Dua topik yang cukup sensitif dan dekat
dalam hati rata-rata penduduk kaum India beragama Hindu di negara ini adalah topik
berkaitan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan isu kuil. Tentu sahaja
kedua-dua topik ini tidak semestinya mendapat perhatian seluruh masyarakat
India, tetapi tetap merupakan antara isu yang sering ditimbulkan pertubuhan
bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik dari semasa ke semasa.
Mengikut data terkini, terdapat sejumlah 523
SJKT di Malaysia. Rata-rata SJKT diterajui oleh guru besar daripada kalangan
kaum India yang berpendidikan Bahasa Tamil. Secara lumrah, mereka
beragama Hindu dan mengamalkan budaya serta adat India-Hindu.
Pada 5 November 2012, saya mengemukakan
pertanyaan menerusi ruangan status di laman rangkaian sosial Facebook untuk mendapatkan pandangan
rakan-rakan sekiranya jawatan guru besar SJKT diberikan kepada individu Bukan
Kaum India dan bukan daripada aliran pendidikan Tamil.
Rasional saya adalah bahawa tugas utama
guru besar adalah mentadbir sekolah. Maka, tidak semestinya hanya diserahkan
kepada individu India-Hindu dengan latar pendidikan Tamil. Namun, pandangan dan
saranan berbentuk provokasi itu adalah disengajakan untuk mendapatkan reaksi
ikhlas rakan-rakan yang sering berkongsi pandangan bersama-sama saya menerusi Facebook.
Berikut beberapa pandangan yang dikemukakan
dan boleh dijadikan asas untuk membantu kita sama-sama lebih memahami senario
sebenar berhubung sentimen berkaitan SJKT. Khususnya apabila membicarakan soal
berhubung Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025
dan hubungannya dengan SJKT.
Arivu
Ananthan (guru, Puchong): SJKT bukan sekadar pusat
pengembangan bahasa. Guru besar mestilah seorang individu yang tahu mengenai
budaya dan adat kaum India. Memang menjadi kebiasaan untuk SJKT menganjurkan
aktiviti berkaitan budaya dan agama. Maka, seorang guru besar perlu tahu serta
terlibat sama. Jika ada individu Bukan Kaum India yang fasih Bahasa Tamil serta
tahu adat dan budaya kaum India, maka tidak menjadi masalah untuk
mempertimbangkan memberi jawatan guru besar SJKT kepadanya.
Azrul
Hisham Abu Said (jurutera bunyi, Kota Damansara):
Saya rasa cara utama untuk menyelesaikan persoalan ini adalah dengan mendidik
masyarakat supaya persefahaman antara pelbagai kaum boleh wujud. Apabila isu
itu berjaya diatasi, pemilihan guru besar nanti adalah berdasarkan kelayakan
dan bukan berdasarkan kaum/bahasa.
Ahmad
Burhan (Selayang): Sana-sini dicanangkan tentang
perpaduan antara kaum. Jadi apa masalahnya andai guru besar SJKT tidak terdiri
daripada kaum India? Bukankah dengan berbuat demikian boleh pula dijadikan
teladan baik ke arah menangani isu perkauman. Kalau seorang Perdana Menteri
kaum Melayu boleh memimpin penduduk pelbagai kaum dan agama, apa salahnya
seorang guru besar SJKT bukan daripada kaum India? Apa yang penting adalah
sikap kita sendiri dan nilai-nilai murni dalam diri. Kaum dan agama sepatutnya
tidak menjadi persoalan.
John
Phoon: Sebenarnya, sesiapa sahaja yang berwibawa
dan memenuhi syarat boleh menjadi guru besar di mana-mana sekolah. Akan tetapi,
ternyata masih sukar dilaksanakan di negara kita pada masa ini. Saya harap
suatu hari nanti ia akan menjadi kenyataan.
Murugan Alimuthu (Taiping): Kalau guru besar kaum Melayu
ditempatkan di SJKT, besar kemungkinan guru dan murid dianak-tirikan. Di
sekolah kebangsaan (SK) pun kita selalu dengar kenyataan yang mengguris
perasaan seperti “balik India” diungkapkan guru-guru tertentu.
Apakah jaminan bahawa ungkapan seumpama itu tidak diucapkan dan diamalkan oleh
guru besar Bukan Kaum India nanti? Selain itu, guru besar perlu memahami budaya
dan cara hidup kaum India; misalnya sambutan/perayaan kaum/agama serta amalan
seperti pemakaian pottu, thiruneer dan sari.
Seterusnya, saya menyelitkan pertanyaan
tambahan: Bagaimana jika guru besar itu merupakan individu India-Muslim? Beliau
mungkin faham budaya India tetapi beragama Islam.
Murugan
Alimuthu: Kalau India-Muslim, tidak menjadi
halangan kerana beliau sememangnya memahami budaya India secara mendalam.
Muthannah
Marawan (Shah Alam): Tidak menjadi masalah
sekiranya guru besar tersebut bukan kaum India dan bukan beragama Hindu,
asalkan beliau memahami hala tuju SJKT selain mengetahui budaya kaum India.
Bagi guru besar India-Muslim, mungkin ia satu nilai tambah kerana rata-rata
India-Muslim boleh berkomunikasi dalam Bahasa Tamil.
Mohd
Rafi Jalaluddin (Shah Alam): Kadang-kadang untuk
mengembangkan sebuah organisasi, kita perlukan pemikiran yang tidak terhad pada
budaya yang sama. Apa sekali pun kaum/agama guru besar itu, niat dan
pemikirannya perlu betul.
