Pembaca akhbar-akhbar Bahasa Tamil di
Malaysia pasti sudah sedar bahawa sejak lebih dua minggu lalu [sejak awal
Januari 2013], hampir tiada berita “positif” berkaitan Pakatan Rakyat (PR)
disiarkan. Lima akhbar harian Bahasa Tamil yang terdapat dalam pasaran adalah Tamil Nesan, Malaysia Nanban, Makkal Osai,
Thina Kural dan Nam Naadu.
Saya bukan penyokong mana-mana parti politik, tetapi sebagai seorang pengamal media yang memantau
akhbar-akhbar Bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil dan Mandarin, saya mendapati apa
yang berlaku dalam kesemua lima akhbar Tamil berkenaan “secara tiba-tiba”
mengundang pelbagai pertanyaan.
Pada 19 Januari 2013, saya meminta
rakan-rakan meneka punca perubahan drastik ini berlaku. Apabila “meneka”,
pastilah ada tekaan yang betul dan ada tekaan yang salah. Sebab itulah juga
rakan-rakan saya di Facebook
memulakan tekaan mereka dengan kata-kata “Mungkinkah …” sebagai bukti bahawa
tiada sebarang tuduhan dilemparkan terhadap sesiapa.
“Mungkinkah pemerintah menjadikan akhbar
Bahasa Tamil sebagai sumber yang sesuai untuk menyebarkan dakyah politik,
memandangkan Utusan Malaysia semakin
merudum sambutan daripada kalangan pembaca?” tanya Ranaen Eng.
Bukanlah suatu rahsia bahawa akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia sudah secara terang-terangan dikatakan serta
disifatkan masyarakat sebagai “lidah rasmi UMNO”. Sebab itulah juga apabila
menulis makalah dan analisis, saya suka memetik sumber dari Utusan Malaysia, Berita Harian dan Bernama
kerana pasti penyokong Barisan Nasional (BN) tidak akan mempertikaikan
“kesahihan” petikan itu.
“Mungkinkah musim propaganda melalui akhbar
sudah disemarakkan secara agresif; kerana akhbar-akhbar ini (Tamil) sememangnya
membawa propaganda pada setiap masa?” Demikian pertanyaan yang timbul dalam
fikiran Nizha Periaswamy dari Shah
Alam.
Shahrizal
Azwan Samsudin pula yakin bahawa kerajaan (BN)
sedang menumpukan perang saraf kepada kaum India. Katanya, “Mungkin kerana
‘bacaan’ mereka (BN) bahawa sokongan kaum India makin berkurangan kepada
kerajaan (BN). Mungkinkah kerajaan (BN) berfikir bahawa kaum India yang sudah
berpaling lebih mudah ditarik untuk menyokong BN semula berbanding kaum Cina
dan Melayu?”
Tekaan serta pertanyaan yang dikemukakan
oleh mereka memang wajar difikirkan secara teliti. Pada tahun 2005-2008, saya
menjadi pengulas akhbar-akhbar Bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil dan Mandarin
menerusi segmen “Akhbar Hari Ini” di TV1 (RTM). Saya juga perunding media
kepada beberapa individu/kumpulan. Maka, saya mendapati pertanyaan yang
dikemukakan rakan-rakan tadi amat wajar serta tidak boleh dilihat sebagai
menghina sesiapa.
Pada penelitian saya, akhbar Thina Kural sebelum ini sangat lantang
bersuara serta menyiarkan analisis mengenai peratusan pekerja sektor awam
mengikut kaum. Tuntutan dasar adalah supaya pengambilan pekerja kaum India
ditingkatkan. Bagaimanapun, kelantangan bersuara itu kini sudah hilang.
Suatu lagi perkara yang saya perhatian
adalah bahawa rata-rata akhbar Tamil sejak lebih dua minggu lalu sangat
berminat menyiarkan berita-berita yang memuji-muji dan memuja-muja pihak
tertentu. Para pembaca makalah ini pasti dapat meneka siapakah “pihak tertentu”
yang dimaksudkan.
Etika kewartawanan, objektiviti berita
“Adakah akhbar Tamil menyiarkan berita
tentang Himpunan Kebangkitan Rakyat
(HKR) di muka depan atau tidak pada Ahad lalu (13 Januari 2013)? Berapakah
jumlah khalayak yang dilaporkan berhimpun? Jika jawapan bagi soalan pertama
adalah ‘Tidak’ dan yang kedua pula ‘45,000 orang’ maka kita sudah boleh meneka
dengan mudah punca perubahan drastik yang saudara maksudkan,” kata Karl Anwar dalam komennya.
