Wednesday, 13 March 2013

Ramayana – Bahagian 1

Sejak kecil, Ganesh dan Dhurga sudah biasa mendengar dongeng, epik, hikayat dan cerita rakyat daripada tradisi lisan India. Nenek sangat rajin bercerita pada setiap malam sambil duduk di anjung rumah.
 
Pasangan adik-beradik berumur 12 dan 10 tahun itu paling gemar mendengar kisah mengenai Rama, Sita, Laksamana, Hanuman dan Ravana. Walaupun banyak kali didengar, mereka tidak pernah jemu.
 
“Paati, ceritakanlah mengenai pengembaraan Rama,” pinta Ganesh kepada nenek pada suatu petang. “Memang seronok mendengar kisah Rama yang mewakili jiwa dan Laksamana yang mewakili minda.”
 
“Ya, paati. Saya juga mahu tahu kisah Ravana yang mewakili keangkuhan dan Sita yang mewakili kebijaksanaan,” Dhurga pula menambah dengan penuh minat.
 
“Kamu berdua sudah biasa mendengar kisah Rama yang muncul dalam epik Ramayana dalam pelbagai versi dan bahasa di seluruh dunia. Belum puas lagi?” Nenek bertanya sambil tersenyum kerana sesungguhnya beliau gembira dengan minat yang ditunjukkan oleh kedua-dua cucu kesayangannya.
 
Epik Ramayana bukanlah suatu teks yang asing di negara Malaysia, khususnya dalam kalangan kaum India. Masyarakat Melayu pula biasa membaca Hikayat Seri Rama yang mengadunkan pengaruh agama Islam bersama-sama unsur agama Hindu daripada versi asal.
 
Walaupun nenek buta huruf, beliau tahu bahawa epik berkenaan terdapat dalam pelbagai bahasa di India dan di seluruh dunia. Versi yang pelbagai juga ditemui di Benua Kecil India sendiri. Datuk pernah memberitahu bahawa terdapat lebih 300 versi Ramayana di serata dunia. Belum lagi mengambil kira kepelbagaian bahasa berikutan terjemahan dan adaptasi setempat.
 
Dalam kalangan penganut agama Buddha, kisah dalam Ramayana dipercayai berlaku di Benares, bukan di Ayodhya. Malah, Rama, Laksamana dan Sita adalah adik-beradik kandung seibu, sebapa. Sita juga tidak menjadi mangsa penculikan sesiapa.
 
Versi agama Jain pula menceritakan bahawa bukan Rama tetapi Laksamana yang berjaya membunuh Ravana. Pada akhir cerita, Rama meninggal dunia dan pergi ke syurga, manakala Laksamana dan Ravana sama-sama pergi ke neraka.
 
Nenek sedar bahawa kedua-dua cucunya masih terlalu muda untuk didedahkan kepada pelbagai versi Ramayana yang boleh pula dikaji dan diinterpretasi dari pelbagai sudut.
 
Pada masa sama, nenek sendiri sudah mendengar pelbagai versi Ramayana dan kisah yang segar dalam ingatan adalah gabungan beberapa versi yang didengar sejak kecil.
 
Maka, sebagaimana dilakukan penglibur lara pada masa silam, nenek memilih untuk mencampur-adukkan beberapa versi berdasarkan daya ingatan dan kreativiti. Apa yang penting adalah bahawa kisah yang disampaikan serta gaya penyampaian mampu menarik minat generasi muda seperti kedua-dua cucunya. Boleh juga diselitkan sedikit pengajaran dan kritikan halus mengikut kesesuaian.
 
“Kalau kamu berdua mahu tahu kisah Ramayana, paati tidak akan memulakan dengan kisah Rama, Laksamana dan Sita masuk ke hutan,” kata nenek sejurus kemudian.
 
“Lalu, paati mahu mulakan di mana?”
 
Ganesh sedang duduk bersandar pada bahu kiri nenek manakala adiknya berbaring pada riba wanita itu.
 
“Paati akan mulakan dengan kisah sebelum kelahiran Rama dan Laksamana.”
 
Ganesh dan Dhurga bertepuk riang. Mereka semakin berminat untuk mendengar epik yang bakal dianyam dan disajikan oleh nenek dengan penuh gaya. Demikian antara keistimewaan yang dimiliki nenek. Setiap kali beliau bercerita, pasti ada sesuatu yang berbeza. Pasti ada sesuatu yang menarik dan mampu mencengkam minat pendengar.
 
“Bandar raya Ayodhya terletak di tebing Sungai Saryu dan diasaskan oleh Ikshavaku, iaitu anak sulung Manu,” nenek memulakan cerita; sekali gus membawa kanak-kanak berumur 12 dan 10 tahun itu mengembara ke alam penuh keajaiban. – Bersambung minggu depan [KLIK DI SINI]
 
[Uthaya Sankar SB gemar mengkaji teks klasik India dalam pelbagai versi dan bahasa yang terdapat di seluruh dunia. Beliau juga kolumnis The Malaysian Insider sejak Julai 2009. Teks ini ditulis pada 2 Januari 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 6 Januari 2013. © Teks Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca kisah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.] [Baca juga - Hanuman: Suara Hati]