, ada orang yang tidak
menggunakan bahasa (mana-mana bahasa) dengan betul di Facebook dan sering memberikan alasan “this is social network, not school exam”.
Sebenarnya, jika diteliti dan dipantau – misalnya
selama tiga bulan, seperti yang biasanya saya lakukan – maka akan terbukti
bahawa individu berkenaan sesungguhnya tidak tahu menggunakan bahasa (mana-mana
bahasa) dengan betul. Mereka sengaja mengemukakan alasan “this is social network, not school exam” bagi menutup kelemahan
diri. Bodoh sombong.
Ramai juga pengguna Facebook yang bertegas mahu menggunakan Bahasa Inggeris di Facebook. Saya bukannya anti bahasa
berkenaan; malah saya secara automatik berfikir dalam Bahasa Inggeris. Bagaimanapun,
saya sakit hati melihat Bahasa Inggeris – atau mana-mana bahasa – dibunuh
sewenang-wenangnya oleh individu yang “bodoh sombong”.
Membetulkan apa yang biasa, membiasakan apa yang betul
Sedarkah anda? Ramai pengguna Facebook di Malaysia tidak tahu membezakan
antara “never” (tidak pernah sama
sekali) dan “did not” (tidak). Komen
yang sepatutnya ditulis “You did not
invite me” sering ditulis sebagai “You
never invite me”. Sering juga orang memaparkan status “I never eat rice” sedangkan apa yang dimaksudkan adalah “I did not eat rice”.
Saya berusaha
menggunakan Facebook untuk berkongsi
maklumat berhubung penggunaan bahasa yang betul. Apabila ada masa dan ruang,
saya memaparkan trivia yang boleh dijadikan panduan oleh sesiapa. Sering kali,
trivia berkenaan adalah berdasarkan pengalaman serta apa yang saya sendiri
belajar dan mahu amalkan.
Istilah
“cop” yang sering digunakan orang Malaysia sepatutnya disebut/dieja “cap”.
Setahu saya, sebutan “cop” digunakan penutur bahasa Melanau (Sarawak). Dalam
istilah Bahasa Malaysia, “chicken/mutton/pork
chop” (makanan) disebut “cop ayam/kambing/babi”.
Dalam
permainan pingpong, istilah “heavy/double/soft
chop” biasa digunakan. “Time stamp”
sering ditulis sebagai “cop masa” sedangkan istilah sebenar adalah “cap masa”.
Orang Brunei menggunakan “cop waktu” manakala orang Indonesia menggunakan
“bubuh waktu”.
Orang
Kedah menggunakan istilah “cop” apabila merujuk kepada sejenis alat yang
digunakan untuk mengupas kelapa atau menggali tanah. Istilah “cop” juga
bermakna “menghembus” atau “meniup” dalam loghat Kedah.
Apabila
saya memaparkan trivia itu pada ruangan status Facebook baru-baru ini, Zaid
Akhtar bertanya mengenai “cop sawit”. Setahu saya, istilah berkenaan
merujuk kepada alat yang digunakan di ladang kelapa sawit. Mungkin boleh
dirujuk pada Kamus Dewan.
Rakan
dari Kota Kinabalu, Rafi Harumin
bertanya apakah pengesahan (endorsement)
pada pasport juga sepatutnya disebut “cap”. Sebenarnya, ya. Malangnya orang
Malaysia sudah terbiasa menggunakan istilah yang salah (“cop”) sehingga apabila
disuakan dengan istilah/ejaan yang betul (“cap”), sukar pula untuk menerimanya.
Apatah lagi apabila pembetulan dilakukan oleh “orang Bukan Melayu”.
Dalam
pada itu, agak menarik juga untuk diperhatikan bahawa dalam konteks Bahasa
Inggeris (versi United Kingdom; bukan versi Amerika Syarikat), frasa “get the chop” bermakna “dibuang kerja”.
Izni Rahim pula meminta kepastian mengenai kata
“cop” yang biasa digunakan apabila, contohnya, mahu menyatakan bahawa tempat
duduk itu kita yang punya.
