Sewaktu saya menemui Puan Parameswari untuk
berbual-bual dengannya, saya tidak menyangka bahawa pelbagai rahsia hitam akan
terbongkar.
Tujuan asal saya bertemu dengan wanita
berumur 55 tahun itu di Siru Kambam adalah untuk mendapatkan maklumat mengenai
Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Siru Kambam. Maklumat berkenaan
bagi menyiapkan suatu tugasan di kolej.
“SJKT Ladang Siru Kambam ini hampir pupus
pada tahun 1996,” kata wanita itu yang berpengalaman mengajar di beberapa sekolah Tamil sejak tahun 1985.
Tentu sahaja saya sedikit terkejut dan amat
berminat untuk mengetahui apa yang dimaksudkan oleh guru berkenaan. Walaupun
tugasan yang diberikan oleh pensyarah hanya membawa 10 markah, saya berminat
untuk menimba lebih daripada sekadar markah itu.
“Boleh puan tolong huraikan lebih lanjut?”
saya bertanya sambil bersiap-sedia mencatatkan maklumat yang bakal
dikongsikannya.
“Kisah ini bermula pada tahun 1996,”
Parameswari memulakan cerita sambil tangannya menbelek-belek fail tebal berisi
pelbagai maklumat berkaitan SJKT dan Bahasa Tamil sejak lebih dua
puluh tahun dahulu.
Menurut cerita wanita yang berasal dari
Ipoh itu, pelbagai usaha licik diatur secara penuh bijak dan strategik oleh
beberapa pihak dalam usaha memastikan SJKT Ladang Siru Kambam ditutup.
“Mengapa? Bukankah macam-macam perkara
sedang dilakukan oleh parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak
sekolah sendiri untuk memastikan SJKT terus kekal di negara ini?” Demikian saya
bertanya apabila menyedari wanita itu terdiam dan wajahnya sayu.
“Demikianlah andaian, harapan dan pemahaman
masyarakat umum. Akan tetapi, apa yang berlaku dalam realiti adalah sebaliknya.
Adik jangan terkejut dengan pendedahan yang bakal saya lakukan. Tapi saya bukan
membuat tuduhan atau fitnah. Semua kenyataan saya adalah berdasarkan fakta dan
dokumen bertulis,” beliau menegaskan seketika kemudian selepas mengesat air
mata.
Kisah yang disampaikan oleh guru itu
sedikit memeranjatkan dan mungkin sukar dipercayai. Bagaimanapun, beliau
menunjukkan pelbagai dokumen dan bukti-bukti berupa surat-surat bagi
mengesahkan ceritanya.
Pada tahun 1996, terdapat hanya 36 murid di
SJKT Ladang Siru Kambam, Taiping. Jumlah murid yang sedikit itu
cuba dijadikan alasan untuk menutup sekolah berkenaan.
Beberapa ibu bapa yang prihatin cuba
mengadu kepada Guru Besar tetapi individu terbabit pula tidak menunjukkan minat
bagi memastikan sekolah berkenaan terus wujud.
“Tak perlulah kita semua risau. Sekolah Tamil memang tak ada masa depan
di negara ini. Kalau sekolah ini ditutup dan anda semua masih mahu menghantar
anak-anak ke sekolah Tamil, hantar saja ke SJKT lain. Janganlah cuba melawan
arus pembangunan.”
Menurut Parameswari, beliau turut terkejut
apabila mendengar pandangan yang dikemukakan Guru Besar dalam pertemuan
bersama-sama sekumpulan ibu bapa terbabit. Bayangkan apabila seorang Guru Besar
SJKT sendiri tidak menunjukkan minat dan kesungguhan mempertahankan sekolah
Tamil.
“Saya cuba juga berbincang dengan guru-guru
lain. Akan tetapi, mereka turut bersikap pasif. Bagi mereka, tidak menjadi
masalah jika SJKT Ladang Siru Kambam ditutup kerana mereka akan dipindahkan ke
sekolah lain,” Parameswari bercerita sambil saya berusaha membuat catatan.
