[Seluruh negara ternanti-nanti dan tertunggu-tunggu pengumuman
tarikh pembubaran Parlimen tetapi Najib bersama konco-konconya sibuk dengan
segala macam pengumuman lain.]
Saya merayu kepada Perdana Menteri tercinta
merangkap Pengerusi Bar1san Nas1onal (BN) merangkap
Presiden UMNO merangkap pemangku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat, Datuk Seri Najib Razak supaya tidak tergesa-gesa
mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen.
Tolong tunggu dulu! Ada tugas penting yang perlu
saya bereskan.
Saya harap wanita paling anggun, Datin Seri
Rosmah Mansor akan turut sudi memujuk suaminya agar menangguhkan dahulu pembubaran Parlimen. Tolong, ya, Datin
Seri.
Apabila saya mengemukakan rayuan ini secara
terbuka menerusi laman rangkaian sosial Facebook
pada 21 Mac 2013, ada kenalan yang bertanya adakah saya sedang cuba menggunakan
‘reverse psychology’ iaitu “mendesak”
Najib segera membubarkan Parlimen.
Sebenarnya, tidak. Ini bukan ‘reverse psychology’. Rayuan ini memang
pada tahap “dengarlah rayuanku” ala-ala lirik sebuah lagu lama yang saya sudah
tidak ingat judul dan penyanyinya.
Memanglah sebelum ini saya – sebagaimana
rata-rata Rakyat Malaysia – ternanti-nanti dan tertanya-tanya bilakah Parlimen
akan dibubar supaya pengundi boleh segera melaksanakan tugas dan tanggungjawab
dalam menentukan masa depan negara tercinta.
Pada waktu itu, saya hanya meminta
(menerusi catatan pada ruangan status Facebook,
tentunya) supaya Najib tidak mengganggu tarikh 30 Mac 2013 kerana pada tarikh
itu saya akan menyertai acara Readings@Seksan
kelolaan Sharon Bakar di Bangsar Baru, Kuala Lumpur.
Kemudian, saya juga memberi jaminan
(ala-ala politikus pula ya!) bahawa saya akan mengumumkan tarikh penerbitan kumpulan
cerpen terbaru saya, Kisah dari Siru Kambam sebelum
Najib membubarkan Parlimen. [BACA DI SINI]
Janji itu juga sudah saya tepati berkat
“kerjasama” Najib yang dikatakan masih belum cukup berani membubarkan Parlimen.
Kata orang – kata orang, bukan kata saya – Najib bimbang tidak akan berpeluang
lagi “berumah” di Putrajaya sampai bila-bila
selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Berbalik pada rayuan saya supaya Najib
terus menangguhkan tarikh pembubaran Parlimen, ada juga rakan yang menganggap
saya mahu melancarkan Kisah dari Siru
Kambam sebelum Parlimen dibubar dan saya mungkin bercadang mengundang Datin
Seri Rosmah Mansor untuk menyempurnakan majlis pelancaran itu.
Mahu Rosmah lancar buku saya?
Tanggapan serta andaian ini mungkin muncul
kerana saya sering merujuk beliau sebagai “wanita anggun” dalam beberapa
tulisan saya. Bagi mereka yang tidak mengikuti perkembangan politik negara,
Rosmah adalah isteri kepada Najib dan mengisytiharkan dirinya sebagai “Wanita
Pertama” (First Lady).
Rosmah baru sahaja melancarkan biografinya
dan khabarnya dijual pada harga RM150 senaskhah. Tentulah saya tidak mampu
membelinya kerana saya antara manusia yang lupa menabung sejak dalam kandungan.
Mujurlah mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Muhammad semasa melancarkan
biografi itu pada 19 Mac 2013 mencadangkan supaya buku berkenaan diedarkan ke
sekolah-sekolah supaya menjadi bacaan pelajar dalam tempoh 100 atau 200 tahun
akan datang.
Maka, saya masih ada harapan untuk meminjam
biografi wanita anggun itu – Lihat! Saya menggunakan pujian itu lagi! –
daripada mana-mana anak jiran yang masih bersekolah dalam tempoh 100 atau 200
tahun nanti. Masih ada ruang dan peluang.
Akhbar Utusan
Malaysia (20 Mac 2013) melaporkan bahawa Biografi Rosmah Mansor ditulis penggiat teater dan novelis, Siti
Rohayah Attan dan Ketua Biro Utusan Malaysia di Putrajaya, Noraini Abd Razak,
serta dibiayai Yayasan Amanah Perdana Malaysia (YAPM).
Pada hari pelancaran biografi berkenaan,
khabarnya sejumlah RM500,000 berjaya dikutip. Semua ini tentu disebabkan berkat
aura Mahathir dan Rosmah sendiri.
Bagi sesiapa yang tidak mengenali Mahathir
pula, beliau pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun. Kata
orang, beliau sebenarnya keturunan Malayali dan kaum India. Beliau
juga ahli berdaftar pertama bagi parti politik UMNO Baru yang ditubuhkan pada tahun
1988. Beliau kemudian keluar dari UMNO Baru kerana merajuk dan masuk
semula tanpa dipujuk.
