Kau bergaul rapat dengan Ravi sewaktu di Tingkatan Enam Rendah. Kebetulan kau menjadi pembimbingnya apabila Ravi bertukar ke Sekolah Menengah Che’ Wan Thani pada pertengahan tahun.
Sebagai seorang Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), kau ditugaskan mengorientasi Ravi yang masuk ke sekolah kau lewat beberapa minggu berbanding pelajar-pelajar lain.
Mungkin kebetulan juga Ravi dimasukkan ke kelas yang sama dengan kau. Maka bertambah eratlah hubungan kau dan dia. Kau dijadikannya rakan belajar. Kau juga dijadikannya rakan karib.
Malah, kau jugalah yang sering diajaknya keluar makan atau menonton wayang di bandar Taiping.
‘Macam belangkas,’ komen Hasmiza; mungkin kerana cemburu.
Sesungguhnya komen Hasmiza ada benar dan ada silapnya juga. Memanglah hubungan kau dan Ravi (atau lebih tepat lagi, hubungan Ravi dengan kau) lebih erat berbanding rakan-rakan lain di sekolah.
Menakjubkan juga bagaimana kau menjadi begitu akrab dengan Ravi dalam masa tidak sampai dua bulan.
Sedangkan dengan Mohan yang kau kenali sejak di sekolah rendah pun sekadar rakan sekolah sahaja. Juga dengan Shazmi yang kau kenali sejak di Sekolah Menengah Darul Ridwan. Apatah lagi dengan Chandran yang masuk ke sekolah kau semasa di Tingkatan Empat.
Memanglah tidak dapat dinafikan persahabatan kau dengan Mohan dan Chandran memang akrab. Tetapi tidak pula sampai seakrab persahabatan dengan Ravi.
‘Biasalah.’ Begitu komen yang sentiasa kau berikan apabila ditanyakan hal itu.
Lama-kelamaan, hubungan kau dan Ravi (bukan lagi sekadar hubungan Ravi dengan kau) bertambah intim. Kau dan Ravi menjadi sahabat karib.
Tidak salah jika dikatakan kau juga senang dengan kehadiran Ravi. Kau dan Ravi sering kelihatan bersama-sama. Sama-sama belajar di Bilik Kaunseling pada sebelah petang. Atau sama-sama membuat latihan dan kertas kerja yang diberikan guru.
Kau dan Ravi sama-sama mengulang kaji pelajaran menjelang ujian bulanan dan peperiksaan. Ke bandar bersama-sama. Menonton wayang bersama-sama. Masuk persatuan yang sama.
Ke kantin bersama-sama. Minum petang bersama-sama. Ke padang ragbi bersama-sama. Malah, kadang-kadang ke tandas pun pada masa yang sama!
Memanglah keintiman hubungan kau dan Ravi menjadi buah mulut ramai. Mohan dan Chandran sedikit cemburu. Atau mungkin terkilan.
‘Tengok. Dia sudah tak ada masa untuk kita. Asyik dengan sahabat karibnya. Dengan kita, tak pernah pun dia serapat itu.’
Demikian komen (atau lebih tepat lagi, luahan perasaan) Mohan dan Chandran. Malah, perasaan cemburu membuatkan mereka sentiasa cuba mengelakkan diri daripada bertemu dengan kau.
‘Mereka cemburu?’ Tanya kau kepada Shazmi yang memberitahu kau akan kemungkinan itu suatu masa dahulu. ‘Kerana apa? Salahkah saya berkawan rapat dengan Ravi?’
Memanglah lumrah hidup begitu. Tambahan pula pada usia remaja menjelang dewasa. Remaja lelaki ketara mewujudkan geng sendiri yang mungkin terdiri daripada lima hingga sepuluh orang.
Lalu, apabila kau lebih rapat dengan Ravi, mereka yang lain terasa kurang senang.
Tetapi perasaan dengki mereka kurang berasas juga. Memanglah lumrah hidup bahawa seseorang itu akan lebih akrab dengan individu yang punya persamaan dengan dirinya.
Dalam hal ini, kau dan Ravi punya banyak persamaan dari segi minat dan kesukaan. Kau menyukai ragbi seperti juga Ravi. Tetapi Mohan dan Chandran suka akan permainan bola sepak.
Begitu juga dari segi kombinasi mata pelajaran. Kau dan Ravi berada di kelas yang sama berbanding Mohan dan Chandran yang mengambil kombinasi mata pelajaran yang ada sedikit perbezaan.
‘Jangan endahkan kata-kata mereka. Kita berhak memilih kawan yang sealiran dengan kita,’ kata kau kepada Shazmi.