Tugasan asal saya adalah untuk menulis esei
mengenai sejarah sebuah sekolah. Akan tetapi, nampak gayanya, maklumat yang
saya peroleh adalah lebih daripada sekadar maklumat biasa. Tambahan, wanita
yang saya wawancara mempunyai puluhan fail dan ratusan buku catatan berisi
maklumat lengkap berkaitan Bahasa Tamil dan 524 SJKT di seluruh negara.
“Tidak adakah sesiapa yang menghubungi
parti politik?” Saya bertanya kerana sering membaca di akhbar Tamil mengenai usaha parti-parti
politik tertentu yang khabarnya memperjuangkan Bahasa Tamil, budaya Tamil,
sekolah Tamil dan segala yang “Tamil”.
Parameswari ketawa lepas sebaik mendengar
soalan saya. Kemudian segera membelek-belek sebuah fail dan menunjukkan
beberapa foto serta keratan akhbar dan salinan memo bertulis tangan.
Agak memeranjatkan bahawa Pertubuhan Politik India (PPI) cawangan
Siru Kambam yang kononnya memperjuangkan nasib sekolah Tamil – dan segala yang
“Tamil” – turut terlibat dalam konspirasi licik ini!
“Adik jangan lupa bahawa SJKT Ladang Siru
Kambam terletak di lokasi strategik dan nilai tanah itu naik secara mendadak
sejak pertengahan 1990-an. Maka, jika sekolah itu berjaya ditutup dan tanah berkenaan
dijual, banyak pihak yang akan untung,” katanya sambil jari menjentik senarai
nama yang dimaksudkan.
Akan tetapi, setahu saya, SJKT Ladang Siru
Kambam terletak di bawah tabung amanah Kuil Sivaperuman. Masakan PPI boleh
masuk campur dan jawatankuasa kuil yang merupakan kelompok “Tamil/Hindu tegar”
akan membiarkan sahaja.
“Lihat foto ini. Adik mungkin tidak kenal
wanita yang berdiri penuh mesra dengan Presiden PPI. Dia bukan isteri beliau
tetapi kini memiliki harta yang cukup banyak di beberapa lokasi terpilih di
Taiping. Dan ini pula pengerusi jawatankuasa kuil yang diamanahkan menjaga SJKT
Ladang Siru Kambam.”
Saya meneliti foto yang ditunjukkan. Saya
lihat juga beberapa dokumen lain yang ditunjukkan sebagai bukti wang bertukar
tangan antara pihak terbabit.
Ternyata segala bahan bukti yang berada di
depan saya adalah lebih daripada apa yang mampu saya cerna. Agak sukar untuk
saya mempercayai bahawa pelbagai pihak sanggup melakukan apa sahaja – termasuk
menawarkan wang dan habuan seks – semata-mata untuk memastikan sebuah sekolah
Tamil ditutup.
“Puan tidak mengemukakan segala bahan bukti
ini kepada sesiapa?” saya bertanya dengan perasaan yang berbaur antara marah,
sedih, kecewa dan hairan.
Parameswari memandang saya dengan mata yang
tidak berkelip. Mungkin sedang mengenangkan pengalamannya menangani dan
memperjuangkan isu ini sejak 1996.
“Terlalu ramai pihak yang terlibat.
Masing-masing ada kepentingan dan cuba menutup kes. Termasuk beberapa pensyarah
di kolej kamu yang kononnya pejuang Bahasa Tamil. Tetapi merekalah yang
mengetuai gerakan memansuhkan SJKT di seluruh negara.”
Serta-merta saya berhenti menulis.
Pensyarah di Kolej Siru Kambam turut terlibat?
“Siapa?”
Parameswari menunjukkan foto dua pensyarah
yang amat saya kenali dan kagumi. – Bersambung …
[Uthaya
Sankar SB menulis faksyen ini hasil perbualan bersama
seorang pengkaji dan penyelidik yang berwibawa. Bahagian 1 ditulis pada 11 Mac 2013
dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 11 Mac 2013
manakala Bahagian 2 ditulis pada 15 Mac 2013 dan disiarkan pada pada 18 Mac
2013. Nama-nama diubah bagi melindungi identiti pemberi maklumat. Baca pelbagai kisah berkaitan SJKT DI SINI. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]