Selain daripada itu, buku Mahathir berjudul
A Doctor In the House (2011) dijual
pada harga RM100; iaitu RM50 lebih murah berbanding Biografi Rosmah Mansor (2013). Saya pernah dihadiahi senaskhah buku
Mahathir itu pada suatu majlis.
Saya menyimpan buku itu baik-baik tanpa
membuka plastik pembalut. Apabila muncul ruang dan peluang beberapa bulan
kemudian, saya menghadiahkannya kepada seorang kawan dari Teluk Intan, Perak.
Saya harap beliau sudah membaca buku itu.
Menikmati transformasi pada saat akhir
Oh! Nampaknya saya asyik terkeluar topik.
Samalah seperti Najib. Seluruh negara ternanti-nanti dan tertunggu-tunggu
pengumuman tarikh pembubaran Parlimen tetapi beliau bersama konco-konconya
sibuk dengan segala macam pengumuman lain yang hanya membawa kepentingan kepada
BN.
Berbalik pada andaian kemungkinan saya mahu
Rosmah melancarkan buku Kisah dari Siru
Kambam, sebenarnya tidak pernah terlintas cadangan mega seperti itu. Buku
saya sudah dilancarkan pada 10 Mac 2013 oleh
seorang tokoh yang berwibawa pada majlis yang kecil-kecilan di Perpustakaan
Raja Tun Uda, Shah Alam.
Tambahan pula, mana mungkin saya dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
mampu menguruskan suatu majlis besar yang sesuai dan layak untuk dihadiri oleh
wanita anggun itu. Semua itu hanya boleh berlaku dalam angan-angan dan mimpi
siang hari.
Ada juga rakan-rakan yang bertanya apakah
“tugas penting” yang mahu saya bereskan itu lebih penting daripada pembubaran
Parlimen. Soalan yang wajar juga.
Namun, nampak gayanya, memang pembubaran
Parlimen tidak begitu penting bagi Najib. Sebaliknya beliau lebih berminat
untuk melihat, menyaksikan, menikmati serta menghayati suasana rakyat mendapat
nikmat yang sepenuhnya daripada pelbagai pelan transformasi yang dilakukan oleh
beliau pada saat-saat akhir menjelang PRU-13.
Walau apa-apa pun, bukankah Najib sudah
menunggu begitu lama – sementara Rakyat dan pengundi (termasuk warga asing yang
khabarnya sudah mendapat hak kewarganegaraan) terus ternanti-nanti tarikh
PRU-13?
Masakan pula beliau tidak sudi menunggu
sedikit masa lagi khusus untuk memberi ruang dan peluang kepada saya
melaksanakan tugas penting itu. Barulah saya akan mendapat “nambikei” seperti yang dilaung-laungkan
oleh Pengerusi BN itu yang tiga tahun berturut-turut pergi ke Batu Caves
sempena Thaipusam.
Sebelum ini, memandangkan tarikh pembubaran
Parlimen belum diumum, saya bercadang untuk ke Kelantan. Acara Baca Cerpen Siru Kambam II dijadualkan
pada 23 Mac 2013 dan cuti sekolah pula sudah bermula. Parlimen akan terbubar
sendiri pada 28 April 2013. Masih ada masa lebih sebulan.
[Kemas kini pada 28 Mac 2013: Memandangkan 28 April 2013 adalah hari
Ahad, maka Parlimen akan terbubar sendiri menjelang tengah malam Isnin, 29
April 2013; berkuat kuasa Selasa, 30 April 2013.]
Akan tetapi, apabila difikir-fikirkan, saya
boleh sahaja pergi ke Kelantan pada waktu lain. Saya percaya
bahawa Kerajaan Negeri Kelantan akan kekal tanpa sebarang perubahan selepas
PRU-13. Negeri itu juga akan kekal “miskin” pada pandangan Najib dan sekutunya.
Bolehlah saya melawat semula “negeri miskin” itu selepas PRU-13, seperti
yang saya lakukan pada Mac 2012.
Akan tetapi, saya bukan seperti (sekadar
contoh rambang) Saiful Bukhari Azlan yang mampu menahan
daripada membuang air besar selama beberapa hari. Saya seperti mana kebanyakan
Rakyat dan pengundi berdaftar lain, tidak dapat menahan perut terlalu lama.
Kalau kami terpaksa menahan, menunggu dan
menanti terlalu lama, perut kami mungkin meragam. Kami mungkin terberak secara
spontan sebaik sahaja Parlimen dibubarkan dan sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) yang sangat bebas itu mengumumkan tarikh PRU-13.
Kalau hal seperti itu berlaku, apakah Kerajaan
Sementara (caretaker government) akan
tampil membersihkan najis dan tahi? Atau pun sibuk berkempen untuk memancing undi di segenap ceruk
kampung?
Maka, usah tergesa-gesa mengumumkan tarikh
pembubaran Parlimen. Izinkan saya ke tandas dahulu dan membaca buku Menjuarai Transformasi (2011).
[Uthaya
Sankar SB sebenarnya tidak kisah tentang tarikh pembubaran Parlimen dan tarikh
PRU-13. Namun, beliau akan tetap mengundi. Makalah ini ditulis pada 22 Mac 2013
dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 23 Mac 2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah
ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]