Sunday, 17 February 2013

Transformasi Akhbar Tamil (Bahagian 1)

[Suatu penelitian umum terhadap kandungan akhbar-akhbar Tamil yang dikatakan sudah semakin condong kepada pihak tertentu.]
 
Sejak beberapa tahun lalu, ramai yang semacam memulaukan akhbar Utusan Malaysia kerana mendapati akhbar berkenaan sudah menjadi “lidah rasmi” dan alat propaganda politik milik Barisan Nasional (BN). [Rujuk makalah Tergadaikah maruah akhbar Tamil?]
 
Pada hari-hari selepas Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) pada 12 Januari 2013, ramai pula masyarakat pelbagai kaum yang memilih untuk membeli akhbar-akhbar Bahasa Mandarin kerana akhbar-akhbar arus perdana secara amat nyata didapati memilih untuk tidak menyiarkan berita dan foto perhimpunan bersejarah itu.
 
Sewaktu klip video Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin Albukhary menghina seorang mahasiswi, Bawani KS di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah tersebar luas di ruang siber dan menjadi topik hangat di seluruh negara, ada juga rungutan bahawa akhbar-akhbar Bahasa Inggeris yang memilih untuk tidak menyiarkan langsung berita mengenainya.
 
Bagaimana pula dengan akhbar-akhbar harian Bahasa Tamil dalam penyiaran berita berkaitan isu-isu penting berkenaan? Lima akhbar yang dimaksudkan adalah Tamil Nesan, Malaysia Nanban, Makkal Osai, Thina Kural dan Nam Naadu.
 
Menerusi makalah ini, saya akan menghuraikan beberapa berita penting yang mendapat tempat di akhbar-akhbar berkenaan bagi tempoh 13-20 Januari 2013. Pengalaman saya sebagai pengulas segmen “Akhbar Hari Ini” di RTM1 (2005-2008) serta kedudukan saya sebagai pengamal media, pemantau media dan pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya mungkin sedikit membantu dalam melakukan ulasan ini.
 
Akhbar Tamil Nesan (13 Januari 2013) memaparkan berita utama bertajuk “Anwar gagal kumpul sejuta orang” berserta foto ibu bapa yang membawa anak-anak ke HKR. Secara teknikal, ada berita mengenai HKR tetapi dari sudut negatif semata-mata. Malah, rata-rata akhbar Tamil melaporkan berita mengenai kegagalan penganjur HKR mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan.
 
Pada halaman 3 akhbar yang sama, Ketua Pemuda MIC, T. Mohan mengeluarkan kenyataan bahawa HKR hanya bertujuan menganggu orang ramai. Kemudian, beliau muncul kembali dalam berita di halaman 7 untuk menyampaikan ucapan Ponggal.
 
Halaman terakhir akhbar Tamil Nesan keluaran Ahad itu memuatkan sepenuhnya berita bergambar mengenai Perhimpunan Semenyih di Tesco Semenyih sempena program bersama rakyat anjuran Parti Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF).
 
Rayuan kepada pengundi kaum India
 
Foto-foto masyarakat India yang miskin berebut beras umpama pelarian Somalia tidak pula dipaparkan di akhbar ini. Sebaliknya, foto-foto penuh ceria kaum India memakai kemeja-T khas, termasuk yang ada wajah manis Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak. Kanak-kanak juga ternyata dibawa ke perhimpunan ini dan diminta memegang sepanduk/kad memaparkan cinta kepada PM.
 
Presiden IPF bertindak bijak menggunakan peluang Perhimpunan Semenyih untuk mendesak Najib memberikan 80 jawatan dalam majlis perbandaran kepada wakil parti politik itu. Untuk makluman, IPF sudah berkali-kali memohon menjadi komponen BN tetapi ditolak atas alasan bahawa MIC adalah satu-satunya parti politik yang layak mewakili kaum India di Malaysia.
 
Akhbar Malaysia Nanban (14 Januari 2013) pula menyiarkan rayuan Pengerusi BN supaya “jangan tukar Kerajaan Pusat; tukarlah Kerajaan Negeri Selangor”. Rayuan ini dibuat sewaktu Najib menghadiri program Pesta Ponggal Sayangi Selangor PM Bersama Rakyat di Tengku Kelana, Klang pada hari sambutan Boghi.
 
Apa yang sangat menarik dan wajar dipuji adalah hakikat bahawa kehadiran “wanita pertama” Datin Seri Rosmah Mansor yang anggun berpakaian serba biru turut ditonjolkan. Hal ini penting kerana ada media yang seolah-olah mengelak daripada melaporkan mengenai kehadiran Rosmah.
 
