[Sebuah komik haram
muncul secara tiba-tiba pada April 2012. Seorang adiwira berpakaian lucu
digambarkan terbang dan disambut gembira oleh penduduk pelbagai kaum. Budaya
meraikan superhero bukan sesuatu yang
baru tetapi siapakah adiwira sebenar?]
Masihkah anda ingat komik superhero (Inggeris) atau adiwira (Sanskrit) yang diedarkan secara
percuma kepada pengetua dan penolong kanan pada April 2012? Khabarnya edaran
dilakukan oleh jabatan pendidikan negeri tertentu semasa taklimat “Wacana
Transformasi Minda”.
Malangnya, komik berwarna setebal 50
halaman itu adalah semacam “edisi terhad” dan tidak semua sekolah berpeluang
membaca dan menghayati kehebatan Adiwira Najib yang muncul tiba-tiba – terbang,
tentunya – untuk membantu pada saat orang ramai – pelbagai kaum, tentunya – memerlukan
bantuan.
Pada muka surat 38, orang ramai digambarkan
memandang ke angkasa dan melaung “Hi!
Superman” sambil melambai kepada Adiwira Najib yang sedang terbang rendah.
Buku komik itu yang tidak mencatatkan nama
pencetak khabarnya diterbitkan “MJ Publication Sdn Bhd” yang beralamat di
Persiaran Barat, Ampang. Portal berita The
Malaysian Insider (13 April 2012) melaporkan bahawa alamat penerbit tidak
ditemui dalam direktori perniagaan dan carian menerusi Google Map juga gagal membuahkan hasil.
Saya pula hanya menemui syarikat “MJ
Publishing Sdn Bhd” (859920-X) yang menggunakan alamat berdaftar serta beribu
pejabat di Petaling Jaya. Saya terasa gembira kerana komik Adiwira Najib sudah
memenuhi salah satu kriteria superhero
iaitu tempat kelahiran serta tempat tinggalnya menjadi misteri. Kementerian
Dalam negeri (KDN) pun pasti tidak akan mampu mencarinya.
Tentulah saya tidak merujuk kepada adiwira
dalam cerita rakyat Melayu seperti Badang. Tambahan pula, mana ada kanak-kanak
yang masih bangga menganggap Badang sebagai adiwira. Tidak juga saya merujuk
kepada watak Hang Tuah iaitu orang Bugis yang
dipercayai meninggalkan Sulawesi lalu berhijrah ke Melaka serta mencipta nama
dalam sejarah, legenda dan mitos.
Bagi anda yang meminati watak-watak adiwira
seperti Superman, Batman, Spiderman, Iron Man, Captain America, Ben 10,
Invisible Woman dan Green Arrow, pasti anda lebih tahu tentang pelbagai ciri
keperwiraan yang wajib dimiliki watak-watak superhero.
Ciri paling asas adalah bahawa seorang
adiwira memiliki kuasa luar biasa serta menumpukan seluruh masa dan tenaga
untuk melindungi orang awam. Demikianlah ciri adiwira sejak kelahiran watak
Superman pada 1938.
Memandangkan watak Adiwira Najib boleh
terbang dan sentiasa muncul tepat pada masanya untuk melindungi “rakyat
pelbagai kaum” maka watak itu memenuhi ciri asas adiwira. Sekurang-kurangnya
murid/pelajar tidak akan ketawa membaca komik berkenaan yang mungkin telah
dibawa pengetua dan penolong kanan untuk didermakan ke perpustakaan sekolah.
Seorang adiwira juga memiliki kod etika dan
moral yang amat tinggi. Dalam konteks Malaysia, saya kira, sekurang-kurangnya
perlu memenuhi konsep “Islam Hadhari” yang diperkenalkan Tun Abdullah Ahmad
Badawi sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.
Pakaian pelik, senjata dan wahana adiwira
Adiwira barat biasanya digambarkan sanggup
menggadai nyawa dan keselamatan diri demi orang awam tanpa mengharapkan
sebarang balasan. Sambil berpegang teguh pada kod moral, ramai juga superhero (barat) yang tidak menggunakan
senjata api; khususnya dalam komik yang disasarkan kepada kanak-kanak.
