23 Mar 2012

Ugadi bawa “Unsur Keling”?

[Sambutan tahun baru Telugu mengingatkan penulis kepada pengalaman pahit yang dialami empat tahun lalu.]

Kaum India berketurunan Telugu (bakal) menyambut tahun baru atau “Ugadi” pada 23 Mac 2012 (seterusnya pada 11 April 2013; 31 Mac 2014).

Ucapan yang lazim kedengaran adalah “Ugadi Shubhakankshalu” dan biasanya dibalas dengan ucapan “Meeku kooda Ugadi Shubhakankshalu” dalam Bahasa Telegu.

Bercakap mengenai sambutan tahun baru ini, saya terkenang bagaimana empat tahun lalu, saya dituduh cuba membawa masuk “unsur-unsur keling” apabila saya membuat liputan sambutan Ugadi untuk siaran berita.

Insiden itulah yang membuatkan saya melepaskan jawatan penyunting berita Bahasa Malaysia di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan notis 24 jam; kerana saya tidak rela berada dalam kalangan individu yang ketara mengamalkan perkauman dan diskriminasi.

Saya segera meminta Ketua Meja Berita Bahasa Malaysia mengeluarkan nama saya daripada jadual kerja Penyunting Berita Bahasa Malaysia (TV) bermula 8 April 2008; sebagai persiapan awal meninggalkan RTM.

Dalam surat saya kepada Pengarah Berita Ehwal Semasa (BES), Jabatan Penyiaran Malaysia, saya menerangkan bahawa saya terpaksa mengambil keputusan nekad itu berikutan suatu insiden yang menjejaskan reputasi saya sebagai seorang individu yang mempunyai integriti, maruah dan harga diri.

Pada Jun 1996, saya dihubungi oleh Pengarah BES waktu itu yang mendapat maklumat mengenai diri saya daripada pelbagai laporan akhbar mengenai aktiviti bahasa dan sastera yang saya kendalikan. Beliau menawarkan saya peluang menjadi Penyunting Berita Bahasa Malaysia (TV) sebagai staf kontrak. Saya memulakan tugas pada 2 Julai 1996.

Pada tahun 1999, apabila subjek wajib Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pengajian Malaysia diperkenalkan di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), saya menjadi antara pensyarah perintis yang diberi kepercayaan mengajar subjek-subjek berkenaan di beberapa IPTS di Lembah Klang.

Pada tahun 2002, memandangkan komitmen yang tinggi terhadap kerja-kerja sebagai pensyarah di beberapa IPTS, serta mahu meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan aktiviti sastera di bawah Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang diasaskan pada Ogos 1999, saya meminta dilepaskan daripada tugas di RTM.


Pada Januari 2005, saya dihubungi Encik Rashid Woon yang memaklumkan bahawa Datuk Seri Zainuddin Maidin mencadangkan serta menawarkan saya peluang menjadi pengulas akhbar. Saya menerima tawaran itu sebagai menghormati dan menghargai keyakinan yang diletakkan oleh Zainuddin yang saya kenali sejak beliau masih di Utusan Malaysia dahulu.

Maka, saya memulakan tugas sebagai pengulas akhbar dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia pada 2 Februari 2005. Bermula 15 April 2007, segmen ulasan akhbar dikenali sebagai Akhbar Hari Ini dan diletakkan di bawah Bilik Berita TV.

Pada April 2007, Pengarah BES menawarkan saya kembali menjadi penyunting berita berdasarkan pengalaman, rekod perkhidmatan lama dan untuk menampung kekurangan penyunting berita. Saya menerima tawaran itu dan memulakan tugas Penyunting Berita Bahasa Malaysia (TV) pada 2 Mei 2007.

Pada Jun-September 2007, atas saranan Zainuddin, saya membuat liputan berita dan laporan khas berkaitan isu “Bahasa Malaysia” dengan mewawancara khalayak pelbagai kaum.

Menjelang sambutan Deepavali pada akhir 2007, saya mengambil inisiatif membuat tujuh laporan khas mengenai perayaan itu untuk siaran berita Bahasa Malaysia.

Agak menarik juga untuk dinyatakan bahawa apabila ditimbulkan di Parlimen bahawa Berita TV RTM kurang membuat liputan mengenai sambutan Deepavali, skrip dan laporan saya telah diminta untuk dijadikan “bahan bukti” bahawa RTM ada membuat liputan mengenai sambutan Deepavali.

Pada Januari 2008, saya dimaklumkan oleh Pengarah BES bahawa Zainuddin “mengarahkan” saya menjadi penyampai berita Bahasa Malaysia. Saya menerimanya sebagai menghargai serta menghormati keyakinan yang diletakkan pada saya.

Bagaimanapun, segalanya berubah pada 7 April 2008 sejurus selepas saya membuat laporan khas sepanjang 1 minit 46 saat mengenai sambutan Ugadi untuk siaran Warta Satu (1:00 petang di RTM1).



Bahan berita itu pada mulanya dimasukkan dalam senarai bahan bagi siaran dalam Warta Satu. Bagaimanapun, sebaik sahaja siaran Warta Satu bermula, saya mendapati bahan laporan khas itu ditahan (hold) daripada siaran. Penerbit terbabit (Salasiah Zakaria) memberitahu saya, “Pengarah BES suruh hold bahan ini sebab sensitif. Dia nak baca dulu sebelum dilulus untuk siaran.”

