Tuesday, 3 August 2010

Filem Tamil vs Drama Tamil

Peminat filem Tamil (dari Tamil Nadu, India) tentu mengakui bahawa industri itu tidak pernah kekurangan “stok” pelakon wanita. Hampir setiap bulan, ada muka baru yang muncul untuk mendedahkan tubuhnya di hadapan kamera.
.
Pelakon wanita berbakat seperti Shalini dan Jyothika nampaknya sudah “bersara” selepas berkahwin. Tidak mengapa; sekurang-kurangnya mereka tidak pernah – setahu saya – memperdagangkan tubuh sepanjang muncul di layar perak.
.
Pandangan umum saya mengenai watak/pelakon wanita dalam filem boleh DIBACA DI SINI manakala berikut pula perbezaan ketara yang saya perhatikan mengenai watak/pelakon wanita dalam drama Tamil berbanding filem Tamil.
.
Radhika, Revathi dan Suhashini antara pelakon veteran yang kini sudah “hilang” daripada dunia filem Tamil penuh glamour. Bagaimanapun, tidak menjadi masalah kerana mereka “meninggalkan” filem Tamil dengan rekod bersih; tanpa akur pada “permintaan” mendedahkan 96.5 peratus tubuh di hadapan kamera.
.
Malah, sebenarnya mereka kini terus membina empayar kukuh dalam penerbitan filem Tamil serta menerusi drama bersiri Tamil. Radhika yang muncul menerusi filem sulung Kizakke Pogum Rayil (1978) mula menguasai skrin televisyen menerusi Chitti (488 episod) sebelum meneruskan dengan Annamalai (757 episod), Selvi (499 episod), Arasi dan Chellamei.
.
Salah seorang rakan baiknya, Suhashini, sebenarnya membantu menaikkan “imej” (penampilan) Radhika menerusi filem Keladi Kanmani (1990) dengan menjadi jurusolek dan pendandan rambutnya.
.
Suhashini yang muncul menerusi filem Nenjeitei Killathe (1980) menulis lakon layar dan mengarah filem Indira (1995) serta masih memegang peranan kecil dalam filem Tamil, Malayalam, Kannada dan Telegu. Beliau bersama suaminya, Mani Ratnam, dan G Srinivasan menguruskan Madras Talkies iaitu syarikat penerbitan dan pengedaran filem dan drama televisyen yang sangat berjaya.
.
Revathi (Asha Kelunni Kutty) muncul bersama Pandian menerusi filem Mann Vasanai (1982) serta mencipta nama dalam industri filem Tamil, Malayalam, Telegu, Hindi dan Kannada; serta mengarah beberapa filem, bermula dengan Mitr, My Friend (2002) yang menampilkan seorang lagi artis yang saya kagumi, Shobana.
.
Tidak lupa juga Saritha yang muncul menerusi filem Telegu, Maro Charithra (1978) dan sering membawakan watak-watak mencabar serta kontroversi (tetapi bukan dengan menanggalkan pakaian di hadapan kamera!) seperti Netri Kann (1981), Julie Ganapathi (2003). Saritha juga muncul dalam drama bersiri Selvi bersama Radhika.
..
Secara perbandingan amat mudah, filem Tamil sering memberi keutamaan kepada watak/pelakon lelaki. Memang ada beberapa filem yang mengangkat watak dan perwatakan wanita – seperti pernah dilakonkan Radhika, Revathi, Saritha, Suhashini dan Shobana – tetapi filem-filem kini terbukti hanya melihat watak/pelakon wanita sebagai objek seks untuk melariskan filem.
.
Apa yang menghairankan, industri filem Tamil tidak kekurangan stok pelakon yang sanggup menanggalkan 96.5 peratus pakaian untuk muncul bergandingan dengan hero yang menjadi kegilaan ramai.
.
Ramai juga yang bertanya mengapa golongan wanita ketagih menonton drama bersiri di televisyen. Saya rasa, jawapannya amat mudah. Memanglah drama bersiri Tamil amat ketara menampilkan watak wanita yang suka bergaduh, menimbulkan masalah dalam keluarga, pendendam, tertindas, menindas, mengawal suami dan entah apa lagi.
.
Akan tetapi, sekurang-kurangnya watak-watak utama (wanita) dalam drama bersiri Tamil di televisyen tidak menampilkan imej wanita yang rela mendedahkan 96.5 peratus tubuh untuk mendapat tempat di hati penonton.
.
Mungkinkah sudah ada perjanjian tidak rasmi dalam industri filem/drama di Tamil Nadu: filem Tamil disasarkan kepada penonton lelaki (atau sesiapa yang hanya mahukan hiburan dan sedikit unsur pornografi ringan) dan drama bersiri disasarkan kepada penonton wanita (atau sesiapa yang sudah muak melihat wanita dieksploitasi secara seksual dan visual dalam filem Tamil)? [BACA JUGA]

1 comment:

  1. gokulabalen:

    Saudra uthaya saya berasa angota Badan Sensor bahagian tamil sedang tidur. Hal ini menyebabkan penularan adegan-adegan porno, samseng serta perilaku yang tidak bermoral terus menjadi-jadi sehingga ia membelengu kehidupan harian bangsa india.

    Mungkin ada orang menyoal kenapa tidak gunakan akal untuk berfikir secar rasional untuk membezakan baik dan buruk.

    Disini saya ingin menyoal balik mereka:

    adakah anda sanggup berkeiliaran secara berbogel walupun anda memahami sains (struktur badan seorang lelaki serta struktur badan seorang perempuan)secara keseluruhanya?

    Bagi mereka yang waras akan terus menjawab "TIDAK" kenapa? apa yang menyebabkan anda untuk menjawab sedemikian?

    walaupun kita sedar adegan-adegan yang ditunjukkan masih wujud dikalangan bangsa kita, ia tidak bermakna terus menonjolkan perkara yang tidak senonoh dilayar perak sehingga ia mencemarkan akal fikiran genrasi muda yang masih belum matang lagi.

    Bukan semua kelaurga dalam kelompok masyrakat india mempunyai tahap pemikiran kelas pertama atau matang. Hal ini kerana, ,kehidupan daif, tiada perancangan hidup serta terdedah kepada unsur-unsur negatif dari filem india yang jauh beza dengan gaya hidup serta amalan budaya masyarakat disini.

    mungkin rasuah satu faktor yang membenarkan penularan pencemaran minda
    sekiranya saya diberi peluang untuk mengetuai Badan Sensor sudah pasti 95% tayangan gambar dari India akan dihantar balik ke India

    ReplyDelete

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!