16 Aug 2013

David dan Politik Malaysia

In politics, you either make your enemy guilty or an example.”
 
Demikian terjemahan salah satu dialog yang diucapkan oleh seorang politikus bernama Malati Tai (lakonan Rohini Hattangadi) kepada watak David yang mempersoalkan mengapa bapanya dipukul dan dihina pengikut parti politik pimpinan wanita itu.
 
Jika anda bercadang menonton filem David (2013) tulisan/arahan Bejoy Nambiar, suka saya mencadangkan supaya anda menonton versi Tamil mengenai kisah watak David dan David sebelum menonton versi Hindi mengenai kisah watak David, David, David dan anak David. Ada kejutan (twist) menanti.
 
Bagaimanapun, sebelum bercakap mengenai filem Tamil/Hindi berkenaan, amat wajar jika kita melihat sedikit perkembangan politik dalam negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Sekiranya diteliti, ada satu bahagian daripada filem David yang boleh dikaitkan dengan “naluri kebinatangan” golongan politikus.
 
Apabila memperkatakan mengenai politik dalam kalangan kaum India, tidak dapat tidak, pasti perlu dikaitkan (walau sedikit) dengan MIC kerana parti politik itu kononnya mewakili “suara” kaum India dalam kerajaan sejak negara merdeka.
 
Namun begitu, bukti nyata MIC sudah tidak mampu “bersuara” menjadi amat nyata pada saat Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak mengangkat Zulkifli Noordin untuk bertanding kerusi Parlimen Shah Alam sebagai calon “rakan BN” dan MIC hanya membisu.
 
Maka, kita lupakan sahaja mengenai MIC buat waktu ini. Kredibiliti Najib sendiri sebagai “Tokoh Nambikei” yang melaung-laungkan slogan muluk “1Malaysia” sejak beberapa tahun lalu juga musnah dan “berkecai seperti tembikai” apabila beliau mengangkat Zulkifli tanpa mengambil kira sensitiviti kaum India dan penganut agama Hindu.
 
Malah, sebenarnya, pemilihan Zulkifli dibantah masyarakat pelbagai kaum dan agama. Hanya juak-juak BN yang tiada pilihan selain menyokong, menyanjung – malah mencium pipi dan entah menjilat apa lagi – Zulkifli, seorang lelaki yang terbukti rasis, etnosentrik, fanatik dan ultra kiasu.
 
Permainan politik BN yang sangat menarik juga dapat diperhatikan apabila calon BN bagi Parlimen Pasir Mas “memilih” untuk tidak mengemukakan borang pencalonan pada 20 April 2013. Maka, seorang lagi tokoh rasis, ultra kiasu, fanatik dan etnosentrik bernama Ibrahim Ali sah bertanding sebagai calon bebas menentang calon PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
 
Secara logik, tentulah jentera pilihan raya BN di Pasir Mas tidak akan menyokong calon PAS. Sebaliknya, pasti bermati-matian menyokong Presiden Perkasa itu. Jangan terkejut jika keluar pula foto juak-juak MIC/UMNO memeluk dan mencium pipi/mulut lelaki itu yang digelar “katak” kerana selalu lompat parti.
 
Najib membuktikan kepada masyarakat pelbagai kaum bahawa BN merestui, menyokong serta mengalu-alukan pemimpin rasis, fanatik, etnosentrik dan ultra kiasu dalam pentadbirannya pada masa “dulu, kini dan selama-lamanya”. Slogan “1Malaysia” bagaikan sudah disumbat ke dalam lubang tandas secara rasmi pada 20 April 2013.
 
Dua hari sebelum itu, perpecahan lebih nyata berlaku dalam kalangan penyokong dan pemimpin gerakan Hindraf yang mula bernafas pada 2006 dan bangkit berjuang pada November 2007. Malangnya, selepas itu, para pemimpin dalam gerakan itu sendiri sudah berpecah dan berpisah.
 
Hindraf tak kisah BN atau PKR memerintah?
 
Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa P. Waythamoorthy sudah berjaya mendaftarkan Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf) sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada 8 Mac 2013. Ramai juga – mungkin termasuk Najib sendiri – tidak tahu bahawa sebelum menandatangani perjanjian bersama-sama BN pada 18 April 2013, Waythamoorthy telah berusaha mengadakan rundingan bersama-sama para pemimpin Pakatan Rakyat (PR).
 
