20 Jan 2013

Guru Besar SJKT Milik Mutlak Kaum India?

Semasa Konvensyen Halatuju Pendidikan Negara anjuran Yayasan Selangor di Universiti Selangor (Unisel) pada 18 November 2012, antara topik yang dibincangkan adalah mengenai kedudukan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
 
Jiwi Kathiah dari Yayasan Tamil mendedahkan pelbagai kepincangan yang wujud. Pada pandangan beliau, kerajaan pusat – “Barisan Nasional dan UMNO” kata beliau – sedang berusaha secara bersungguh-sungguh dan licik untuk menghapuskan SJKT secara terancang.
 
Semasa mengulas pembentangan beliau pada sesi yang sama, saya mengemukakan pandangan berupa pertanyaan: Apakah mungkin nasib SJKT berubah jika guru besar sekolah-sekolah berkenaan terdiri daripada individu “Bukan Kaum India” dan bukan daripada aliran sekolah Tamil?
 
Pertanyaan yang sama pernah saya kemukakan menerusi ruangan status Facebook pada 5 November 2012 dan mendapat pelbagai reaksi – dan reaksi yang pelbagai – daripada rakan-rakan dan kenalan.
 
Untuk berlaku adil, saya memutuskan untuk memaparkan pandangan mereka sepenuhnya di sini bagi tujuan dialog; dengan sedikit penyuntingan bahasa serta penterjemahan bagi pandangan yang dikemukakan dalam Bahasa Inggeris.
 
Mohd Dawamuddin Abdul Hadi (Bulan Senyum), pelajar IPT, Kuala Lumpur: Ada kepelbagaian bahasa, adat resam, bahasa dan kaum tetapi guru besar SJKT mesti fasih dan pakar dalam Bahasa Tamil.
 
Rosihan Amri Md Zakaria, guru di Bayan Baru, Pulau Pinang: Bagi saya, tak ada masalah asalkan guru besar itu memahami budaya, bahasa dan sistem SJKT. Tapi saya rasa perlu seorang guru besar daripada kaum India kerana mereka lebih memahami. Mungkin satu hari nanti, jika rakyat Malaysia boleh memahami dan menghayati budaya, bahasa kaum lain, orang Bukan Kaum India juga boleh menjawat jawatan guru besar SJKT.
 
Revathi, Kedah: Bagaimana mereka boleh memahami situasi sekolah, masyarakat dan latar belakang murid-murid Tamil jika mereka bukan kaum India? Cara hidup murid Tamil pasti terlalu asing bagi mereka. Saya yakin bahawa ia bukan satu cadangan yang baik untuk meletakkan individu Bukan Kaum India sebagai guru besar SJKT.
 
Mohd Dawamuddin Abdul Hadi: Perlu ada sukatan pelajaran yang sesuai mengikut masa, keadaan, tempat dan sesuai dengan tuntutan zaman. Guru besar itu sendiri perlu berusaha memahami keadaan di sesebuah sekolah.
 
Rosihan Amri Md Zakaria: Rakyat Malaysia mestilah belajar, memahami dan menghormati kaum, bahasa dan budaya orang lain. Apabila memahami dan menghormati, barulah pergaulan dan aktiviti sesama kita dapat dipelbagaikan.
 
Adam Farhan, pekerja swasta, Shah Alam: Seorang ketua atau pemimpin perlu memahami golongan yang dipimpin. Maka, tiada masalah jika beliau “khatam” akan perihal mereka yang dipimpin di SJKT itu. Sesuaikan diri, bak kata pepatah Melayu, masuk ke kandang kambing mengembek.
 
Nagathisen Katahenggam, Jelutung, Pulau Pinang: Tidak wujud masalah asalkan guru besar itu faham budaya Tamil, mampu bertutur Bahasa Tamil dan bersikap neutral tanpa ada agenda halus lain. Tetapi realitinya, agak sukar mencari guru besar dengan kelayakan demikian daripada golongan Bukan Kaum India.
 
Cikgu Suguz, guru, Shah Alam: Oleh sebab hal ini berkaitan dengan bahasa ibunda, saya rasa lebih baik jika guru besar adalah daripada kaum India.
 
Nadia Ali, Pulau Pinang: Tidak menjadi masalah langsung jika guru besar Bukan Kaum India ditempatkan di SJKT. Tapi akan membuatkan pula kita tertanya-tanya ke mana perginya guru besar yang berkelayakan daripada kalangan kaum India.
 
Azrul Hisham Abu Said (Hisham Tok Wan), jurutera bunyi, Kota Damansara: Saya rasa tidak ada apa-apa masalah mengenai hal ini. Cuma untuk merealisasikannya, saya rasa amat jauh lagi. Dari segi hukum keagamaan, kenegaraan, hukum adat masyarakat serta hukum falsafah keilmuan, rasanya kita tidak perlu pening-pening memikirkannya kerana pasti boleh dilakukan jika mahu. Apa pun, pendidikan mengenai kepelbagaian budaya dan agama masyarakat Malaysia harus kita fokuskan terlebih dahulu sebagai persiapan ke arah itu.
 
