13 Aug 2011

Akhbar Bisnes Bahasa Malaysia

Bahasa Malaysia yang diangkat dan diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia sudah terbukti bukan milik per se kaum tertentu. Begitulah juga, sebuah akhbar Bahasa Malaysia tidak semestinya dikuasai dan dimiliki kaum tertentu.

Pada masa sama, sebuah akhbar/majalah Bahasa Malaysia tidak semestinya mewakili suara kaum tertentu; khususnya apabila masyarakat pelbagai kaum diharap membaca akhbar/majalah berkenaan.


Saya sering ditanya mengapa tidak ada akhbar Bahasa Malaysia yang diusahakan kaum India kerana akhbar seumpama itu mampu mengutarakan persoalan dalam kalangan kaum India di negara ini menggunakan bahasa kebangsaan yang difahami semua rakyat.


Cadangan itu tidak harus dilihat sebagai bersifat perkauman kerana walaupun mengetengahkan isu-isu berhubung kaum India, akhbar/majalah seperti itu sebenarnya memainkan peranan penting ke arah membantu pelbagai pihak mengenali kaum India menerusi laporan komprehensif menggunakan bahasa kebangsaan.


Secara kebetulan, pada 30 Julai 2011, di hadapan kira-kira 4,000 perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung MIC ke-65 di Putrajaya, Perdana Menteri dilaporkan mengumumkan pelantikan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.


“Kita kembali ketika pemerintahan Tun Abdul Razak yang pada ketika itu terdapat dua menteri daripada kalangan kaum India,” kata Datuk Seri Najib Tun Razak, seperti dilaporkan di akhbar-akhbar arus perdana.


Maka, sebuah akhbar Bahasa Malaysia yang memberi keutamaan terhadap laporan sebenar (ulang: sebenar) mengenai kaum India pasti turut membantu “dua menteri daripada kalangan kaum India” untuk mengemukakan permasalahan dan suara hati kaum India secara lebih mudah kepada kerajaan dan Kabinet.


Secara kebetulan juga, pada 29 Julai, saya berada di Ipoh untuk mengadakan pertemuan dengan Vicnesh Perumal, Pengerusi Pertubuhan Peniaga Muda India Perak merangkap pengarah urusan VGP Resources mengenai penerbitan sebuah akhbar Bahasa Malaysia yang mengkhusus kepada berita, laporan dan kupasan isu dunia perniagaan dan perusahaan.


Akhbar ‘Perak Biz Zoom’ tidak memfokus kepada isu kaum India tetapi amat istimewa kerana diusahakan oleh sebuah pertubuhan yang mewakili kaum India. Sekali gus membuktikan bahawa ‘kaum India’ (tidak semestinya menteri) boleh mewakili semua kaum dengan semangat Bangsa Malaysia.


“Buat permulaan, akhbar bulanan ini akan menumpukan kepada berita-berita berkaitan perniagaan, perusahaan dan industri di Perak, Pulau Pinang dan Lembah Klang,” kata pemuda berumur 26 tahun itu dalam pertemuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan untuk membincangkan hala tuju akhbar berkenaan.


Vicnesh pertama kali memberitahu saya mengenai ‘Perak Biz Zoom’ semasa kami bertemu di Karnival Sains Untuk Kanak-kanak di Ipoh pada 22 Mei lalu.


Serta-merta saya tertarik dengan idea, semangat dan kegigihan yang ditunjukkan olehnya; apatah lagi memandangkan saya secara peribadi dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) melihat Bahasa Malaysia sebagai milik bersama dalam segala aspek kehidupan.


Akhbar berkenaan yang dijadualkan terbit mulai September ini pasti menjadi satu lagi mercu tanda penting ke arah memperkasa Bahasa Malaysia serta membuktikan bahawa bahasa kebangsaan ini tetap boleh digunakan untuk menulis dan menyebar-luaskan berita berhubung perniagaan, perindustrian, perusahaan dan ekonomi.


Saya juga sempat berbual dengan Priya Vivek, seorang usahawan wanita, yang juga merupakan penerbit eksekutif bagi akhbar yang dimaksudkan.