Keputusan kau memang sesuatu yang tepat. Tambahan pula, kau tidak sepenuhnya mengasingkan diri daripada Chandran, Mohan, Shazmi, Peng Soon dan rakan-rakan lain.
Cuma, kau lebih rapat dengan Ravi. Tidak ada salahnya di situ.
Hubungan kau dan Ravi bertambah intim sewaktu di Tingkatan Enam Atas. Mungkin komen Hasmiza sesuai digunakan pada waktu itu. Tetapi hubungan intim itu tidak wajar dicemburui atau disalah tafsir!
Hubungan kau dengan Ravi tidak lagi sekadar hubungan dua sahabat. Malah lebih seperti bersaudara. Kebetulan Ravi setahun lebih tua daripada kau kerana masuk Kelas Peralihan sebelum ke Tingkatan Satu.
Maka, ketaralah guru-guru menggelar Ravi sebagai abang kau. Kau menerimanya dengan senang. Ravi pula menerimanya dengan gembira.
‘Ya!’ Kata Ravi dengan girang. ‘Aku fikir memang sejak awal lagi aku bergaul dengan kau bukan sekadar sebagai seorang rakan. Memang telah aku rasakan suatu keintiman yang lebih dalam. Rupa-rupanya hati kecil aku menganggap kau sebagai seorang adik!’
Kau tersenyum pahit mendengar kata-kata itu. Agak malu-malu kerana Ravi berkata begitu di hadapan rakan-rakan sekelas.
‘Bolehlah kau jadi adik aku. Apa macam?’
‘Okeylah. Okeylah, A-b-a-n-g Ravi!’
Sejak itu, bermulalah episod baru dalam hubungan kau dan Ravi. Lidah kau memang liat untuk memanggil Ravi sebagai “abang”. Maklumlah, kau sudah biasa memanggilnya dengan menyebut nama selama hampir setahun. Malah Ravi sendiri tidak kisah.
‘Kau panggil thambi pun aku tak kisah!’ Demikian katanya.
Ternyata persaudaraan itu memberi dorongan positif. Kau dan Ravi sering bersaing dalam pelajaran. Tetapi pada masa sama, kau dan Ravi masih belajar bersama-sama seperti dahulu.
Malah, hubungan persaudaraan telah secara tidak langsung membantu meningkatkan pencapaian kau dan Ravi dalam pelajaran serta aktiviti ko-kurikulum. Begitu juga dalam bersukan.
Kau sering membawa Ravi ke rumah. Begitu juga, Ravi sering membawa kau ke rumahnya. Cuma, kau agak kekok untuk memperkenalkan Ravi kepada ibu bapa kau sebagai abang angkat. Tetapi Ravi tidak kisah.
‘Tak perlulah satu dunia tahu,’ komennya secara bersahaja.
Kau juga meminta Ravi agar tidak memperkenalkan kau kepada keluarganya sebagai adik.
‘Tak perlulah heboh-heboh,’ kau kata.
Keluarga kau menyenangi Ravi. Mereka puji sikap dan budi pekertinya. Begitu juga reaksi keluarga Ravi terhadap diri kau. Masing-masing memahami keintiman hubungan kau dan dia.
Keputusan cemerlang yang dicapai dalam STPM membuatkan kau dan Ravi menjadi sanjungan Sekolah Menengah Che’ Wan Thani. Menjadi kebanggaan keluarga masing-masing.
Lalu diraikan dalam satu majlis yang meriah. Majlis makan malam yang turut disertai oleh adik perempuan Ravi.
‘Wow!’ Begitu reaksi pertama kau sewaktu gadis manis itu datang mengucapkan tahniah kepada kau dan Ravi. ‘Siapa tu?’
‘Adik akulah.’
‘Tak pernah aku tengok. Kau sembunyikan di mana?’
‘Ceh! Dia belajar A Level di KL.’
‘Namanya?’
‘Thangamalar. Eh! Yang kau banyak bertanya ni apa hal?’
‘Tak adalah. Saja bertanya.’
Sejak itu, kau mula lebih sering ke rumah Ravi. Tambahan pula, Thangamalar bercuti selama sebulan pada waktu itu.
Maka, selama sebulan itulah juga kau tidak putus-putus ke rumah Ravi sabah hari. – Bersambung ...
(© Uthaya Sankar SB. Bahagian 1 disiarkan di The Malaysian Insider pada 13 Februari 2012. Ikuti Bahagian 2 untuk maklumat lanjut berkaitan kisah ini.)