Salah satu “keunikan” yang sering
dipromosikan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) khasnya – dan Pakatan Rakyat (PR) amnya – adalah
tentang ahli pelbagai
kaum serta penolakan terhadap sentimen perkauman dalam parti politik
berkenaan.
Pada 31 Mei 2013, saya sedang minum
bersama-sama seorang rakan di sebuah restoran di Taman Sri Muda, Shah Alam dan
berpeluang mendengar (baca: mendengar tanpa masuk campur) perbualan sekumpulan
ahli PKR.
Untuk berlaku adil dan objektif serta tidak
menjatuhkan hukuman terhadap sesiapa, saya paparkan intipati perbualan mereka
berdasarkan catatan yang saya buat semasa sesi minum teh itu.
Kumpulan berkenaan ternyata tidak berpuas
hati kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar Arulanandam “tercicir”
daripada senarai Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (Exco) yang
diumumkan sehari sebelum itu.
Umum mengetahui bahawa sebelum ini memang
ada kempen besar-besaran oleh sekumpulan “orang dalam” yang tidak mahu Ketua
Cabang PKR Kota Raja dan Ahli Biro Politik PKR itu memegang jawatan Exco bagi
penggal kedua.
Menurut
laporan media (15 Mei 2013), kempen itu diterajui Dr S Streram (Petaling Jaya
Selatan), P Maniam (Hulu Selangor), S Murali (Puchong), Anthony Dass (Kota
Raja), P Krishnasamy (Klang), Dr Neduchelian (Kapar), M Jayabalan (Lembah
Pantai), S Balan (Subang) dan P Thiagarajan (OMS).
Sekumpulan penyokong tegar Xavier yang saya
temui di restoran itu pula ternyata mempersoalkan mengapa Naib Presiden PKR, N
Surendran dan Ahli Biro Politik PKR, Sivarasa K Rasiah yang juga Ahli Parlimen
Subang berdiam diri apabila Xavier tidak dilantik sebagai Exco.
Mereka turut mempersoalkan mengapa tidak
ada Exco kaum India dari PKR. Saya begitu
teringin untuk masuk campur dan bertanya berapa ramaikah sebenarnya ADUN kaum
India daripada PKR di Selangor. Bagaimanapun saya memilih untuk berdiam diri
sahaja dan terus mengikuti perbualan mereka yang amat rancak dan bertenaga.
“Punca utama semua ini berlaku adalah
kerana perpecahan dalam kalangan kaum India dalam PKR. Ada kumpulan yang
terang-terangan tidak mahu Xavier jadi Exco. Hujah pihak tertentu bahawa
pemilihan Exco dibuat berdasarkan formula 6:4 yang dikemukakan oleh Sultan
Selangor hanyalah alasan untuk menutup hakikat sebenar,” kata seorang peserta
dalam perbincangan itu.
Perbualan mereka terus melompat sebentar
kepada isu pelantikan pengerusi Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf), P Waythamoorthy sebagai Timbalan Menteri
di Jabatan Perdana Menteri. Mereka berhujah bahawa seorang “pengkhianat bangsa
dan negara” dilantik oleh Perdana Menteri dan pelantikan itu mendapat perkenan
Yang diPertuan Agong.
“Bayangkan kalau PR telah menang majoriti
dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan
Anwar Ibrahim bakal jadi Perdana Menteri. Kalau Agong tidak mahu perkenan, apa
yang akan berlaku? Tapi sekarang, dalam isu Xavier, dengan mudah sahaja orang
beri alasan bahawa ia ada kaitan dengan Sultan Selangor,” kata seorang pemuda.
Kumpulan yang rancak berbual sambil makan
dan minum di restoran itu berulang kali menyebut nama Surendran dan Sivarasa.
Memang kedengaran amat sinis apabila mereka berhujah bahawa kedua-dua peguam
itu tiba-tiba sibuk setiap kali ada pemuda kaum India mati di dalam lokap
tetapi hanya membisu dalam isu Xavier tidak dilantik menjadi Exco.
Perkauman dalam PR, kaum India selalu mengalah
Seorang pemuda tampil menjelaskan bahawa
PKR bukan sebuah parti politik berasaskan kaum. Pada pandangannya, kalau
sekalipun mahu dilihat dari sudut kaum, jawatan Exco itu masih diberi kepada
individu Bukan Melayu dari PKR.
“Kita jangan sempitkan fikiran dengan
mengatakan DAP sebuah parti orang Cina. Kalau begitulah pandangan kita, apa
bezanya kita (PR) dengan Umno, MCA dan MIC? Untuk jawatan Exco Selangor, DAP
beri satu kerusi kepada ADUN Kota Alam Shah, Ganabatirau Veraman dan itu sudah cukup bagus,” katanya.
Terus pula beberapa orang dalam kumpulan
itu mengungkitkan bahawa PKR menang besar di Selangor dalam PRU-13 berikutan
sokongan dan undi kaum India; tetapi mengapa dua wakil kaum India dari PKR
tidak dijadikan Exco seperti (khabarnya) pernah dijanjikan lima tahun dahulu.
Seorang lagi individu yang kelihatan
seperti memegang jawatan penting dalam PKR peringkat Taman Sri Muda menyatakan
pandangan bahawa PAS hanya menolong orang Melayu. Katanya, politik berasaskan
kaum masih wujud dalam PR.
“Xavier sudah banyak berkhidmat bagi kaum
India. Jadi, beliau perlu diberikan peluang menjadi Exco untuk penggal kedua
supaya boleh buat banyak lagi untuk kaum India. Xavier adalah Exco terbaik di
Selangor,” kata individu itu.
