12 Aug 2011

Pelakon Kanak-kanak

Saya dan keluarga berpeluang menonton filem Tamil Deiva Thirumagal (‘Holy Child of God’) baru-baru ini. Seperti diharapkan, Vikram berjaya memberikan lakonan mantap dengan membawakan watak dan perwatakan berbeza daripada filem-filemnya sebelum ini.

Selain daripada watak Krisha lakonan Vikram, watak lain yang hangat diperkatakan adalah Nila lakonan “Baby Sarah”, kanak-kanak berumur 5 tahun. (Gelaran “Baby” selalu diberi pada nama pelakon kanak-kanak perempuan dalam industri filem India.)

Nizha Periaswamy, seorang wartawan yang berpeluang mewawancara Vikram dan Baby Sarah baru-baru ini mengakui bahawa kanak-kanak itu sangat comel, petah berkata-kata, cepat mesra dan mempunyai bakat semula jadi sebagai pelakon.

Apabila menyaksikan bakat Baby Sarah dalam filem Deiva Thirumagal yang diarah oleh A. L. Vijay dan diterbitkan oleh Mohan Natarajan, saya terus teringat akan seorang lagi pelakon kanak-kanak yang mula menonjol sejak berumur 4 tahun.

Seingat saya, saya mengenali “Baby Shalini” melalui penampilannya sebagai kanak-kanak nakal bernama Amloo dalam drama bersiri Tamil Amloo di televisyen pada akhir tahun 1980-an. Pada waktu itu, Baby Shalini juga sudah menjadi sebutan ramai berikutan bakat lakonannya yang cukup hebat.

Pada tahun 1990-an, saya melihat Shalini yang sudah remaja dalam filem Tamil Kaadhal Devathai yang sebenarnya merupakan versi alih suara daripada filem Telegu Jagadeka Veerudu Athiloka Sundari (1990) lakonan Sri Devi dan Chiranjeevi. Filem Telegu itu turut dialih suara ke Hindi sebagai Aadmi Aur Apsara dan Malayalam sebagai Hai Sundhari.

Wajar dinyatakan bahawa filem Jagadeka Veerudu Athiloka Sundari menggandingkan Shalini bersama adiknya, Baby Shamili yang kemudian “menggemparkan” dunia pada tahun 1990 melalui pembawaan watak kanak-kanak terencat akal dalam filem Anjali arahan Mani Ratnam.

Shalini lahir di Chennai, Tamil Nadu, India pada tahun 1979. Pelakon keturunan Malayalam ini fasih Bahasa Tamil dan penguasaan bahasa ini amat nyata dalam filem-filem Malayalam dan Tamil lakonannya.

Shalini muncul sebagai pelakon kanak-kanak dan dikreditkan sebagai “Baby Shalini” dalam 80 filem Tamil, Malayalam dan Telegu bagi tempoh 1983-1990.

Bagi tempoh 1997-2001 pula, Shalini muncul sebagai pelakon wanita utama dalam 12 filem Tamil dan Malayalam – tanpa perlu mendedahkan tubuh seperti “terpaksa” dilakukan kebanyakan pelakon lain dalam industri filem di India.

Filem pertama lakonannya adalah filem Malayalam arahan Fazil, Ente Mamattikkuttiyammakku, pada tahun 1983. Filem itu kemudian dibuat semula dalam versi Tamil dengan judul En Bommukutty Ammavuku pada tahun 1988; sekali gus membuatkan peminat filem Tamil di Malaysia turut mengenali Baby Shalini.

Shalini “menghilangkan diri” selepas filem Telegu Jagadeka Veerudu Athiloka Sundari (1990) dan muncul kembali sebagai pelakon wanita utama dalam filem Malayalam arahan Fazil, Aniyathi Pravu (1997).

Kemunculan semula Shalini disedari oleh peminat filem Tamil di Malaysia apabila filem Malayalam Aniyathi Pravu dibuat semula dalam versi Tamil, Kadhalakku Mariyadhai (1997). Filem berkenaan turut dibuat dalam versi Hindi, Doli Saja Ke Rakhna (1998) di mana Jyothika memegang peranan pelakon wanita utama.