Saya terkejut dan hairan mendengar alasan itu atas dua sebab. Satu, saya ada menelefon Pengarah BES beberapa jam sebelum itu serta tahu bahawa beliau bercuti dan berada di Melaka. Dua, tidak ada sebarang perkara sensitif dalam skrip mahupun visual bahan berita tersebut.

Berikut skrip berkenaan yang masih saya simpan sebagai bahan dokumentasi berhubung insiden hitam yang berlaku:



“Masyarakat India berketurunan Telugu menyambut tahun baru hari ini. Perayaan tahun baru merupakan sambutan yang diraikan secara sederhana bersama-sama kaum keluarga dan saudara mara. Bagi masyarakat keturunan Telugu yang tidak bekerja pada hari ini, sambutan dimulakan sejak awal pagi.

“Sebagaimana lazim dalam budaya kaum India, masyarakat Telugu juga melukis kolem dan memasang lampu, selain mengikat daun mangga, daun kelapa dan pokok pisang untuk menimbulkan suasana perayaan.

“Kemeriahan sambutan tahun baru Ugadi jelas terpancar melalui sambutan yang sederhana tetapi penuh bermakna di rumah keluarga Encik Jaya Raman Ramuloo dan Puan Athi Letcheme Subramaniam di Taman Puchong Utama, Selangor.

“Selepas berpakaian serba baru, golongan muda mendapatkan restu daripada ibu bapa supaya kehidupan mereka terus bahagia pada masa akan datang.

“Pachedi merupakan gabungan enam jenis makanan yang melambangkan pelbagai asam-garam dalam kehidupan. Ia diberikan pada tahun baru Ugadi sebagai simbol kehidupan yang penuh dengan pengalaman yang pelbagai.

“Masyarakat Telugu juga ada juadah khas yang dikenali sebagai ‘Burulu’ iaitu kuih berisi kacang hijau; dan ‘Garulu’ iaitu vade yang disalut kuah gula merah. Selain daripada itu, pelbagai juadah tradisional kaum India turut dihidangkan kepada kaum keluarga dan tetamu yang hadir.

“Bagi masyarakat Telugu, walaupun mereka merupakan golongan minoriti, mereka bersyukur kerana di negara ini, hak mereka sentiasa terpelihara untuk mengamalkan budaya, adat-resam dan kepercayaan tradisi nenek-moyang.”

Sebaik Warta Satu tamat, saya meminta penjelasan daripada penerbit terbabit. Beliau membuat pengakuan bahawa beliau dan dua lagi penyunting yang bertugas pada hari itu yang sebenarnya memutuskan bahawa bahan berita mengenai sambutan Ugadi adalah “sensitif” dan “tidak perlu disiarkan kerana masyarakat Telugu hanya kelompok minoriti”.

Susulan daripada insiden itu, mula kedengaran pelbagai desas-desus yang menjejaskan reputasi saya. Antaranya: “Dia memang ada agenda lain”, “Dia memang nak masukkan anasir-anasir keling dalam berita Melayu” dan “Tentu dia dah masuk (menerima wang sebagai rasuah) untuk siar bahan-bahan tu dalam berita”.

Apa yang nyata, insiden pada 7 April 2008 membuka mata dan minda saya untuk mengetahui serta memahami rasisme yang masih ketara dalam kalangan kelompok tertentu di RTM.

Sebab itulah, apabila muncul peluang menjadi penyunting kandungan berita di Bernama Radio24, saya menerima tawaran itu dengan senang hati.

Bagaimanapun, penerbit terbabit, Salasiah Zakaria tidak disambung kontraknya mulai 1 Januari 2010 dan beliau sudah tiada di Bilik Berita TV RTM. Maka, mungkin mulai 2010, tidak menjadi masalah untuk menyiarkan liputan sambutan Ugadi dalam berita Bahasa Malaysia.

Apatah lagi, sejak April 2009, riuh satu negara dengan slogan muluk “Oka Malaysia” (‘Satu Malaysia’ dalam Bahasa Telugu) di mana semua kaum, agama, etnik dan keturunan khabarnya tidak dinafikan hak masing-masing.

Menjelang sambutan Ugadi kali ini, saya membaca semula salinan skrip berita bertarikh 7 April 2008 yang masih ada dalam simpanan. Wajar dihuraikan bahawa “pachedi” melambangkan enam pengalaman yang menjadi rencah kehidupan.

Sebagai simbolik, enam bahan digunakan; iaitu margosa (neem) bagi melambangkan kesedihan, pisang masak (kegembiraan), cili hijau (kemarahan), garam (ketakutan), asam jawa (meluat) dan manga muda (terkejut).

Ugadi juga masa terbaik untuk anggota masyarakat keturunan Telugu mengenakan pakaian tradisional. Golongan lelaki biasanya memakai uttariyam, vesti, kurta atau lungi.

Kaum wanita biasanya memakai cheera (sari). Perhatikan bahawa bahagian selendang diletakkan pada bahu kanan; berbeza dengan wanita Tamil yang meletakkannya pada bahu kiri (lihat foto). Bagi remaja perempuan, mereka biasanya memakai langa oni (pavade).



Mungkin segala keistimewaan masyarakat Telugu akan dipaparkan menerusi laporan khas di RTM pada 23 Mac ini tanpa melabel sambutan Ugadi adalah “sensitif” dan “tidak perlu disiarkan kerana masyarakat Telugu hanya kelompok minoriti”.

Oka Malaysia Ugadi Shubhakankshalu!

(Uthaya Sankar SB adalah individu keturunan Malayali yang berbangga memperkenalkan dirinya sebagai Bangsa Malaysia. Artikel ini ditulis pada 4 Mac 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 19 Mac 2012.)