Adiwira Najib lulus sekali lagi kerana
tidak digambarkan memegang sebarang senjata. Tidak juga ditunjukkan babak
sebarang bahan letupan diikat oleh Adiwira Najib atau sekutunya pada tubuh
watak wanita cantik. Tiada sebarang rasuah atau penipuan dalam urusan pembelian
“wahana” (Sanskrit) atau kenderaan seperti kapal selam atau kapal angkasa atau
kapal terbang atau motosikal yang digunakan oleh adiwira untuk pergi membantu
orang ramai.
(Adiwira Najib tidak memerlukan wahana
kerana dia boleh terbang ke mana-mana tanpa perlu risau memikirkan kesesakan
jalan raya, jalan berlubang dan penggunaan kad Touch N Go di plaza tol.)
Hasil pengalaman membaca dan menonton kisah
adiwira barat, saya dapati bahawa seorang adiwira perlu ada pakaian khas yang
bertujuan menyembunyikan identitinya daripada dunia luar. Adiwira Najib
digambarkan memakai pakaian yang lucu dan hanya akan sanggup dipakai sang badut
yang mabuk.
Apa-apa pun, secara tidak langsung, Adiwira
Najib berjaya menyembunyikan identiti sebenar. Katakanlah watak itu – saya
namakan “Najib” tanpa merujuk secara khusus kepada sesiapa – adalah seorang
penjawat awam atau seorang politikus.
Mustahil ada orang (termasuk isterinya)
akan membayangkan watak Najib akan memakai pakaian sebodoh itu. Maka, apabila
Adiwira Najib terbang dalam pakaian itu, tidak akan ada sesiapa yang boleh
menduga bahawa dia adalah watak Najib itu tadi. Jika Clark Kent @ Superman
boleh melakukannya, Najib @ Adiwira Najib juga boleh!
Satu lagi tujuan adiwira barat memakai
busana/kostum khas yang kurang selesa dan kurang praktikal adalah bagi
melindungi kaum-keluarga daripada menjadi mangsa kekejaman musuh peribadinya.
Atau bagi mengelakkan polis daripada menangkapnya; seperti kes Spiderman.
Tambahan pula, masakan Adiwira Najib mahu orang ramai tahu bahawa dia
sebenarnya makan gaji buta dan sekadar terbang ke sana ke sini untuk “mencari
masalah”. Kalau orang ramai – atau majikan – tahu kisah sebenar, tentu sudah
lama dibuang kerja!
Akan tetapi, mungkin juga Adiwira Najib
adalah umpama Iron Man dan Captain Amerika. Satu dunia (bagi Amerika Syarikat,
negara berkenaan adalah “satu dunia”) sudah tahu siapa dirinya dan
mengalu-alukan keadiwiraannya.
Pada kulit buku komik yang diterbitkan
secara haram itu (tanpa maklumat pencetak dan nama penerbit yang gagal
dikesan), watak Adiwira Najib digambarkan menyerupai Perdana Menteri tercinta
kita, Datuk Seri Najib Razak. Terdapat frasa “I wouldn’t break your trust” (“Saya tidak akan menghancurkan nambikei anda”). Harap maklum bahawa
jika anda tidak tahu makna “nambikei”
maka anda tidak tahu apa-apa mengenai politik Malaysia.
Apa-apa pun, timbul pula persoalan, apakah
watak Adiwira Najib (bukan nama sebenar) dalam komik itu sebenarnya mewakili
Perdana Menteri yang amat kita cintai itu? Betapa bangganya kita sebagai Bangsa Malaysia kerana selepas kecewa
dengan Badang yang makan muntah dan Hang Tuah yang terlalu mengikut kata
pemerintah, kini kita ada politikus yang boleh terbang seperti Superman!
Siapa wira, siapa antagonis sebenar?
Atau mungkinkah juga Adiwira Najib (rekaan)
dalam komik itu adalah makhluk asing (alien)
yang menyamar sebagai Datuk Seri Najib (sebenar) tanpa pengetahuan sesiapa,
termasuk isteri dan keluarganya? Jika begitu, di manakah Perdana Menteri
tercinta kita disembunyikan?
Di mana? Di mana? (Agak dramatik, bukan?)
Mungkinkah semua ini angkara musuhnya?