Saya turut mengemukakan persoalan sama untuk didialogkan di laman Facebook milik “Human Rights Party (HRP) Malaysia Support Group” kerana pelbagai topik hangat selalu dibincangkan di sana. Bagaimanapun, hanya beberapa individu tampil berdialog berhubung topik meletakkan guru besar daripada kalangan Bukan Kaum India di SJKT.
 
Siva Sankhar, Batu Caves: Dalam keadaan tenat yang sedang dialami SJKT, memang ini satu cadangan yang baik. Biarlah SJKT diterajui guru besar Bukan Kaum India. Terdapat guru besar kaum India di SK, jadi tak jadi masalah jika ada guru besar Bukan Kaum India di SJKT.
 
Sugu Maran, graduan UPM: Saya tidak setuju dengan pandangan ini kerana guru besar daripada kalangan Bukan Melayu tidak ramai. Bilangan kakitangan kerajaan merangkumi guru besar dan guru-guru SJKT. Maka, jika guru besar SJKT terdiri daripada kalangan Bukan Kaum India, mungkin menjejaskan peratusan kaum India dalam sektor awam.
 
Mathavan Velayutham, pelajar IPTA, Seremban: Sekolah Kebangsaan (SK) boleh diterajui oleh mana-mana kaum yang memahami hasrat dan menguasai bahasa kebangsaan. Manakala bagi SJKT dan SJKC, mestilah diterajui guru besar yang mempunyai kepakaran dalam bahasa ibunda yang menjadi bahasa perhubungan dan bahasa pengantar di sekolah terbabit. Sebagai contoh, seorang doktor boleh memandu kereta tetapi seorang pemandu kereta tidak boleh menjadi doktor.
 
Johnson Doss, Kajang: SJKT dan SJKC perlu diterajui individu yang tahu dan menguasai bahasa ibunda dan budaya kaum terbabit. Memang ada guru besar daripada kalangan kaum India di SK tetapi bagi SJKT dan SJKC, lebih baik jika guru besar daripada kaum itu sendiri yang berkelayakan dan memahami cara-cara mentadbir sekolah dengan baik.
 
Vicknes Loganathan, Shah Alam: Saya percaya bahawa individu mana-mana kaum boleh menjadi guru besar di SJKT tetapi beliau wajib menguasai Bahasa Tamil. Beliau juga perlu mampu menyesuaikan diri dengan budaya kaum India selain sensitif terhadap budaya Tamil dan keperluan murid-murid di SJKT.
 
Apabila membaca pelbagai pandangan yang dikemukakan, saya mula tertanya-tanya mengapa kehadiran guru daripada kalangan Bukan Kaum India boleh diterima di SJKT tetapi kebanyakan anggota masyarakat kurang setuju dengan kehadiran guru besar Bukan Kaum India. Saya turut mengemukakan pertanyaan tambahan itu untuk mendapatkan reaksi rakan-rakan menerusi Facebook.
 
Vijay Saravanen Vasudevan: Kalau Dong Zong boleh dengan begitu berani dan tegas menolak guru besar Bukan Kaum Cina yang tidak tahu Bahasa Mandarin ditempatkan di SJKC, mengapa pula kaum India perlu melepaskan hak yang serupa dalam hal SJKT?
 
Azrul Hisham Abu Said: Guru biasa boleh diterima tetapi guru besar adalah pemimpin bagi guru dan sekolah berkenaan.
 
Cikgu Suguz: Guru-guru hanya mengajar mata pelajaran tertentu manakala guru besar menerajui kepimpinan sekolah.
 
Nagathisen Katahenggam: Kehadiran guru besar Bukan Kaum India di SJKT tidak harus dijadikan isu. Mereka hanya menjalankan tugas seperti diarahkan kementerian dan jabatan. Kehadiran mereka juga akan mewujudkan suasana majmuk di sekolah serta mencerminkan realiti kepelbagaian bahasa, kaum dan budaya di Malaysia.
 
Antonie William, Pulau Pinang: Apabila bercakap tentang memberi peluang guru besar Bukan Kaum India menerajui SJKT, saya mahu bertanya, bolehkah individu kaum India diberi jawatan guru besar di SK dan SJKC? Fikirkan.
 
Kalidas Muniandy, Pulau Pinang: Saya setuju dengan Antonie William. Sekarang ini pun, berapa ramai guru besar daripada kalangan Bukan Melayu di SK? Kalau mahu amalkan, biarlah adil sama rata.
 
Arivananthan Marimuthu, guru, Puchong: Guru besar Bukan Kaum India boleh ditempatkan di SJKT asalkan mereka boleh bercakap dan menulis Bahasa Tamil. Syarat ini adalah wajar kerana guru-guru kaum India di SK dan SJKC sebenarnya mampu bercakap dan menulis dalam Bahasa Malaysia atau Mandarin.
 
Pandangan-pandangan yang dikemukakan ini memberikan sedikit gambaran asas mengenai sikap dan pendirian masyarakat berhubung cadangan meletakkan individu Bukan Kaum India sebagai guru besar di SJKT. Tentu sahaja segala pandangan dan cadangan ini terbuka untuk dibahas dan didialogkan.
 
[Makalah ini ditulis pada 20 November 2012 dan disiarkan di Projek Dialog pada 21 November 2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Baca juga "Tentang Guru Besar SJKT" dan "Punca Kemerosotan SJKT"]