Friday, 1 March 2013

Ular Tedung dan Rakan-rakannya

[Ada begitu banyak istilah dalam bahasa orang Melayu yang sebenarnya mempunyai pengaruh kuat bahasa Sanskrit, budaya India dan agama Hindu. Beberapa contoh disajikan di sini untuk santapan minda.]
 
Awal-awal lagi, saya sedar bahawa apa sahaja yang saya tulis di sini bakal mendapat bantahan daripada sekurang-kurangnya tiga pihak. Walau bagaimanapun, biarlah tulisan ini tetap dipaparkan sekurang-kurangnya sebagai hiburan ringan pada cuti Tahun Baru Cina.
 
Trivia ini adalah mengenai nambikei, makkal sakhti, dirgahayu dan rakan-rakannya. Ada antara istilah ini yang sudah diterima sebagai istilah Bahasa Malaysia, manakala beberapa lagi dipercayai akan segera dimasukkan dalam Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam masa terdekat memandangkan ia sudah diguna pakai dalam komunikasi oleh politikus dan penduduk pelbagai kaum di Malaysia.
 
Dalam isu Kamus Dewan, Ahmad Faiz Faiza pernah menulis: “… saya terkejut dengan kenyataan Kementerian Pendidikan [sic] yang mengatakan kamus terbabit mestilah difahami berdasarkan fahaman kaum Melayu sahaja” (The Malaysian Insider, 20 April 2011).
 
Isu bermula apabila Kementerian Pelajaran dalam kenyataan menerusi laman sesawang rasminya mengatakan bahawa “perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu yang terdapat dalam kamus-kamus Melayu terbitan DBP, ia hendaklah dilihat dari kaca mata bangsa Melayu dan bukan dari kaca mata bangsa lain” (The Malaysian Insider, 17 April 2011). [Baca juga: PANDI KUTTI]
 
Pendirian saya dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) adalah bahawa “kementerian sepatutnya mengambil langkah merakyatkan Bahasa Malaysia dan bukannya menyempitkan bahasa kebangsaan kepada kaum tertentu. Apatah lagi dalam usaha menggalakkan generasi muda pelbagai kaum menggunakan Bahasa Malaysia dalam kehidupan seharian” dan kenyataan itu disiarkan dalam berita yang sama.
 
Ketika dihubungi wartawan The Malaysian Insider (18 April 2011), ahli jawatankuasa Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Datuk Dr Zainal Kling dilaporkan bersetuju bahawa “secara umum pandangan saya, Bahasa Malaysia kepunyaan bangsa Malaysia”.
 
Bagaimanapun, pendirian presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) adalah sebaliknya. Beliau dilaporkan berkata, kenyataan Kavyan seolah-olah bersifat ugutan.
 
“Saya nasihatkan jangan nak menimbulkan huru-hara, ia nampak seolah-olah mahu menimbulkan ugutan dan hasutan. … Ini (Kamus Dewan) kamus Bahasa Melayu … jadi perlu lihat dari sudut Bahasa Melayu, kalau nak lihat dari sudut pandangan lain buatlah kamus bahasa lain … kalau berterusan, ia akan menimbulkan lebih banyak krisis dan cuba menidakkan kedaulatan Bahasa Melayu,” tegasnya dalam laporan di The Malaysian Insider (18 April 2011).
 
Berikutan isu itu juga, seorang Hamba Allah yang menggunakan nama Subari Ahmad mencadangkan menerusi Facebook supaya “hantar saja si dia (Uthaya) ke ISA kerana cuba menggugat ketenteraman rakyat di negara ini.”
 
Walau apa pun hujah dan dalil digunakan, hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah bahawa Bahasa Malaysia (atau bahasa Melayu) banyak menerima pengaruh daripada Bahasa Sanskrit dan Tamil sejak zaman  berzaman. Malah, trivia ini secara khusus melihat beberapa perkataan yang sesuai dibincangkan dalam suasana semasa.
 
Untuk makluman, “trivia” adalah istilah yang sudah diterima oleh DBP dan membawa makna “pelbagai fakta atau maklumat yang kurang penting tetapi menarik tentang subjek tertentu”.
 
Nama DBP itu sendiri menampakkan ada pengaruh India. “Pustaka” membawa makna “kumpulan kertas yang dijilid” iaitu buku. Dalam Bahasa Tamil dan Telugu, disebut “pustakam”. Manakala “bahasa” berasal daripada perkataan “bhasa” (Sanskrit dan Pali) yang membawa makna “spoken language”.
 
