Tuesday, 27 August 2013

“Amaran” kepada Pakatan Rakyat

Para pemimpin Pakatan Rakyat (PR), salam sejahtera. Saya tidak menyokong mana-mana parti politik dan saya bukan ahli mana-mana parti politik. Saya juga tidak berminat menyertai mana-mana parti politik.
 
Saya mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan “amaran” kepada anda hasil pemerhatian saya terhadap perkembangan parti-parti politik di negara ini; khususnya sejurus sebelum, semasa dan sejurus selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
 
Secara kebetulan, tarikh “amaran” ini ditulis adalah pada 13 Mei 2013 – bertepatan dengan tarikh “13 Mei” yang digunakan sejak tahun 1969 oleh Perikatan – kini Barisan Nasional (BN) – untuk menakut-nakutkan orang ramai supaya saling berprasangka berasaskan kaum dan agama.
 
Apa yang sedang dibuktikan oleh PR menerusi PKR, PAS dan DAP sejak belakangan ini adalah bahawa Rakyat (huruf besar disengajakan) sudah semakin menolak politik perkauman dan parti-parti politik berasaskan kaum. Malah, tarikh 13 Mei kini diraikan oleh Rakyat sebagai “Hari Perpaduan” tanpa restu BN.
 
Maknanya, kewujudan BN yang membahagikan parti-parti komponen mengikut kaum – misalnya UMNO untuk Melayu, MIC untuk India, MCA untuk Cina – sudah berani dicabar. Tambahan pula, BN turut ada “rakan” seperti IPF dan Hindraf yang mewakili “kaum India miskin” serta Perkasa yang mewakili kumpulan Melayu etnosentrik, fanatik, rasis dan ultra kiasu.
 
Maka, saya ingin menyampaikan “amaran” kepada anda kerana berani mengubah senario politik yang sudah menjadi “tradisi” di Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan; tanpa menafikan imaginasi orang bijak pandai tertentu yang membayangkan negara ini tidak pernah dijajah.
 
Saya perhatikan bahawa calon-calon yang bertanding di bawah PKR, DAP dan PAS pada PRU-13 terdiri daripada individu pelbagai kaum/agama. Realiti ini tidak pernah wujud – dan mustahil akan wujud – dalam BN. Paling baik boleh dilakukan oleh BN adalah mengangkat individu seperti Zulkifli Noordin untuk memperjuangkan nasib kaum India beragama Hindu. Atas sebab itu juga “amaran” wajar diberikan kepada anda sebagai pemimpin PR.
 
Semasa tempoh kempen PRU-13 (dari 20 April hingga 4 Mei 2013), saya perhatikan juga di sekitar kawasan Parlimen Kota Raja dan DUN Sri Muda bahawa ramai golongan muda pelbagai kaum/agama terlibat sebagai sukarelawan bagi memasang sepanduk, bendera dan bahan-bahan kempen.
 
“Amaran” wajar diberikan kerana walaupun PAS, DAP dan PKR secara teknikal masih tiga parti politik yang berbeza, serta PR bukan entiti berdaftar (berbanding BN), sukarelawan dari ketiga-tiga parti itu kelihatan bertolak-ansur, bekerjasama dan bantu-membantu.
 
Malah, mereka juga kelihatan makan-minum dan berbual-bual mesra di restoran dari semasa ke semasa. Anda wajar menyampaikan “amaran” kepada mereka kerana tindakan mereka membuatkan api perkauman dan persengketaan antara kaum semakin menipis.
 
Golongan sukarelawan pelbagai kaum/agama terbabit sedang secara terang-terangan menghakis dan menghapuskan bibit-bibit “pecah dan perintah” dan perkauman yang menjadi modal utama kepada BN untuk meneruskan corak pemerintahan zaman penjajahan British. Kalau Rakyat sudah bersatu, apa lagi modal yang ada?
 
Saya juga mahu menggunakan kesempatan ini untuk menyampaikan “amaran” kepada para sukarelawan terbabit yang tampil berkhidmat sebagai “sukarelawan” pada erti kata sebenar. Tahukah mereka bahawa tindakan mereka membuatkan pihak satu lagi kecewa? Hal ini kerana pihak yang satu lagi terpaksa mengeluarkan belanja yang besar untuk membayar upah kepada para “sukarelawan” mereka.
 
