Tuesday, 26 February 2013

Pemerintahan Sri Rama

[Pengalaman menonton filem ini boleh membantu khalayak memikirkan pelbagai persoalan di dalam dan di luar teks Ramayana.]
 
Catatan ini bukan ulasan filem tetapi lebih berupa perkara-perkara yang bermain dalam minda saya semasa saya menonton filem Sri Rama Rajyam (2011) versi Bahasa Tamil baru-baru ini.
 
Filem mitologi yang mengangkat bahagian terakhir dalam teks Ramayana – iaitu “Uttara Kandam” yang ada dalam versi Valmiki tetapi tiada dalam versi Kambar – diarahkan oleh Bapu dan muzik oleh Ilayaraja.
 
Sebelum ini, ada beberapa rakan yang memberitahu saya bahawa filem Telugu berkenaan – yang turut dialih ke Bahasa Tamil dan Malayalam – membawa kelainan pada kisah Rama dan Sita. Bagaimanapun, apabila saya menontonnya, saya mendapati bahawa Sri Rama Rajyam adalah pembikinan semula filem Telugu berjudul Lava Kusa (1963) yang turut dialih ke Bahasa Tamil dan Kannada.
 
Dalam Lava Kusa, watak Rama dilakonkan oleh Nandamuri Taraka Rama Rao (NTR) yang sering memegang watak Rama dan Krishna dalam filem-filem Telegu tahun 1950-an. Beliau juga pengarah dan penerbit filem terkenal serta menjadi Ketua Menteri Andra Pradesh selama tiga penggal.
 
Watak Rama dalam filem Sri Rama Rajyam pula dilakonkan oleh Nandamuri Balakrishna (lahir 10 Jun 1960) iaitu anak kepada NTR. Maka, bolehlah dibayangkan sendiri apabila seorang individu berumur lebih 50 tahun memegang watak Rama yang sering dikaitkan dengan segala kehebatan dan fizikal yang mantap.
 
Nayantara – atau nama sebenarnya Diana Mariam Kurian – yang terkenal dalam industri filem Malayalam, Tamil, Telugu dan Kannada pula tampil dengan watak berbeza sebagai Sita. Bagi penonton yang pernah melihatnya dalam Manassinakkare (2003), Ayya (2005), Ghajini (2005), Chandramukhi (2005), Billa (2007) dan sebagainya, perlu bersedia untuk melihat sisi lain bakat lakonannya. [Baca topik berkaitan]
 
Kita sudah biasa melihat wajah dan tubuh Rama dan Krishna berwarna biru. Bagaimanapun, sekiranya difikirkan dan diteliti dalam teks-teks klasik dan lagu-lagu puisi zaman Sangam, warna sebenar kulit mereka adalah hitam; seindah warna bulu burung gagak.
 
Dalam filem Sri Rama Rajyam, suara watak Rama meminjam suara S.P. Balasubramaniam yang turut menyanyikan beberapa lagu dalam filem ini. Suara Sita juga ternyata menggunakan suara seseorang yang sering digunakan oleh kebanyakan pelakon filem Tamil; tetapi saya tidak dapat segera mengingat namanya.
 
Isteri pemerintah dibenci rakyat
 
Dalam filem ini, ditampilkan kisah yang bermula sebaik sahaja Rama, Sita dan Laksamana pulang ke Ayodhya dari Lanka. Pada masa sama, di sebuah asrama di dalam hutan, Maharishyi Valmiki baru sahaja selesai mengarang kisah perjalanan Rama; Rama Ayana.
 
Ternyata teks Ramayana yang dikarang itu – seperti ditunjukkan dalam versi filem ini – adalah versi “tanpa izin” (unauthorized) kerana dikarang tanpa pengetahuan dan izin Rama. Teks itulah yang dijadikan semacam “dharma sastra” dan digunakan oleh Valmiki untuk mengajar anak-anak buahnya mengenai etika, nilai dan moral kehidupan.
 
Agak menarik apabila Rama memilih untuk berpisah dengan Sita melalui cara menghantar isterinya yang sedang mengandung ke dalam hutan. Tindakan itu adalah berikutan desas-desus penduduk (rakyat) yang menganggap Sita tidak suci kerana tinggal selama setahun bersama Ravana di istananya di Lanka.
 
Walaupun saya sudah banyak kali membaca kisah ini, namun pengalaman menonton Sri Rama Rajyam segera mengingatkan saya pada isu semasa di mana ada penduduk (rakyat) yang secara terang-terangan meluahkan rasa benci dan menyampah terhadap isteri seorang tokoh politik.
 
