Tarikh mengundi sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) semakin hampir dan antara topik yang masih
hangat adalah mengenai tindakan Barian Nasional (BN) meletakkan Zulkifli Noordin sebagai calon bagi
kerusi Parlimen Shah Alam.
Agak menarik untuk diperhatikan bahawa
Zulkifli adalah “calon rakan BN” dan bukannya “calon BN”. Nampaknya UMNO dan Presiden UMNO sendiri tidak
berani mengambil risiko meletakkan lelaki rasis, fanatik, etnosentrik dan ultra
kiasu itu sebagai “calon BN” bagi bertanding kerusi Parlimen Shah Alam!
Pada masa sama, perlu diingat bahawa
Zulkifli bukan calon dari mana-mana parti komponen BN; sebaliknya calon pilihan
Pengerusi BN sendiri secara langsung. Mungkin itulah antara sebab MIC tidak berani bersuara menentang
pencalonan itu sebaik diumumkan pada 16 April 2013. [SENARAI CALON BN SELANGOR]
Dalam pada itu, ada pihak yang mengatakan
bahawa kaum India/Hindu perlu memaafkan
Zulkifli (atau sesiapa sahaja) yang pernah menghina agama Hindu dan mengundinya dalam
PRU-13. Seolah-olah kemenangan BN adalah lebih besar daripada maruah para
pengundi.
Rayner
Sylvester Yeo dari Bandar Baru Klang (Parlimen Shah
Alam) memberikan reaksi menerusi mesej Facebook
kepada saya bahawa beliau berterima kasih kepada Pengerusi BN. “Terima kasih
kerana memudahkan saya untuk membuat keputusan,” kata pemuda itu yang berasal
dari Sabah.
“Dia (Zulkifli) telah meminta maaf dan saya
mendapat maklum balas bahawa sebilangan besar kaum India menyokong beliau,”
kata Pengerusi BN seperti dilaporkan di Utusan
Malaysia (23 April 2013).
Saya percaya bahawa pandangan itu adalah
“imaginasi” Datuk Seri Najib Razak semata-mata. Mungkin juga
beliau mengeluarkan kenyataan itu apabila MIC, PPP, IPF, Hindraf dan parti-parti lain dalam BN
“tidak cukup jantan” untuk tampil menolak pencalonan Naib Presiden Pertubuhan
Peribumi Perkasa (Perkasa).
Keadaan “membisu” itu mungkin dianggap oleh
Najib sebagai “bersetuju” tanpa mengambil kira realiti masyarakat pelbagai kaum dan agama
membidas serta menolak pencalonan Zulkifli.
Baru-baru ini, lebih 100 ahli MIC di Shah
Alam dilaporkan keluar parti berikutan isu Zulkifli, Ibrahim Ali dan Ahmad Nawawi M Zin.
Ibrahim adalah Presiden Perkasa yang amat rasis tetapi tidak pernah diambil
sebarang tindakan oleh Kerajaan BN walaupun dia menghina agama. Dia bertanding
kerusi Parlimen Pasir Mas, Kelantan dan calon BN/UMNO, Che Johan Che Pa menarik diri pada saat akhir.
Ahmad Nawawi pula calon DUN Batu Tiga dan
dia pernah terlibat secara langsung dalam insiden menghina penganut agama Hindu
dengan memijak kepala lembu pada 28 Ogos 2009.
Kejadian itu berikutan bantahan terhadap cadangan pemindahan Kuil Sri Maha
Mariamman dari Seksyen 19 ke Seksyen 23, Shah Alam.
UMNO dipenuhi pemimpin rasis?
Di Sungai Rapat, Perak pula, seorang lagi
calon BN/UMNO, Hamidah Othman dilaporkan pernah mengguris hati kaum India
dengan mengeluarkan kenyataan “Jika bertemu ular dan orang India, bunuh orang
India dahulu”. Maknanya, UMNO memang dipenuhi pemimpin yang rasis serta tidak
tahu menghormati perasaan orang lain.
Berbalik kepada isu pencalonan Zulkifli, Shahrul Nizam, seorang pegawai Jabatan
Sumber Manusia di sebuah syarikat swasta di Shah Alam menyatakan bahawa
walaupun beliau tidak mengundi di Parlimen Shah Alam, sebagai seorang Islam,
beliau berasa amat malu apabila Zulkifli mengeluarkan kenyataan yang jahil sifatnya.
“Islam melarang umatnya menghina agama dan
kepercayaan umat lain. Pemimpin yang tidak mampu menyelaras minda ketika
berucap bukanlah seorang pemimpin. Mereka ini tidak lebih daripada seekor
burung kakak tua. Malaysia tidak perlu kepada pelaris agama yang bersifat
menghina kepercayaan orang lain kerana Islam terlalu indah, Malaysia terlalu
aman,” kata pemuda itu yang berasal dari Alor Setar, Kedah.
Seorang lagi rakan di Facebook, Khairul Azhar
Tarmizi yang berasal dari Batu Gajah, Perak mengatakan bahawa golongan
oportunis seperti Zulkifli akan berbuat apa sahaja untuk mendapatkan undi. Pada
pandangan juruukur bahan ini, kesalahan Zulkifli mungkin boleh dimaafkan “tapi
jangan lupakan”.
Ghanthimathi, seorang pegawai teknologi makanan di Sungai Buloh pula meluahkan
rasa sedih dan kecewa dengan sikap politikus yang tidak tahu menghormati
sensitiviti masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.