Jangan kita lupa bahawa seorang adiwira tidak ada apa-apa makna jika tidak ada
watak antagonis atau watak jahat yang menjadi musuhnya. Rujuklah mana-mana
komik, kartun atau filem mengenai adiwira dan anda akan mengakui hakikat ini.
Musuh ketat Adiwira Najib adalah manusia
biasa iaitu seorang perompak yang sudah siap tertera frasa “Bad Man” pada baju yang dipakainya. Dia sekadar perompak biasa dan
tidak digambarkan ada apa-apa kuasa seperti dimiliki Adiwira Najib. Polis
sahaja sudah cukup untuk menangkapnya. Watak jahat ini mengikat mata dengan
kain hitam seperti Zorro tetapi mujurlah dia tidak memakai pakaian lucu dan
“mengaibkan kaum-keluarga” seperti dilakukan watak rekaan Adiwira Najib.
Memandangkan watak “Bad Man” itu jahat,
maka dia digambarkan seolah-olah seorang homoseksual. Pada halaman 31, misalnya,
dia kelihatan mesra bersama-sama dua pemuda separuh bogel. Memang bijak
tindakan pihak berkenaan mengedarkan komik ini kepada pengetua dan penolong
kanan supaya mudahlah mereka mendidik murid/pelajar tentang Pendidikan Seks
Sejenis di sekolah.
Tentu juga sebagai tambahan kepada Garis Panduan LGBT yang hangat
diperkatakan berikutan Bernama dan Utusan Online (12 September 2012)
melaporkan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi sebagai berkata
bahawa “tidak ramai dalam kalangan masyarakat yang memahami atau mengenali
simptom LGBT, khususnya tanda-tanda awal terjebak”.
Secara tradisi, kisah adiwira tidak akan
tamat dalam satu buku komik. Biasanya akan ada sequel (susulan), prequel
(prekuel), spin-off (keluaran
sampingan) dan reboot (but semula). Perhatikan sahaja
kisah-kisah Superman, Batman, Spiderman dan Wonder Woman, misalnya, untuk
memahami hakikat ini. Ada kalanya orang lain – atau penerbit lain – akan
meneruskan kisah keperwiraan si adiwira itu dengan menampilkan plot dan musuh
baru.
Ada juga keadaan di mana kelemahan adiwira
ditonjolkan dalam edisi khas. Dalam kes komik Adiwira Najib, tidak diketahui
siapa pereka, pelukis dan penerbit sebenar. Maknanya, sesiapa sahaja berhak
untuk “mengambil” watak fiksyen Adiwira Najib dan mengembangkannya.
Dalam hal ini, saya paling tertarik pada
komik yang dihasilkan oleh Johnny Ong pada 7 Mei 2012. Dalam versi ini, Adiwira
Najib memakai busana baru yang kurang lucu. Dia tidak digambarkan terbang
tetapi sudah “mendarat” dan sedang berpaut pada dahan pokok.
Orang ramai kelihatan di bawah tetapi
mereka tidak melaungkan “Hi! Superman”
seperti sebelum ini. Sebaliknya mereka menuntut pilihan raya yang bersih! Agak ironik
tetapi masih memenuhi kriteria perkembangan kisah watak-watak adiwira kerana
“musuh” sebenar Adiwira Najib bukanlah watak fiksyen perompak kecil-kecilan
yang memakai baju tertulis “Bad Man”.
Sebaliknya, “musuh” sebenar yang berjaya
menumpaskan Adiwira Najib dalam komik ini adalah orang ramai, The Third Force, iaitu orang biasa
yang tidak ada apa-apa kuasa istimewa; selain kuasa menuntut pilihan raya yang
bersih. Demikianlah realiti dalam dunia komik adiwira di mana seorang superhero tidak semestinya mempunyai
kuasa luar biasa untuk menyelamatkan negara daripada kemusnahan.
[Uthaya
Sankar SB adalah penggemar kartun dan komik sejak usia kanak-kanak. Makalah ini
ditulis pada 9 Januari 2013 dan disiarkan di Roketkini
pada 15 Januari 2013. © Uthaya Sankar SB
2013. Harap maklum bahawa anda membaca
makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Baca juga: TOLAK POLITIK PERKAUMAN]