Aziyana
Md Jais: Sememangnya guru besar adalah pentadbir
sekolah. Maka mereka merupakan kalangan yang terpilih. Mana mungkin individu
yang tidak mampu memimpin dilantik dan diberi tugas besar sebagai guru besar.
Malah, kehadiran guru besar Bukan Kaum India di SJKT merupakan satu cara
mewujudkan persefahaman dan perpaduan.
Shahrun
Nizam Shahir (guru sekolah agama rakyat, Muar): Menurut
pengalaman saya, lebih bagus SJKT diketuai kaum India; lebih bagus jika ada
latar belakang pendidikan Tamil. Bukan tidak boleh memberi jawatan itu kepada
individu Bukan Kaum India, tapi biarlah ada latar belakang pendidikan Tamil.
Biarlah guru besar itu ada pengalaman bergaul dengan kaum India dan ada
kepekaan terhadap murid, guru dan masyarakat India.
Lazimnya, SJKT dikaitkan dengan MIC. Malah,
semacam ada hubungan erat (dalam konteks positif) antara guru besar SJKT dan
MIC. Mungkinkah juga itu antara sebab guru besar SJKT amat sesuai jika terdiri
daripada kaum India yang pro-MIC? Demikian saya melontarkan pertanyaan
tambahan.
Murugan
Alimuthu: Sememangnya benar bahawa SJKT berkait
rapat dengan MIC tetapi itu cerita lama. Mendiang bapa mentua saya bekas guru
besar SJKT dan pengerusi MIC di suatu kawasan. Tetapi saya tidak nampak keadaan
seperti itu di SJKT sekarang. Sebagai bekas guru sandaran di SJKT, saya tidak
nampak keadaan seperti itu masih wujud. Para guru besar sekarang lebih berminat
dengan tugas hakiki di sekolah berbanding terlibat dalam politik. Anak saya
belajar di SJKT dan saya selalu berurusan dengan guru besar sekolah itu. Sampai
hari ini saya tidak dengar bahawa beliau adalah wakil MIC atau mana-mana parti
politik. Bagaimanapun, hubungan SJKT-MIC tidak dapat dipisahkan atas alasan
segala peruntukan serta saluran bantuan daripada kerajaan pusat adalah melalui
MIC. Pada masa sama, adalah tidak wajar jika dikatakan bahawa guru besar SJKT
amat sesuai jika dilantik daripada kalangan kaum India sahaja.
Aziyana
Md Jais: Betul, warga pendidik dan guru besar lebih
berminat berbicara bagaimana mahu mencapai matlamat pendidikan negara. Saya
yakin bahawa guru besar selaku pentadbir tidak mencampur-adukkan politik dengan
urusan sekolah. Apa pun, pada saya, tidak wajar jika dikatakan guru besar SJKT
mesti daripada kaum India sahaja.
Devakumaran
Palnisamy (Kuala Lumpur): Menjadi guru besar umpama
menjadi CEO sebuah syarikat. Apa yang penting adalah kemampuan mentadbir (management skills). Penguasaan Bahasa
Tamil dan pemahaman budaya India adalah semacam nilai tambah tetapi bukan
syarat wajib. Sekadar contoh, dahulu CEO hospital terdiri daripada kalangan
doktor tetapi kini tugas mereka khusus sebagai doktor manakala urusan pentadbiran
hospital dilakukan orang lain yang merupakan pakar bidang pentadbiran. Maka,
pada saya, pakar Bahasa Tamil dan budaya India sepatutnya menjadi guru di SJKT
manakala tugas pentadbiran (guru besar) boleh diserahkan kepada pakar bidang
pentadbiran yang tidak semestinya kaum India.
Antonie
William (Pulau Pinang): Guru besar SJKT sewajarnya
daripada golongan kaum India yang fasih Bahasa Tamil. Hal ini penting kerana
beliau bukan hanya bertugas sebagai pentadbir tetapi juga sebagai pendidik,
perantara dan pemupuk budaya serta ilmu Bahasa Tamil. Pertama, bagaimana
seseorang Bukan Kaum India yang tidak tahu-menahu budaya kaum India mampu menerajui
atau menyemai budaya India kepada murid-murid? Kedua, jika terdapat masalah
berkaitan budaya India dan Bahasa Tamil, bagaimana beliau dapat
menyelesaikannya? Ketiga, bagaimana perasaan guru-guru berpendidikan Tamil dan
berpengalaman serta banyak berjasa kepada SJKT tetapi tidak dinaikkan pangkat
menjadi guru besar?
Demikian antara pandangan dan hujah yang
dikongsikan rakan-rakan secara ikhlas menerusi dialog di Facebook. Mungkin belum memadai untuk membuat rumusan berhubung
topik yang dibincangkan. Apatah lagi untuk membahaskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Sekurang-kurangnya perbincangan topik yang
agak sensitif mengenai jawatan guru besar SJKT ini membuka laluan untuk
dibahaskan secara terbuka demi kebaikan bersama.
Malah, perkongsian pandangan juga
memutikkan pelbagai persoalan baru yang mungkin terkeluar daripada topik asal.
Misalnya, ramai yang berpendapat bahawa guru besar SJKT wajib memenuhi syarat
itu dan syarat ini. Jika syarat-syarat sama diterapkan dalam konteks kerajaan,
entah berapa ramai menteri yang benar-benar layak memegang jawatan yang
diberikan oleh Perdana Menteri! Namun, itu adalah topik yang lain pula.
[Makalah
ini ditulis pada 23 November 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 3 Disember
2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Jika anda menyukai makalah ini, anda wajar turut membaca makalah bertajuk "Guru Besar SJKT Milik Mutlak Kaum India?" dan "Menjual SJKT" serta "SJKT, BM dan Agama Hindu".]