“Mengapa golongan ini sentiasa mengeluarkan
kenyataan yang menghina dan mengguriskan hati kaum India dan penganut agama Hindu? Mengapa mereka seolah-olah
begitu membenci kaum India?” Demikian tanya wanita ini yang saya kenali sejak
zaman sekolah rendah di Aulong, Taiping, Perak.
Pembantu penyelidik dari Kajang, Mohamad Firdaus Rosli turut berkongsi
pandangan semasa topik ini dibincangkan di laman rangkaian sosial baru-baru
ini.
“Seorang Muslim sejati tidak akan menghina
rakannya yang berlainan agama kerana perkara sedemikian ditegah oleh Rasulullah s.a.w. tercinta,” pemuda
yang berasal dari Sungai Petani itu mengingatkan.
Bagi Baradhan
Krishnan dari Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, biarlah Tuhan sahaja yang menghukum Zulkifli
jika dia bersalah dan orang ramai tidak perlu emosional dengan kenyataan
Zulkifli yang menghina agama Hindu.
“Jika kita menentang, seolah-olah kata-katanya
adalah benar. Kalau mahu menyentuh mengenai orang yang menghina kaum India dan
agama Hindu, bukan Zulkifli sahaja yang berbuat begitu. Tindakan perlu diambil
terhadap ramai lagi orang. Cara terbaik adalah dengan kerajaan menggubal
undang-undang ketat bagi menghukum mana-mana pihak yang menghina mana-mana
agama atau kaum,” kata eksekutif pemasaran insurans itu.
Konsep 1Malaysia sudah terkubur
Seorang rakan perunding kewangan, Aslambigai dari Kuala Lumpur mengakui
bahawa penganut agama Hindu di Malaysia sering menjadi mangsa penghinaan.
Bagaimanapun, katanya, penganut Hindu diajar supaya tidak membalas perbuatan
itu dengan turut menghina orang lain.
“Kita tidak perlu risau memikirkan adakah
kenyataan Zulkifli itu benar atau salah. Malah, agama Hindu mengajar kita
supaya bertolak ansur dan sifat itu amat penting dalam konteks Malaysia. Kita
terpaksa menerima hakikat bahawa orang seperti Zulkifli memang wujud dan kita
yang beragama perlu menguatkan iman serta bertolak ansur,” kata wanita ini yang
berasal dari Taiping.
Turut berkongsi pandangan dalam isu ini
ialah Mohanan @ Mohan Perumal, editor berita di akhbar Makkal Osai. Walaupun beliau ahli MIC, Mohan tetap lantang bersuara
menentang pencalonan Zulkifli.
“Saya ada beberapa kawan rapat dalam MIC
dan sebahagian daripada mereka turut dicalonkan untuk bertanding dalam PRU-13.
Ada dalam kalangan mereka yang kecewa kerana saya lantang mengkritik keputusan
Najib meletakkan Zulkifli sebagai calon.
“Saya sedar bahawa ramai di antara
rakan-rakan saya dalam MIC juga marah dan kecewa dengan tindakan Najib yang
menghancurkan usaha MIC sejak empat tahun lalu untuk meraih kembali kepercayaan
kaum India terhadap BN. Rakan-rakan dalam MIC memilih untuk memendam rasa marah
dan kecewa tetapi saya berani meluahkannya secara terbuka,” katanya.
Bagi Tharmaraj
Bathmanathan dari Klang, agama dan bahasa adalah identiti serta diibaratkan
seperti “dua mata” bagi setiap kaum.
“Perdebatan intelektual tentang kedua-dua
topik itu boleh diterima tetapi kutukan dan penghinaan tidak boleh diterima
sama sekali. Apatah lagi apabila individu terbabit adalah seorang yang
berpendidikan tinggi (peguam) yang sepatutnya mampu berfikir secara rasional
sebelum bertutur.
“Dalam kes Zulkifli, jelas menunjukkan
fikiran dan pendirian rasis serta fanatik. Individu seperti ini tidak boleh
mewakili penduduk pelbagai kaum dan agama di Malaysia dengan memenangi pilihan
raya. Najib telah menguburkan konsep 1Malaysia dengan menamakan Zulkifli
sebagai calon PRU-13,” jurutera rangkaian itu menegaskan.
Pasti sahaja pemimpin, penyokong dan
juak-juak dalam MIC, UMNO dan BN akan berusaha bersungguh-sungguh untuk
“memutihkan” imej Zulkifli menjelang tarikh mengundi pada 5 Mei 2013. Namun,
saya percaya bahawa para pengundi pelbagai kaum dan agama di kawasan Parlimen
Shah Alam akan tetap menolak calon yang rasis, fanatik dan sanggup menghina
mana-mana agama.
Biarlah keputusan pengiraan undi di
Parlimen Shah Alam menjadi pengajaran kepada BN bahawa masyarakat pelbagai kaum
dan agama di negara ini menolak politik perkauman dan politikus
yang bersikap etnosentik dan ultra kiasu.
Nota:
Dalam PRU-13, bagi kerusi
Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad mendapat 49,009 undi manakala Zulkifli
Noordin mendapat 38,070 undi.
[Uthaya
Sankar SB berkempen menolak politik perkauman menerusi tulisan. Makalah ini
ditulis pada 29 April 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 29 April
2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]