Hujah mengenai sentimen perkauman dalam PR
turut disokong oleh seorang lain individu yang terlibat dalam perbincangan.
Pada penelitiannya, politik perkauman dalam PR menyebabkan kaum India terpaksa
sentiasa mengalah dalam pelbagai hal sejak tahun 2008.
Mengenai formula “6 Melayu, 4 Bukan Melayu”
yang digunakan dalam pemilihan Exco Kerajaan Negeri Selangor, individu yang
kelihatan seperti mempengerusikan perbincangan itu mengatakan bahawa majoriti Melayu-Islam “sengaja dipilih” supaya
boleh membuat keputusan mudah (undi majoriti) dalam isu-isu berkaitan kebajikan
umat Islam dan rumah urut.
“Apa yang penting dan menjadi persoalan
kita sekarang adalah mengapa Surendran dan Sivarasa tidak tampil menyatakan
apa-apa bantahan apabila Xavier tidak terpilih. Apabila dihubungi, mereka kata
akan berbuat sesuatu tetapi sampai sekarang tak ada apa-apa,” tegasnya.
“Kaum India yang memberikan undi sehingga
PR menang majoriti dua pertiga di Selangor, tapi malangnya jasa kaum India
tidak dikenang selepas PRU13,” seorang lagi mencelah dengan nada kecewa.
Topik mengenai agama dan etnik/keturunan
juga muncul dalam perbualan yang berlangsung di restoran itu. Khabarnya apabila
Xavier dilantik sebagai Exco selepas PRU12, ada pihak dalam PKR sendiri yang
mempersoalkan kemampuannya menolong kaum India memandangkan beliau beragama
Kristian!
“Sekarang bekas pejuang Hindraf,
Ganabatirau yang berketurunan Telugu dilantik menjadi Exco. Kenapa
pula tidak ada sesiapa dalam PKR yang bising?” Demikian individu itu bertanya
tanpa mengharapkan sebarang jawapan.
“Mengapa Surendran dan Sivarasa membisu?”
Seorang lagi peserta perbincangan
mengulangi bahawa isu sebenar bukan mengapa Xavier tidak dilantik menjadi Exco
tetapi kenapa tidak ada wakil kaum India dari PKR dilantik. Katanya, kalau kaum
India (dalam PKR) terus berdiam diri, situasi serta nasib kaum India (dalam
PKR) akan menjadi lebih teruk selepas PRU14.
Manifesto PR turut menjadi sasaran kritikan
kumpulan yang sedang berbual-bual rancak itu. Pada pandangan mereka, manifesto
berkenaan turut gagal menjaga kebajikan kaum India.
“Hasil maklumat yang saya terima, sepanjang
lima tahun lalu, Menteri Besar Selangor tidak ambil pekerja kaum India untuk
bekerja di Bangunan SUK. Seolah-olah Kerajaan Negeri Selangor hanya tolong
orang Melayu sementara orang India terabai,” seseorang mencelah.
Berkali-kali juga kumpulan ahli PKR yang
berbual itu mengatakan bahawa Surendran dan Sivarasa sepatutnya
sekurang-kurangnya mengeluarkan kenyataan bahawa mereka berdua akan cuba
melakukan sesuatu.
“Kita semua undi PR dalam PRU13 sebab Barisan Nasional (BN) gagal membela nasib kaum India. Kini, di bawah PR di
Selangor, kaum India masih terabai. Jika kita terus dipinggirkan, kita sepakat
undi BN dalam PRU14,” kata seseorang dengan penuh semangat.
“Kalau Surendran dan Sivarasa tidak mampu membantu,
lebih baik mereka lepaskan jawatan. Saya dapat tahu bahawa apabila orang
menghubungi Surendran mengenai isu Xavier tidak dilantik sebagai Exco, dia
berkata ‘saya bukan MB, saya tak boleh buat keputusan’. Itu sahaja.
“Sejak lima tahun lalu, apabila ada
penduduk kaum India menghadapi apa-apa masalah, semua orang yang pegang jawatan
dalam Kerajaan Negeri Selangor suruh mereka jumpa Xavier. Tapi kini Xavier
tiada dalam barisan Exco,” kata seorang lagi dengan perasaan yang berbaur
antara marah, kecewa dan sayu.
Antara cadangan yang kedengaran semasa
perbualan mereka adalah supaya mengadakan tunjuk perasaan secara aman di luar
istana. Mereka juga bertekad meneruskan tunjuk perasaan di hadapan ibu pejabat
PKR.
“Surendran dan Sivarasa mungkin tidak berani
bersuara kerana takut hilang jawatan. Anwar pun nampaknya rasis macam Umno
juga. Semasa berkempen di Taman Sri Muda menjelang PRU13, dia nyanyi lagu-lagu
MGR dan menasihatkan orang ramai jangan tertipu dengan BN. Tapi akhirnya kaum
India masih tertipu oleh PR.” Demikian luahan perasaan seorang peserta dalam
perbincangan.
Dalam perkembangan lain, Ketua PKR Ranting
Sri Muda Utara, P Sabastine Rao
mengadakan sidang media bersama-sama beberapa penyokong Xavier di sebuah
restoran di Taman Sri Muda, baru-baru ini.
“Kami melahirkan rasa kecewa kerana
Surendran dan Sivarasa tidak tampil bersuara apabila Xavier tidak dilantik
sebagai Exco bagi penggal kedua,” katanya dalam sidang media yang ringkas dan
dihadiri wartawan akhbar Tamil.
[Makalah ini ditulis pada 3 Jun 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 4 Jun 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan di Blog Uthaya
Sankar SB atas pilihan
sendiri.]