Dr Paraman Subramaniam mendedahkan pada 20 April 2013 bahawa pertemuan antara Hindraf dan PR sepatutnya diadakan seminggu lebih awal sebelum perjanjian Hindraf-BN.
 
“Sejak Sabtu (13/4), Ahad (14/4) dan Isnin (15/4), pemimpin PR mempermainkan (teasing) kami dengan mengajak mengadakan pertemuan. … Pada petang Ahad, mereka mengesahkan Anwar, Lim Kit Siang dan Husam Musa akan hadir,” katanya dalam catatan di Facebook.
 
Khabarnya, pada petang Isnin (15 April 2013), Paraman dan Ganesan (penasihat kebangsaan Hindraf) pergi ke ibu pajabat PKR atas pujukan pihak tertentu. Menurut Paraman dalam catatannya, Anwar mengelakkan diri daripada bertemu dengan menyusup keluar dari sana selepas mereka berdua tiba.
 
Menurut maklumat di laman sesawang pihak berkenaan, Hindraf pimpinan Waythamoorthy mengadakan 24 kali pertemuan dengan Anwar dan lima pertemuan dengan Najib. Akhirnya Najib menerima Hindraf selepas “diabaikan” oleh Anwar yang turut mengabaikan Human Rights Party (HRP) pimpinan Uthayakumar.
 
Sama ada benar atau tidak kisah-kisah itu, apa yang lebih menarik dalam plot cerita ini adalah bahawa apabila gagal berunding dengan PR, Hindraf masih ada “peluang” berunding dengan BN. Maka, jangan ada sesiapa yang terkejut dengan kata-kata pengakuan bahawa Waythamoorthy “tidak kisah sama ada Rama atau Ravana yang memerintah”.
 
Dalam filem David yang saya sebut pada bahagian awal tadi, ada beberapa cerita berlaku sekali gus. Begitulah juga dalam perkembangan plot melibatkan UMNO, MIC, Hindraf, Perkasa dan HRP. Kesemuanya kelihatan berasingan tetapi masih ada kaitan dan titik pertemuan. Ada kejutan dan twist yang menanti di mana-mana.
 
HRP masih belum diluluskan pendaftaran sebagai parti politik. Dalam perkembangan terbaru, jurucakap HRP meminta saya supaya tidak merujuk kepada P. Uthayakumar sebagai calon HRP dalam PRU-13; sebaliknya sebagai “calon bebas yang membawa semangat Hindraf”.
 
Tentulah kurang sesuai – dan kurang tepat – memandangkan Hindraf adalah sebuah NGO berdaftar yang menyokong BN, sedangkan Uthayakumar diisytiharkan oleh jurucakap HRP itu sendiri sebagai “musuh nombor dua bagi UMNO”.
 
Apa-apa pun, HRP memang telah berusaha mengadakan rundingan dengan PR, khabarnya bagi membela nasib “kaum India miskin”. Malangnya Anwar/PKR tidak bersetuju untuk bekerjasama; khususnya apabila HRP/Uthayakumar meminta sejumlah kerusi Parlimen dan DUN untuk ditandingi wakil HRP di bawah tiket PKR.
 
Selepas “kegagalan” itulah maka HRP mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas di beberapa tempat yang ditandingi calon PKR dan PAS. Jurucakap HRP mengakui bahawa langkah itu bertujuan “kacau daun” dan mendesak Anwar akur pada permintaan mereka.
 
Anehnya, pada masa sama – atau sekurang-kurangnya sehingga sehari sebelum tarikh penamaan calon – HRP masih merayu-rayu dan mengharapkan agar Anwar bermurah hati dan membenarkan calon HRP bertanding atas tiket PKR. Tambahan pula (pada penelitian saya) selepas Hindraf pimpinan Waythamoorthy (adik kandung Uthayakumar) sudah mengisytiharkan sokongan 100 peratus kepada BN.
 
Dalam politik, kamu sama ada menjadikan musuh kamu sebagai pihak yang bersalah atau menjadikan mereka sebagai contoh (amaran) kepada orang lain. Demikian terjemahan kata-kata Malati Tai (Ibu Malati) dalam filem David.
 
PR jangan jadi “musuh” kepada Rakyat!
 
Versi Tamil filem itu menampilkan kisah watak David (lakonan Vikram) dan David (Jiiva). Versi Hindi pula menyajikan kisah watak David (lakonan Vikram), David (Vinay Virmani), David (Neil Nitin Mukesh) dan anaknya, Iqbal (juga lakonan Neil Nitin Mukesh). Jukstaposisi yang dilakukan amat hidup dan menjadikan kisah lebih menarik.
 