Katanya, kelahiran sebuah akhbar seperti ini memang telah dinantikannya sejak dahulu. Maka, sebaik dipelawa Vicnesh selaku ketua penerbitan, dia segera menerima tawaran itu.


“Saya ada pengalaman dalam bidang ini dan amat yakin bahawa usaha yang dimulakan dengan semangat tinggi dan niat positif ini akan mendapat kejayaan,” katanya.


Tentu sahaja ‘Perak Biz Zoom’ tidak berniat menandingi atau menyaingi mana-mana akhbar/majalah dalam kategori sama. Sebaliknya, akhbar bulanan ini bertujuan menambah peluang liputan dan penyiaran berita-berita bisnes untuk masyarakat umum.


Hal ini amat menarik kerana kebanyakan akhbar/majalah dalam kategori itu di Malaysia biasanya menggunakan Bahasa Inggeris dan/atau Bahasa Mandarin.


Manakala kandungannya pula biasanya lebih disasarkan kepada golongan ahli perniagaan dan korporat. Sekali gus, sedikit sukar difahami oleh masyarakat umum yang mahu turut mengetahui berita perkembangan ekonomi, perniagaan, industri, teknologi, hartanah dan kewangan.


Rata-rata akhbar harian – sama ada edisi bercetak mahupun versi dalam talian – memang mempunyai ruangan berita bisnes tetapi kehadiran sebuah ahbar yang sepenuhnya memuatkan berita bisnes dalam Bahasa Malaysia yang mudah difahami masyarakat umum sesungguhnya dialu-alukan.


Vicnesh dan Priya mengakui bahawa akhbar yang sedang dirancang itu pasti menghadapi pelbagai cabaran; misalnya persaingan daripada akhbar/majalah sedia ada.


Saya tertarik apabila mereka berdua mengatakan bahawa segala cabaran dan persaingan itu akan diambil secara positif ke arah menyajikan kandungan dan berita terbaik kepada masyarakat.


Bagi masyarakat pula, tentu sahaja mereka berhak untuk berasa was-was terhadap sebuah akhbar baru dalam pasaran: sama ada ia mampu bertahan atau hilang begitu sahaja selepas terbit tiga kali.


“Kami sedia maklum akan segala cabaran yang perlu dihadapi tetapi kami mahu bersikap terbuka. Malah, kami percaya bahawa masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang akan memberi kami peluang untuk membuktikan kemampuan sebenar kami dalam menerbitkan sebuah akhbar bisnes yang sepenuhnya menggunakan Bahasa Malaysia,” kata Vicnesh dengan penuh yakin.


Selain daripada penggunaan Bahasa Malaysia dan gaya penulisan yang boleh difahami masyarakat umum, ada beberapa lagi aspek yang menarik perhatian saya terhadap akhbar ini.


Salah satu daripadanya adalah peluang untuk golongan belia terlibat sama dalam penerbitan sebuah akhbar yang diusahakan generasi muda. Pasti ada suntikan semangat baru yang diharapkan daripada mereka.


Penglibatan individu pelbagai kaum dalam penerbitan akhbar ini – pada peringkat pengurusan, editorial, kewartawanan, percetakan dan sebagainya – selaras usaha memupuk persefahaman, kerjasama dan profesionalisme dalam kalangan masyarakat tanpa dipengaruhi sentimen perkauman dan peluang istimewa.


Satu lagi aspek penting – dan paling utama – yang dijanjikan oleh Vicnesh adalah bahawa akhbar ‘Perak Biz Zoom’ tidak akan dipengaruhi politik. Sebaliknya ia sebuah akhbar bisnes per se.


Dalam pada itu, saya yakin bahawa kelahiran akhbar seperti ini juga akan memberi ruang dan peluang kepada penyiaran berita berkaitan pengusaha dan peniaga daripada golongan ‘Rakyat Jelata’ yang tidak ada gelaran ‘Datuk’ dan/atau tidak ada sebarang pertalian dengan pemimpin parti-parti politik.


(Disiarkan di The Malaysian Insider pada 1 Ogos 2011)