Frasa yang cukup popular mulai November 2007 adalah “Makkal Sakhti” (Kuasa Rakyat; People’s Power) berikutan kebangkitan kelompok minoriti kaum India yang merasakan (menyedari?) mereka dipinggir, dizalimi dan tidak mendapat keadilan yang sewajarnya sejak dahulu. Maklumat terperinci mengenai “tsunami politik” yang tidak pernah terjangka akan berlaku itu boleh juga dibaca dalam buku berjudul Makkal Sakhti 2008: Analisa Pilihan Raya Umum Ke-12 (2008) oleh Riduan Mohamad Nor.
 
Terdapat surat khabar Tamil bernama Makkal Osai yang diterjemahkan sebagai “Suara Rakyat”. Pada penelitian saya sebagai perunding media, akhbar Makkal Osai dan Nam Naadu dahulu cukup lantang bersuara secara objektif dan berani mewakili Rakyat.
 
Bagaimanapun, mulai Januari 2013, kelima-lima akhbar harian Tamil kelihatan seolah-olah sudah berubah menjadi “lidah rasmi” dan “alat propaganda” Barisan Nasional (Bar1san Nas1onal; BN) bagi menjamin 99 peratus sokongan pengundi kaum India pada PRU-13; seperti dianalisis dalam makalah-makalah di Projek Dialog (23 Januari 2013), Free Malaysia Today (26 & 29 Januari 2013) dan The Malaysian Insider (4 Februari 2013).
 
Pada tahun 1999, frasa Bahasa Tamil yang cukup popular dan menjadi sebutan ramai adalah “Maru Malarchi” (kebangkitan semula; revival) selaras dengan semangat reformasi berikutan tindakan “bijak” Tun Dr Mahathir Muhammad (mantan Perdana Menteri) melucutkan jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.
 
Secara kebetulan, pada Januari 1998, keluar pula filem Tamil berjudul Marumalarchi lakonan Mammootty dan Devayani. Saya pula menggunakan frasa sama dalam kertas kerja yang dibentangkan di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 8 November 1998 sebelum dijadikan prakata kumpulan cerpen Sasterawan Pulau Cinta (2001).
 
Nampaknya DBP belum memasukkan frasa “Maru Malarchi” dalam Kamus Dewan. Begitu juga dengan istilah “nambikei” (kepercayaan; trust) yang dipopularkan oleh Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dalam usaha memancing undi penduduk kaum India menjelang PRU-13.
 
If we are guided by the principles and philosophy of ‘nambikei’ and if we have ‘nambikei’ among us, there is nothing that we cannot achieve and no problem that cannot be solved,” katanya di laman sesawang www.nambikei.com yang secara jelas membuktikan bahawa istilah “nambikei” wajib diterima masuk dalam Kamus Dewan.
 
Istilah “dirgahayu” selalu kita gunakan dengan erti “mudah-mudahan dilanjutkan usia; dipanjangkan umur” (Kamus Pelajar). Bagaimanapun, apabila saya menggunakan frasa “Dirgahayu Bahasa Malaysia” dalam sajak berjudul “Pe(r)juang(an) Bahasa II” (Mingguan Malaysia, 24 Jun 2007) yang membawa tema memperjuangkan serta memartabatkan bahasa kebangsaan, ramai puak etnosentrik dan fanatik yang marah-marah.
 
Misalnya, Salbiah Ani menerusi tulisannya di Berita Harian (5 Julai 2007) mentafsir sajak berkenaan sebagai menghina golongan yang digelarnya sebagai “pejuang bahasa Melayu”. Mungkin kerana saya menggunakan perkataan “dirgahayu” yang berasal daripada Bahasa Sanskrit; dan bukannya istilah “long live” (Inggeris) atau “hidup” (Melayu).
 
Satu lagi istilah yang selalu digunakan oleh penutur Bahasa Malaysia adalah “wahana” yang merujuk kepada “alat (seperti kenderaan) untuk membawa orang atau barang” atau “alat untuk melahirkan atau menyampaikan fikiran, perasaan dan sebagainya”.
 
Istilah “wahana” diperakui oleh Majlis Bahasa Brunei, Indonesia dan Malaysia serta digunakan oleh ketiga-tiga negara dengan makna “vehicle” atau “kenderaan”. Dalam konteks asal Sanskrit (vahana) dan Tamil (vaahanam), istilah “wahana” ada kaitan erat dengan agama Hindu di mana dewa-dewi digambarkan memiliki “wahana” masing-masing.
 
Misalnya, Murugan menggunakan merak (mayil) sebagai wahana, Ganesha menunggang tikus mondok (mooshika), Shiva menggunakan lembu betina (nandi), Vishnu menunggang garuda (juga istilah Sanskrit), Dhurga menaiki singa (Sanskrit), Lakshmi menggunakan angsa, Indra menunggang gajah (Sanskrit), Yama menunggang kerbau dan sebagainya.
 