Kisah dalam kedua-dua versi lakonan Vikram adalah sama; hanya dialih bahasa dan ditambah pada beberapa babak melibatkan interaksi dengan watak dari versi Hindi.
 
Kisah melibatkan watak lakonan Vinay Virmani dan Jiiva lebih menarik kerana menggabungkan babak-babak yang sama dan juga babak-babak yang dirakam dua kali menggunakan watak-watak yang sama. (Jangan lupa bahawa saya masih bercakap mengenai politik tanah air melalui kiasan ini.)
 
Kisah ketiga (filem hitam-putih) melibatkan watak David dan Iqbal lakonan Neil Nitin Mukesh langsung tiada dalam versi Tamil. Maka, apabila menonton filem versi Hindi, kita berpeluang mendapatkan maklumat tambahan yang “tiada” (disembunyikan?) dalam versi Tamil.
 
Walau bagaimanapun, individu ultra kiasu seperti Ridhuan Tee Abdullah yang menyokong pengharaman filem Vishwaroopam (2013) selepas “Majlis Madrasah India Muslim Malaysia (MIM) memberi maklumat” pasti akan tampil menggesa versi Hindi filem David diharamkan di Malaysia.
 
Apa tidaknya! Ada adegan asmara di atas katil melibatkan lelaki beragama Kristian dan wanita beragama Islam yang bukan suami-isteri. Sekumpulan watak beragama Islam digambarkan sebagai penjenayah di London. Ada pula adegan melibatkan upacara mazhab Syiah. Ridhuan Tee bolehlah mendapatkan maklumat lanjut daripada MIM sebelum menulis di akhbar.
 
Drama politik melibatkan UMNO, MIC, Perkasa, Hindraf dan HRP pada masa sekarang adalah umpama kisah dalam filem David. David mencintai Roma tetapi wanita itu mahu mengahwini Peter. Father Noel menjadi mangsa politik sehingga menyebabkan David mengubah “tujuan” hidup. Dalam situasi lain, David mahu tahu apakah benar mendiang ibunya pernah menjadi wanita simpanan tuannya.
 
Sementara UMNO, MIC, Perkasa, Hindraf dan HRP berganding bahu dan bekerjasama – secara langsung atau tidak langsung, secara sedar atau tidak sedar – untuk menafikan kemenangan calon-calon PR dalam PRU-13, jangan kita lupa bahawa plot dalam kisah politik PR juga amat menarik dan mampu meloyakan Rakyat (huruf besar disengajakan).
 
Selepas sekian lama begitu ramai pengundi menunggu peluang untuk “mengubah” kerajaan BN, kini timbul pula kisah mengenai realiti perpecahan, percanggahan dan pergeseran dalam PR apabila berlaku pertindihan antara calon PAS dan PKR melibatkan satu kerusi Parlimen dan lima kerusi DUN.
 
Dilaporkan juga bahawa dua ahli DAP bertanding sebagai calon bebas tanpa kebenaran parti. Segala drama dan plot ini mungkin akan menyebabkan orang ramai (pengundi) mempertikaikan kredibiliti PR. Sudahlah UMNO, MIC, Perkasa, Hindraf dan HRP dipinggirkan ramai orang; bayangkan apa pula yang akan berlaku jika DAP, PKR dan PAS menampilkan kebodohan yang sama.
 
Politikus usah lupa bahawa Rakyat sudah semakin bijak dan tidak menyokong mana-mana individu atau parti politik secara membabi buta. Realiti kehidupan juga tidak seperti filem David yang boleh dibuat dalam dua versi dengan menampilkan beberapa pengakhiran yang boleh dipilih-pilih dan dimanipulasi mengikut sempadan geografi.
 
In politics, you either make your enemy guilty or an example.” Maka, dalam keghairahan mengejar undi, kerusi dan kuasa, jangan sampai politikus menjadi musuh kepada Rakyat.
 
Nota: Keputusan PRU-13 pada 5 Mei 2013 menunjukkan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mendapat 33,431 undi sementara Ibrahim Ali mendapat 25,384 undi bagi kerusi Parlimen Pasir Mas. Bagi kerusi Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad mendapat 49,009 undi manakala Zulkifli Noordin mendapat 38,070 undi.
 
[Makalah ini ditulis pada 21 April 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 22 April 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]