The Third Force dan Bangsa Malaysia
 
Anda tentu telah perhatikan bahawa saya menulis “Rakyat” menggunakan huruf besar. Amalan ini bukan bermakna saya mengaitkan “Rakyat” dengan PR. Tidak sama sekali! Sebaliknya, dalam sistem pemerintahan demokrasi, pihak yang paling berkuasa adalah Rakyat yang memilih wakil mereka untuk menguruskan pemerintahan (kerajaan).
 
Pihak anda pula perlu diberikan “amaran” kerana sentiasa memberikan kesedaran kepada Rakyat pelbagai kaum, agama, etnik, latar pendidikan, geografi, profesion dan sebagainya tentang “kuasa” yang ada di tangan Rakyat.
 
Anwar Ibrahim bukanlah tokoh politik kebanggaan saya. (Maaf! Saya tidak mahu berpura-pura.) Malah, saya pernah nyatakan dalam sebuah makalah sebelum ini bahawa jika Anwar bertanding bagi kerusi DUN Sri Muda atau Parlimen Kota Raja, tidak semestinya saya mengundi beliau.
 
Walau bagaimanapun, saya mahu juga menyampaikan “amaran” kepada Anwar kerana membangkitkan semangat reformasi dalam kalangan Rakyat secara berterusan sejak dilucutkan jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998.
 
Hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah bahawa Anwar (dan kumpulannya) berjaya menarik begitu ramai orang ke Stadium Kelana Jaya pada 8 Mei 2013. Kesemua mereka hadir dengan semangat “Bangsa Malaysia” demi menuntut keadilan serta menentang sebarang bentuk penipuan dalam PRU-13.
 
Selain daripada meletakkan calon “Bukan Cina”, DAP juga sudah berani menerobos kubu kuat UMNO di Johor dalam PRU-13. Biarlah saya menyampaikan “amaran” kerana DAP sedang membuktikan bahawa pengundi dan penduduk di negeri itu juga sedikit demi sedikit mula menolak politik berasaskan kaum yang mendarah-daging dalam BN.
 
Usah kita lupa bahawa pihak tertentu berusaha gigih “membuktikan” kepada kaum Melayu bahawa “satu undi bagi PAS bermakna satu undi bagi DAP”. Kempen oleh pihak yang sama kepada kaum Cina adalah bahawa “satu undi bagi DAP bermakna satu undi bagi PAS”.
 
Kempen yang dijalankan dalam kalangan kaum India pula adalah bahawa “satu undi bagi PAS bermakna satu undi untuk potong tangan” iaitu memomokkan masyarakat menerusi penyebaran maklumat palsu (fitnah) mengenai Hukum Hudud.
 
“Amaran” perlu diberikan kepada PAS, PKR dan DAP kerana tetap tidak makan saman. Sebaliknya anda sedang terus membuktikan kepada orang ramai bahawa politik kotor yang ditangani oleh pihak tertentu tidak akan mampu mempengaruhi Rakyat.
 
Sekali gus, PR menghormati kebijaksanaan dan kemampuan Rakyat membuat penilaian berdasarkan fakta yang ada di depan mata. Tentulah “amaran” perlu diberikan kepada PR kerana cuba memberikan ruang dan peluang kepada Rakyat untuk berfikir. Tidakkah anda tahu bahawa Rakyat yang berfikir akan menjadi golongan yang celik politik dan tidak boleh diperkudakan oleh politikus?
 
Akhirnya, walaupun keputusan “rasmi” PRU-13 menunjukkan bahawa BN menang 133 kerusi Parlimen manakala PR hanya menang 89 kerusi, perubahan nyata sudah berlaku dalam kalangan Rakyat. Mereka kini sudah benar-benar membuktikan kuasa “The Third Force” yang tidak akan hanya berdiam diri dan menerima bulat-bulat apa-apa yang diarahkan oleh politikus.
 
Saya merakamkan “amaran” kepada PR kerana turut memainkan peranan besar dalam kebangkitan Rakyat. Golongan Rakyat juga akan terus memantau anda jika anda membentuk Kerajaan Pusat pada masa hadapan.
 
Kepada BN pula, saya mengucapkan “tahniah” dan “syabas” kerana terus berjaya menggenggam Putrajaya dengan apa cara sekali pun. Ucapan tahniah pula kepada Rosmah Mansor kerana dialah juara sebenar dalam PRU-13 kerana berjaya kekal sebagai “Wanita Pertama” walaupun dilanda “tsunami Rakyat”.
 
[Makalah ini ditulis pada 13 Mei 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 14 Mei 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!