Seorang lagi rakan, Elangovan Annamalai mengakui bahawa topik sama juga belakangan ini
dibincangkannya bersama rakan-rakan. Beliau berharap agar pihak terbabit segera
menyedari kesilapan mereka dan “jangan biarkan rakyat benci anda
selama-lamanya”.
Kalau diperhatikan, rata-rata akhbar Tamil
pada 13 Januari 2013 tidak menyiarkan berita mengenai kejayaan HKR pada hari
sebelumnya. Hal sama juga dilakukan majoriti akhbar Bahasa Malaysia dan
Inggeris. Hanya Sinar Harian
menyiarkan berita yang seimbang dan objektif mengenai HKR. Maka, tidak
hairanlah bahawa kebanyakan masyarakat memilih untuk membeli akhbar-akhbar
Mandarin pada hari Ahad berkenaan.
Walaupun tidak tahu Bahasa Mandarin,
sekurang-kurangnya mereka puas hati melihat foto masyarakat pelbagai kaum yang
menyertai HKR; memiliki/memegang akhbar yang bersikap objektif serta tidak
menjadi “baruah” dan “juak-juak” kepada pihak berkepentingan.
Rata-rata akhbar Tamil pada 13 Januari 2013
melaporkan kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur bahawa HKR melanggar beberapa
syarat yang ditetapkan. Dan tentu sahaja
satu-satunya ruangan yang kekal di semua akhbar Tamil adalah ruangan/sisipan
khas berkaitan filem, hiburan dan foto pelakon India yang mendedahkan tubuh.
Dalam pertemuan saya bersama beberapa
pembaca tegar akhbar Tamil, mereka meluahkan rasa meluat melihat perkembangan
dalam akhbar-akhbar berkenaan sejak awal bulan ini. Selama ini mereka membeli/membaca
beberapa akhbar Tamil sekali gus untuk mendapatkan berita yang “seimbang” dari
pelbagai sudut. Bagaimanapun, kata mereka, akhbar-akhbar berkenaan kesemuanya kini
sudah menjadi umpama “lidah rasmi BN”.
“Akhbar-akhbar Tamil harus sedar bahawa
masyarakat India, terutama golongan muda, akan muak sekiranya kebanyakan berita
memihak kepada satu pihak sahaja. Walaupun generasi muda mampu mendapatkan
berita terkini menerusi media alternatif, media sosial (Facebook, Twitter) dan
sebagainya, mereka masih membeli akhbar Tamil demi memberi sokongan dan galakan
kepada penerbit/wartawan Tamil. Akhbar Tamil mungkin akan kehilangan pembaca
muda sekiranya berterusan memaparkan berita yang berat sebelah!” Demikian
pandangan ikhlas Tamil Selvan Thirumalai
yang juga Pengerusi PIBG SJKT Serdang.
Hakikat yang perlu diakui adalah bahawa
sentimen dan kecintaan terhadap Bahasa Tamil merupakan antara sebab
utama akhbar Tamil terus hidup di negara tercinta ini. Kalaulah sekadar mahu
mendapatkan berita terkini, masyarakat India yang menguasai sekurang-kurangnya
dua lagi bahasa selain bahasa ibunda boleh mendapatkan berita dari pelbagai
sumber lain.
Maka, pada penelitian saya, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), kelima-lima akhbar harian Tamil bagaikan sedang
“bermain dengan api” serta mempertaruhkan kepercayaan masyarakat terhadap peranan
akhbar itu memelihara bahasa ibunda; selain menyiarkan berita yang seimbang.
Saya sangat-sangat berharap bahawa saya tersilap
dalam membuat tekaan ini tetapi hasil pemantauan dan penelitian secara khusus
terhadap akhbar-akhbar berkenaan, didapati bahawa penerbit terbabit memang
bagaikan sudah memilih untuk menjadi “lidah rasmi” pihak tertentu.
Nasib akhbar Tamil selepas PRU-13
Soalnya, tidak takutkah mereka memikirkan
kemungkinan kehilangan pembaca yang memang pun tidak ramai? Saya tidak bermaksud
untuk mengatakan bahawa masyarakat India menyokong PR dan menyampah membaca
berita-berita yang memuji-muji dan memuja-muja Barisan Nasional (BN).