Dalam filem Amarkalam (2000), Shalini turut menyanyikan lagu “Sonthakuralil Paada” menggunakan suara sendiri; sebagaimana disarankan lirik lagu itu sendiri!

Shalini berganding dengan Ajith Kumar dalam filem itu. Mereka akhirnya berkahwin pada tahun 2000 dan Shalini mengumumkan akan meninggalkan dunia perfileman.

Saya secara peribadi amat kecewa mendengar pengumuman itu kerana tidak ramai pelakon wanita berbakat semula jadi yang mampu mencipta nama tanpa perlu mendedahkan tubuh dalam industri filem di India.

Filem Alaipayuthey (2000) dikatakan filem terakhir lakonan Shalini. Bagaimanapun, filem Kannukul Nilavu terbit selepas itu. Shalini juga masih “berhutang” dengan Kamal yang mengarah filem Malayalam Niram (1999) kerana mengikut perjanjian, filem berkenaan akan turut dibuat semula dalam versi Tamil.

Maka, filem Tamil Piriyadha Varam Veendum (2001) adalah filem terakhir lakonan Shalini.

Sementara itu, adiknya, Shamili yang lahir pada 1987 berjaya menyentuh emosi orang ramai menerusi penampilannya sebagai bayi terencat akal dalam filem Anjali (1990). Pada usia 3 tahun, Baby Shamili menerima Anugerah Filem Nasional (Pelakon Kanak-kanak Terbaik).

Pada tahun 1992, dia melakonkan watak kanak-kanak yang terperangkap di dalam sebuah lubang menerusi filem Malayalam Malootty dan berjaya merangkul Anugerah Filem Kerala (Pelakon Kanak-kanak Terbaik).

Shamili juga muncul sebagai pelakon remaja dalam filem Malayalam Harikrishnans (1998) selain tampil dalam beberapa filem Kannada pada tahun 1990-an.

Dia juga memegang watak Kamala dalam filem Tamil Kandukondain Kandukondain (2000) sebelum muncul sebagai pelakon wanita utama menerusi filem Telegu Oy! (2009), sekali gus menang Anugerah CineMAA (Pelakon Baru Terbaik).

Berbalik kepada Baby Sarah pula, dia mula muncul dalam iklan televisyen semasa berumur satu setengah tahun. Filem sulungnya adalah filem Hindi 404 Error Not Found (2011), sebuah thriller psikologi.

Bapanya, Raj Arjun, seorang pelakon manakala ibunya, Sanya, seorang guru tari. Baby Sarah khabarnya baru sahaja selesai penggambaran filem Tomorrow bersama bapanya.

Baby Sarah mula berlakon filem pada usia 5 tahun, Shalini pada usia 4 tahun dan Shamili pada usia 3 tahun. Perlu diingat bahawa berlakon adalah suatu kerjaya dan industri besar di India. Maka, ramai yang dilatih dan diasuh sejak kecil untuk menjadi pelakon.

Biasanya, ibu bapa yang terlibat dalam industri perfileman akan mengasuh anak-anak mereka untuk turut terlibat sejak usia muda. Hal ini dapat diperhatikan sekiranya kita mengikuti dan meneliti perkembangan industri filem India.

Pasangan Ajith-Shalini dikurniakan seorang anak perempuan pada awal tahun 2008. Mungkinkah Baby Anoushka yang kini berumur 3 tahun bakal mengulangi kehebatan Baby Shalini di layar perak?

Bagaimanapun, nampaknya tidak ada apa-apa berita mengenai penglibatan Baby Anoushka dalam dunia lakonan; sebagaimana tiada berita (yang saya nanti-nantikan) mengenai kemunculan semula Shalini untuk menaikkan “maruah” pelakon wanita dalam filem-filem Tamil. [BACA JUGA - Kisah Nayantara]

(Disiarkan di The Malaysian Insider pada 8 Ogos 2011)