“Kenapa kita tidak boleh memandang ke arah
bulan sabit di langit, paati?”
Demikian kakak bertanya dengan penuh
hairan. Sebentar tadi, nenek mengingatkan kami supaya berhati-hati dan tidak
melihat ke langit sepanjang hari ini.
Kami yang lain juga ingin tahu sebabnya.
Saya pasti tentu ada alasan mengapa nenek memberikan peringatan itu.
Setahu saya, hari ini adalah hari keempat
bulan Avani mengikut kalendar Tamil.
Bulan di langit tentu masih berbentuk bulan sabit. Pada pertengahan bulan nanti
barulah paurnami, bulan purama.
“Hari ini Vinayagar Chaturthi dan memang kita tidak dibenarkan memandang
bulan sabit di langit,” nenek memberikan jawapan yang sebenarnya tidak menjawab
pertanyaan kakak.
Kami terus berdiri di dapur dengan penuh
harapan bahawa nenek akan meneruskan penceritaan dan menjawab pertanyaan yang
bermain dalam minda kami.
Akan tetapi, nenek sedang sibuk menyiapkan modakam yang akan dihidangkan di hadapan
Dewa Ganesha nanti. Selepas upacara pooja,
bolehlah kami semua makan sepuas-puasnya.
“Paati
akan masukkan juga sedikit modakam ke
dalam bekas tu,” kata nenek tanpa memandang ke arah kami. Sebaliknya mata
beliau memandang ke arah bekas tembaga besar di atas rak. “Nanti bolehlah kamu
makan bersama kawan-kawan.”
Serta-merta saya terasa amat gembira. Tentu
Helmi, Roslan, Peng Soon, Elaine dan rakan-rakan lain berasa seronok. Setiap
kali ada upacara khas di rumah, nenek tidak lupa memasukkan sebahagian juadah
ke dalam bekas itu untuk dimakan bersama-sama kawan-kawan sepermainan.
“Kita mestilah menghormati orang lain.
Mana-mana makanan yang kita hidangkan kepada dewa-dewi, kita sekeluarga boleh
makan. Paati akan sediakan juadah
khas yang boleh kamu semua makan bersama kawan-kawan nanti.”
Demikian nenek akan berpesan kepada kami
adik-beradik. Maka, setiap kali upacara pooja
selesai, kami akan makan sedikit juadah yang diberikan oleh nenek. Kemudian,
kami akan meluru keluar rumah membawa bekas tembaga berisi pelbagai juadah
untuk dinikmati bersama-sama kawan-kawan dari seluruh Siru Kambam.
Namun, pada hari ini, saya dan kakak lebih
berminat untuk mengetahui kisah di sebalik larangan nenek supaya kami tidak
memandang ke arah bulan sabit di langit.
Adik pula pada mulanya berminat untuk turut
mengambil tahu. Akan tetapi, sejurus sahaja selepas itu, dia sudah pergi mencari
datuk untuk bermain.
Sejak semalam, nenek sudah membersihkan
rumah. Emak pula diminta membersihkan bilik pooja
yang menempatkan berhala dan gambar dewa-dewi.
Pada awal pagi tadi, ayah pergi ke pasar
berdekatan Sekolah Rendah Kebangsaan Convent Aulong untuk membeli buah mangga,
pisang dan nangka. Ayah juga membeli beberapa jenis bunga seperti yang dipesan
oleh nenek.
Emak pula melukis kolem yang sangat cantik di hadapan
rumah. Kolem menggunakan tepung beras
juga dilukis di bilik sembahyang. Saya dan kakak turut membantu setakat
termampu.
Kemudian, sambil mulutnya terkumat-kamit
mengulang-ulang seratus lapan nama Dewa Ganesha, nenek mencampurkan sedikit air
ke dalam bekas kecil berisi serbuk cendana. Bahan itu lalu digenggam untuk
membentuk rupa seperti Dewa Ganesha. – Bersambung ...
(Uthaya Sankar SB menulis cereka ini pada 30 Mei 2012 untuk membantu
orang ramai memahami maksud sebenar di sebalik sambutan “Vinayagar Chaturthi”
oleh penganut agama Hindu. © Uthaya Sankar SB. Bahagian pertama disiarkan di The Malaysian Insider pada
23 Julai 2012 manakala bahagian kedua disiarkan pada 30 Julai 2012. Vinayagar Chaturti disambut pada 1 September 2011, 19 September 2012, 9 September 2013. Cereka ini termuat dalam Kisah dari Siru Kambam.) [Lihat - Jaminan Bahan Bacaan Bermutu]