Malah, foto yang disiarkan juga menjadi bukti bahawa Rosmah turut hadir dan duduk di sisi suami tercinta semasa makan nasi daun pisang. Maklumat yang dikirim oleh Najib menerusi Twitter (13 Januari 2013) hanya menyebut “I visited ‘Little India’ in Klang this morning. Interesting community indeed. Had banana leaf lunch, capati and tosei!”
 
Mengenai seruan dan rayuan Najib kepada penduduk/pengundi Selangor supaya “jangan tukar Kerajaan Pusat; tukarlah Kerajaan Negeri Selangor” tentu sahaja rayuan dalam keadaan terdesak itu dibuat selaku Pengerusi BN dan Presiden UMNO; bukan sebagai PM. Secara undang-undang (Perlembagaan Persekutuan), tentulah PM tidak berhak untuk menghina kerajaan negeri yang diundi dan dipilih oleh rakyat yang waras dan berhak menentukan siapa yang memegang kuasa.
 
Akhbar Malaysia Nanban turut menyiarkan iklan ucapan Ponggal daripada MIC (separuh halaman) dan MCA (separuh halaman). Iklan sama juga menghiasi akhbar Thina Kiral pada hari yang sama. Inilah antara sebab saya berpendirian bahawa penduduk kaum India di Selangor khasnya dan Malaysia amnya amat bertuah. Selagi BN kekal sebagai pembangkang di Selangor, BN akan terus mesra kaum India dan sanggup melakukan apa sahaja – termasuk menyambut Ponggal sehari lebih awal daripada tarikh sebenar mengikut kalendar Tamil.
 
Masih dianggap “deposit tetap”?
 
Semasa Perhimpunan Agung Ke-66 MIC berlangsung selama sehari sahaja di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 9 Disember 2012, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Najib dalam ucapan perasmiannya antara lain menyebut:
 
“Kalau sekiranya mereka (kaum India) selama ini merupakan deposit tetap BN, kalau selama ini kita (BN) tidak membayar kaedah faedah [sic] yang tinggi atau kadar faedah kita tidak cukup bagus, maka, sejak empat tahun ini (sejak 2008), kerajaan BN telah membayar kaedah faedah [sic] yang lebih tinggi.”
 
Para pemimpin MIC terbukti tidak sedikit pun menganggap kenyataan berbentuk penghinaan itu sebagai sensitif. Akhbar Berita Harian (10 Disember 2012) memetik kenyataan beberapa pemimpin parti politik itu yang berharap Perhimpunan Agung Ke-66 MIC “memberi semangat kepada ahlinya untuk mengembalikan sokongan kaum India, yang pernah menjadi ‘deposit tetap’ kepada BN”.
 
Timbalan presidennya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam menggesa perwakilan MIC turun padang bagi menangani pelbagai isu seperti kemiskinan, pendidikan dan peluang pekerjaan kerana katanya, “Hanya dengan menghapuskan isu ini kita dapat mengembalikan deposit tetap itu kepada BN seperti yang diingini Perdana Menteri.”
 
Naib Presiden MIC, Datuk S.K. Devamany pula mahu kesemua 3,600 cawangan parti politik itu “sama-sama turun padang bagi mengembalikan martabat BN secara keseluruhan”. Nampaknya cara paling mudah untuk “mengembalikan martabat BN” adalah dengan mengiktiraf kaum India di Malaysia sebagai “deposit tetap BN” hingga akhirat.
 
“Kita perlu mengembalikan deposit tetap itu kerana sekiranya kita tak sentuh jiwa mereka (kaum India) dan tuntutan untuk memperkasakan mereka dalam sektor ekonomi, pendidikan dan juga modal insan, maka kita (BN) akan ditolak,” katanya seperti dilaporkan di Berita Harian.
 
Saya sengaja membuat sedikit imbasan dengan merujuk pada laporan Utusan Malaysia dan Berita Harian mengenai gelaran dan tanggapan terhadap kaum India sebagai “deposit tetap”. Untuk makluman, terdapat hampir dua juta penduduk kaum India di Malaysia dan daripada jumlah itu, sekitar 955,000 orang adalah pengundi berdaftar, seperti dilaporkan Bernama (9 Disember 2012).
 
Selepas sekian lama menganggap kaum India sebagai “deposit tetap” apakah sikap dan pendirian Najib sudah/akan berubah memandangkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin hampir?  Perkara itu juga akan diperhatikan apabila saya mengulas beberapa laporan di akhbar Thina Kural, Nam Naadu, Makkal Osai dan Tamil Nesan selepas ini. – Bersambung [BACA DI SINI]
 
[Uthaya Sankar SB pernah menjadi penyunting berita TV (Bahasa Malaysia), penyampai berita dan pengulas akhbar di RTM. Makalah ini ditulis pada 22 Januari 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 26 Januari 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!