Malah, sewaktu ditabalkan sebagai pemerintah – bukan sebagai menteri, presiden atau perdana menteri – watak Rama berjanji bahawa kebajikan rakyat/penduduk adalah lebih penting daripada diri dan keluarga. Betapa Rama tidak mengamalkan kronisme!
 
Bagaimanapun, ternyata Rama adalah seorang pemerintah/individu yang teramat lemah. Walaupun kulitnya biru dan bibirnya merah, penampilan dirinya – dalam filem ini – sangat tidak berwibawa. Rama hanya pandai berkasih dengan isteri; dan kemudian menangis tanpa hujung pangkal. Hairan juga bagaimana penduduk Ayodhya boleh hidup di bawah pemerintahan seorang pemimpin seperti itu yang tiada jati diri, identiti, kaliber dan tanggungjawab.
 
Watak Hanuman yang dilakonkan oleh Vindu Dara Singh pula menarik untuk dikaji. Dalam bahagian “Uttara Kandam” teks Ramayana, watak Hanuman hilang begitu sahaja. Dalam filem Sri Rama Rajyam pula, Hanuman menyamar sebagai seorang kanak-kanak bernama Balaraju (lakonan Pavan Sriram) dan tinggal bersama-sama Sita di asrama milik Valmiki.
 
Di asrama itu, Rama dijadikan berhala dan dipuja. Agak menghairankan kerana Rama masih hidup pada masa itu dan merupakan manusia biasa; seorang raja. Malah, ternyata Rama sendiri tidak tahu-menahu bahawa dia menjadi objek pujaan penduduk asrama berkenaan; mungkin kerana Rama terlalu sibuk menangisi perpisahan dengan Sita yang dihantarnya ke hutan dan disangka sudah mati.
 
Kisah Sita tidak diperkatakan orang
 
Sita pula ditakdirkan hidup di asrama Valmiki dan identiti dirinya disembunyikan. Penduduk asrama itu yang memuja Rama dalam bentuk berhala ternyata tidak tahu-menahu akan rupa Sita! Maka, mudahlah untuk Sita menyamar.
 
Di asrama itulah Sita melahirkan pasangan kembar Lava dan Kusa (lakonan Nagaraju dan Subrahmanyam dalam versi 1963 serta Gaurav dan Dhanush Kumar dalam versi 2011). Mereka membesar dengan memuja berhala Rama serta menghafaz teks/lagu Ramayana yang diajar oleh Valmiki. Penduduk asrama itu ternyata terus terpisah daripada dunia luar dan masih tidak tahu akan kisah Sita yang sudah dihalau dari Ayodhya.
 
Pada suatu hari, Lava dan Kusa ke Ayodhya untuk menyanyikan lagu berdasarkan teks Ramayana. Penghuni istana mengundang pasangan itu datang kerana terpesona mendengar kehebatan kanak-kanak berkenaan menyanyi – dan menari – kisah Rama dan Sita.
 
Ternyata, walaupun Lava dan Kusa membuat banyak persembahan umum di tempat-tempat awam di Ayodhya, tidak seorang pun daripada ribuan penonton/pendengar/peminat yang datang memberitahu kisah terkini mengenai Rama dan Sita. Mungkin penduduk Ayodhya tidak mahu bercerita lagi tentang Sita yang “berjaya” disingkirkan.
 
Akhirnya, setelah membuat persembahan khas di istana dan berpeluang bertemu Rama, barulah Lava dan Kusa mendapat tahu bahawa Sita sudah dihalau dari istana. Maka, pandangan dan tanggapan mereka terhadap Rama yang selama ini dipuja bagai dewa terus berubah.
 
Saya sering mengangkat kisah-kisah daripada pelbagai versi Ramayana di seluruh dunia dalam penulisan cerpen. Saya turut menggunakan watak-watak seperti Rama, Ravana, Hanuman dan Sita untuk melakukan kritikan terhadap isu-isu semasa menerusi faksyen dan fiksyen.
 
Maka tentulah fikiran saya tidak diam sepanjang menonton filem Sri Rama Rajyam. Filem ini juga menang pelbagai anugerah di India; antaranya filem terbaik, pelakon wanita terbaik, pengarah muzik terbaik dan solekan terbaik dalam Nandi Awards 2011 serta pelakon wanita terbaik, penyanyi latar terbaik dan penulis lirik terbaik dalam 59th Filmfare Awards South.
 
Mungkin peluang menonton filem ini akan turut membantu orang ramai di Malaysia berfikir di luar lingkungan berhubung pelbagai kisah yang berlaku di negara ini; khususnya dalam soal pemerintahan negara dan isteri politikus yang dibenci.
 
[Makalah ini ditulis pada 6 Disember 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 10 Disember 2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!