Sebagai seorang olahragawan, memanglah ramai orang – terutama golongan pemudi – menjadi peminatnya.
Senarai peminat yang mengirim kad ucapan syabas serta mengerumuni untuk mendapatkan tandatangannya semakin bertambah setelah dia berjaya membolot tiga pingat emas dalam acara 100m, 200m dan 4x100m Sukma beberapa bulan lalu.
Antara sekian ramai peminatnya ialah Emi, si gadis lincah berumur tujuh belas tahun. Emi mengirimkan sepucuk kad ucapan tahniah sekembalinya ke Taiping bersama-sama tiga pingat emas yang dimenangi.
Kebetulan, Emi juga seorang olahragawati; acara 100m dan 200m. Sering juga mereka bertemu kerana sama-sama menghadiri latihan intensif yang diadakan di Bangi.
Kedatangan kad daripada Emi merupakan titik permulaan pergaulan mereka. Maklumlah, sebagai seorang pemuda yang mendapat pendidikan di sekolah lelaki sejak Darjah Satu hingga Tingkatan Lima, dia agak kekok untuk bergaul dengan para atlet wanita. Kalau ada pun, sekadar berkata “Hai!” sahaja.
Emi menyatakan keinginan untuk berkenalan dengannya.
“Sudilah menjadi abang angkat saya,” kata Emi dalam kad yang dikirimnya.
Dia terpinga-pinga juga pada mulanya. Maklumlah, dia tidak ada adik-beradik perempuan dalam keluarga. Yang ada, tiga abang dan dua adik lelaki.
“Apa salahnya,” kata suara hatinya, empat bulan lalu. “Ini peluang untuk bergaul dengan golongan wanita. Tidak ada apa-apa yang perlu ditakutkan. Dia hanya mahu menjadi adik angkat.”
“Nah! Bukankah ini permulaan yang baik untuk belajar memahami perasaan golongan wanita,” kata suara hatinya lagi.
Dia akur. Dia tahu bahawa dia perlu belajar untuk tidak berasa kekok sewaktu berada dalam kalangan kaum wanita. Jika tidak, sampai bila-bila pun dia tidak akan berpeluang untuk menyesuaikan diri dengan mereka.
Dan perkara ini tentu tidak sesuai dengan usianya yang semakin dewasa dan perlu memikirkan soal masa depan.
Lalu, dia mengutus sepucuk surat ringkas menyatakan kesanggupan menjadikan Ami adik angkatnya.
“Maaflah, saya agak kekok kerana ini surat pertama yang saya kirim kepada seorang wanita,” tulisnya pada penghujung surat.
Sejak itulah mereka semakin intim, Walaupun dia berada di Perak manakala Emi di Johor, surat-surat yang dikirim mendekatkan mereka.
Emi sentiasa menyatakan kesyukuran berjaya menjadikan dia abang angkatnya. Dan dia pula menyatakan kegembiraan kerana sudah tidak terasa janggal berkomunikasi dengan wanita.
Kini, dia tidak kekok berhadapan dengan golongan wanita.
“Apakah kau menaruh hati terhadap Emi?” Demikian tanya rakannya beberapa minggu lalu. Waktu itu mereka menyertai latihan di Bangi bagi kali kedua.
“Eh, tidaklah! Kami bergaul sebagai abang dan adik,” balasnya dengan segera. “Kau jangan salah tafsir hubungan kami.”
Rakan-rakannya terus sangsi. Tetapi dia tidak ambil kisah. Apa aku peduli prasangka mereka, fikirnya.
Lalu dia tetap mengisi masa lapang berbual-bual bersama Emi sepanjang mereka berada di Bangi. Tidak timbul prasangka dalam hatinya.
Jika berkesempatan, mereka berdua ke Kajang; sekadar berjalan-jalan atau makan di gerai sambil berbual-bual.
“Abang sudah ada kekasih?” Emi bertanya.
“Tidak,” katanya berterus-terang sambil menambah: “Saya tidak biasa bergaul dengan golongan wanita. Emi orang pertama, selain ibu.”
“Tak ada yang cuba menggoda abang?” Emi bertanya lagi sewaktu mereka makan di KFC Kajang.
“Entah. Saya pemalu.”
“Dengan Emi?”
“Malu juga pada mulanya,” dia menjawab. “Tetapi tidak lagi.”
Minggu lalu, setelah tamat latihan di Bangi, dia membawa rakan-rakannya ke rumah. Emi turut serta.
Dia perkenalkan Emi kepada ibu dan adik-beradiknya. Seperti mana dia juga dahulu, adik-beradiknya agak malu-malu sewaktu berbual dengan Emi.
Setelah Emi serta rakan-rakan lain pergi, mulalah pula mereka mengusik pemuda itu sehabis-habisnya!
“Cun habis. Mana kau jumpa?” Abangnya bertanya.
“Tak sangka abang ni romeo juga,” usik si adik pula.
“Eh, bukan! Kami tak bercinta,” dia menjelaskan. “Dia adik angkat saya.”
“Yalah, ... mula-mula abang angkat, kemudian ... ehem! ehem!” - bersambung ...
(Disiarkan di Free Malaysia Today pada 5 Mac 2012. © Uthaya Sankar SB. Kisah “Kau Harus Mengerti, Emi” dan “Jangan Beritahu Ravi Hal Ini” digabungkan sebagai “Dua Fragmen Kasih” dan mendapat hadiah penghargaan dalam Hadiah Cerpen Maybank-DBP 1996.)