Sebaliknya, mana-mana manusia yang rasional
(kata kunci: manusia & rasional) pasti akan menjadi meluat dan
termuntah-muntah apabila sesebuah akhbar melakukan puji-pujian dan puja-pujaan
secara berlebih-lebihnya. Apatah lagi apabila sesebuah akhbar didapati tiba-tiba
sahaja berubah 180 darjah dalam hal ini.
Suatu teori mudah adalah kemungkinan (kata
kunci: teori & kemungkinan) penerbit terbabit tidak perlu risau memikirkan
soal jualan akhbar merudum sepanjang tempoh Januari-Mac 2013. Secara praktikal,
seorang penerbit tidak perlu risau jika kos penerbitan dan keuntungan (hasil jualan)
sudah ditanggung pihak tertentu sebelum akhbar itu terbit.
Sekadar contoh – ingat: contoh sahaja –
katakanlah ada pihak tertentu yang tampil memberikan sumbangan atau suntikan
modal ikhlas sebanyak RM1 juta bagi sebuah akhbar Tamil. Katakanlah, syarat
yang diletakkan adalah bahawa sifar (0%) berita positif mengenai PR boleh
disiarkan.
Katakan – katakan sahaja – setiap akhbar
berkenaan menerima sumbangan ikhlas RM0.3 juta sebulan untuk menampung kos dan
kerugian yang terpaksa ditanggung kerana saban hari hanya menyiarkan
berita-berita yang mampu membuatkan pembaca meluat dan termuntah (kecuali
ruangan tetap melibatkan artis-artis berpakaian seksi, tentunya).
Tentu sahaja saya tidak menuduh mana-mana
akhbar Tamil menerima sumbangan (suntikan modal) seperti itu. Tidak sama
sekali! Sebaliknya, semua ini hanyalah teori, analisis dan andaian dengan
mengambil kira keperluan (wang) bagi sebuah akhbar harian Tamil untuk terus
bernyawa di negara ini.
Katakanlah saya pemilik sebuah akhbar
Tamil. Katakanlah saya menerima “sumbangan” RM1 juta daripada pihak tertentu
dan saya akur untuk menyiarkan hanya berita-berita yang berat sebelah. Saya
tidak perlu risau selama tiga atau empat bulan kerana duit masuk setiap bulan
daripada penyumbang yang baik hati itu. Ini belum mengambil kira pendapatan
daripada iklan.
Akan tetapi, apa akan berlaku selepas tempoh
itu; selepas PRU-13? Apakah saya selaku penerbit akhbar Tamil yang sudah
menggadaikan maruah, bahasa, etika dan integriti akan terus menerima sumbangan
lumayan daripada pihak tertentu yang murah hati itu?
Bagaimana pula dengan khalayak pembaca
(kaum India) yang sudah meluat dan termuntah-muntah selama hampir empat bulan
(Januari-April 2013) membaca sampah-sarap serta puji-pujian dan pujaan-pujaan
berat sebelah yang saya siarkan atas nama “berita” selama ini?
Pasti sahaja mereka akan berhenti membaca
akhbar saya dan memilih sumber alternatif. Jangan lupa bahawa portal berita di
ruang siber juga terdapat dalam Bahasa Tamil dan boleh diakses dengan mudah
untuk mendapatkan berita-berita yang seimbang, objektif, beretika dan membuka
minda.
Sebagai penerbit akhbar Tamil, saya
(contohnya) ada dua pilihan: sama ada menjadi penerbit akhbar yang bermaruah
dan beretika, atau menjadi “baruah tidak bermaruah”.
Sebagai masyarakat yang mahu terus
memastikan Bahasa Tamil mekar di Malaysia mengikut peruntukan Perkara 152 Perlembagaan
Persekutuan, pembaca juga ada dua pilihan apabila terpaksa berdepan dengan
mana-mana akhbar Tamil yang sudah “dibeli” pihak tertentu.
Mereka boleh sama ada terus memberi
sokongan kepada akhbar-akhbar tidak bermaruah demi niat murni memartabatkan
bahasa ibunda; atau memilih alternatif lain bagi terus memartabatkan bahasa
ibunda dengan cara yang bermaruah.
Takkan Bahasa Tamil hilang di Malaysia! – Baca
juga makalah berjudul “Transformasi Akhbar Tamil”.
[Makalah
ini ditulis pada 21 Januari 2013 dan disiarkan di Projek Dialog pada 23 Januari 2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]