Kalau Salbiah Ani dan puak-puak etnosentrik mengetahui “rahsia” ini, tidak mustahil mereka akan mengadakan perhimpunan besar-besaran di perkarangan Rumah Gapena, Rumah Pena atau Menara DBP (misalnya) bagi mendesak istilah “wahana” dibuang daripada Kamus Dewan kerana “ada unsur penyebaran agama Hindu” sebagaimana tuduhan oleh penolong editor sebuah majalah terhadap sebuah cerpen saya pada September 2012 (Free Malaysia Today, 1 Oktober 2012).
 
Sama ada diakui atau sengaja mahu dinafikan, pada hakikatnya, penduduk Tanah Melayu pada masa dahulu menganut agama Hindu dan Buddha serta mengamalkan budaya kaum India lama sebelum kedatangan agama Islam dan budaya Arab. Maka, bahasa-bahasa dari India (khususnya Sanskrit yang berkait rapat dengan agama Hindu) sudah menjadi sebahagian daripada budaya bahasa di negara kita.
 
Pada pandangan saya, tidak salah untuk kita mengetahui sejarah dan asal-usul istilah-istilah berkenaan. Barulah boleh pihak tertentu menjalankan kempen besar-besaran menolak istilah “sembahyang” (Hindu) dan mendesak penggunaan istilah “solat” (Arab). Tak kenal, maka tak tolak.
 
Dalam konteks Bahasa Malaysia, “naga” biasanya merujuk pada “makhluk rekaan berupa seperti buaya atau ular tetapi bersayap dan berkuku cekam, boleh menghembuskan api dari mulutnya” atau “dragon” dalam Bahasa Inggeris. Dari situlah juga lahir frasa “tarian naga” melibatkan makhluk mistik dalam budaya Cina.
 
Bagaimanapun, dalam konteks bahasa dan budaya India, “naga” (Sanskrit), “naagam” (Tamil), “nagina” (Hindi) atau “nago” (Bengali) merujuk pada “ular tedung” (Bahasa Malaysia) atau “cobra” (Bahasa Inggeris). Versi betina kepada “naga” atau “nagina” adalah “nagi” atau “nagini” seperti yang sering ditampilkan dalam filem Hindi sebagai makhluk jelmaan ular.
 
Agak menarik untuk diperhatikan bahawa “naga” iaitu ular tedung (cobra) dalam konteks bahasa dan budaya India bertukar menjadi “naga” iaitu sejenis makhluk rekaan (dragon) dalam konteks bahasa dan budaya Melayu. Istilah “naga” (Jawa) dan “nak” (Thai) pula masih mengekalkan makna asal daripada Sanskrit.
 
Sempena “tahun ular” yang disambut orang Cina, wajar juga dinyatakan bahawa ular tedung China (Chinese cobra; Taiwan cobra) atau Naja atra adalah ular berbisa yang terdapat di China dan Taiwan.
 
Sebelum Mahathir dengan “bijak” memansuhkan kekebalan Raja-raja Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan, kita sering menggunakan frasa “Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda”. Memandangkan konsep “raja” dan “kerajaan” yang diamalkan di rantau ini sejak sebelum Zaman Kesultanan Melayu Melaka adalah berasaskan budaya India-Hindu, maka tidak hairanlah amalan itu masih diteruskan walaupun secara logik, ia bertentangan dengan ajaran Islam.
 
“Paduka” adalah istilah Sanskrit berasaskan kata dasar “paada” (tapak kaki; “paatham” atau “paathukai” dalam Tamil) serta merujuk pada selipar/sandal/capal khas di India yang biasanya diperbuat daripada kayu.
 
Sesiapa yang menghayati kisah “paadhukai” (capal) Rama digunakan oleh Bharata untuk “memerintah” kerajaan Ayodhya dalam epik Ramayana pasti lebih mudah memahami konsep sebenar “paduka” yang masih menjadi amalan di negara bertuah ini.
 
Demikian sedikit trivia yang boleh digunakan sama ada bagi menambah pengetahuan mengenai pengaruh Bahasa Sanskrit dalam Bahasa Malaysia, atau sekadar sebagai bacaan santai pada masa cuti.
 
Selamat Tahun Baru Cina!
 
[Uthaya Sankar SB suka mengkaji bahasa, sastera, seni dan budaya pelbagai keturunan, kaum, etnik dan bangsa. Makalah ini ditulis pada 9 Februari 2013 berdasarkan catatan lama di blog dan disiarkan di Roketkini pada 10 Februari 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!