Sebenarnya,
“cop tempat” sepatutnya disebut “cap tempat” dengan erti kata kita sudah
“tandakan” (mark/reserve/book) tempat
itu untuk kita. Akan tetapi, sudah menjadi kelaziman sejak zaman kanak-kanak
menggunakan frasa “cop tempat” (bahasa pasar).
Kesantunan berbahasa usah dilupakan
Memang
seronok apabila berkongsi maklumat mengenai soal penggunaan bahasa yang betul!
Saya suka melakukannya menerusi Facebook
pada waktu santai supaya cepat sampai kepada rakan-rakan yang berminat untuk
belajar.
Apabila
bercakap mengenai penggunaan bahasa yang betul, aspek kesantunan berbahasa juga
perlu diberikan perhatian. Sesekali saya cuba membimbing, mendidik dan menegur
rakan-rakan di Facebook dengan
“mengajar” mereka gaya santun dalam percakapan dan penulisan.
Jika
berkomunikasi dengan orang yang lebih dewasa, misalnya, jangan menggunakan kata
ganti nama diri kedua “awak”, “engkau”, “kau” atau “kamu”. Perkara ini
sebenarnya sudah diajar sejak sekolah rendah tetapi memandangkan sistem
pendidikan Malaysia hanya mementingkan markah, aspek kesantunan berbahasa
sering dilupa.
Harap
maklum bahawa “engkau” dan “kau” tidak sesuai digunakan apabila berkomunikasi
dengan “orang yang lebih dewasa” tetapi boleh digunakan apabila berkomunikasi
dengan Tuhan (sebagai “Engkau” dan “Kau”).
Apabila
saya memaparkan teguran berkaitan kesantunan bahasa itu di Facebook, Shela Rasin
bertanya sama ada kata ganti nama diri kedua “anda” boleh digunakan.
Saya
berusaha menjelaskan bahawa kata ganti nama diri kedua “anda” boleh digunakan
kerana ia tidak membezakan umur, taraf dan kedudukan. Penggunaannya bersifat
“neutral” apabila digunakan dalam komunikasi formal, tidak bersemuka atau
apabila ditujukan kepada khalayak umum.
Bagaimanapun,
penggunaan “anda” elok dielakkan dalam komunikasi bersemuka; bergantung kepada
kedudukan, taraf dan hubungan anda dengan orang itu. Contoh lazim kata ganti
nama diri kedua yang digunakan dalam komunikasi bersemuka: tuan, puan, cik, pak
cik, saudara, cikgu, encik, abang, kakak dan mak cik.
Ayat
“Cikgu/Puan/Kakak, awak sudah makan?” yang sering digunakan boleh sahaja
dibetulkan kepada “Cikgu/Puan/Kakak sudah makan?” dan “Encik/Tuan/Pak cik, kamu
perlu mengisi borang ini” kepada “Encik/Tuan/Pak cik perlu mengisi borang ini”
supaya memelihara kesantunan berbahasa tanpa sedikitpun mengubah makna.
Saya
tahu bahawa tindakan saya (minoriti) menegur dan mengajar penggunaan bahasa yang betul
menerusi Facebook kurang disenangi
orang (majoriti). Akan tetapi, saya tidak memerlukan sesiapa “menyenangi” apa
yang saya lakukan kerana tindakan saya adalah demi memartabatkan penggunaan
bahasa (mana-mana bahasa) yang betul; bukan untuk “disenangi” oleh sesiapa.
Terima
kasih kepada anda kerana sudi membaca makalah ini sepenuhnya. Semoga ada
sesuatu yang dipelajari dan mampu dimanfaatkan supaya kita dapat sama-sama
memartabatkan penggunaan bahasa yang betul dan penuh kesantunan.
[Makalah ini ditulis pada 11 Jun 2013 dan disiarkan di Projek Dialog pada 12 Jun 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan di Blog Uthaya
Sankar SB atas pilihan
sendiri.]