10 Feb 2010

Baby Shalini

Seingat saya, saya mengenali “Baby Shalini” melalui penampilannya sebagai kanak-kanak nakal bernama Amloo dalam drama bersiri Tamil Amloo pada akhir tahun 1980-an. Pada waktu itu, Baby Shalini juga sudah menjadi sebutan ramai berikutan bakat lakonannya yang cukup hebat.
.
Pada tahun 1990-an, saya melihat Shalini yang sudah remaja dalam filem Tamil Kaadhal Devathai yang sebenarnya merupakan versi alih suara daripada filem Telegu Jagadeka Veerudu Athiloka Sundari (1990) lakonan Sri Devi dan Chiranjeevi. Filem Telegu itu turut dialih suara ke Hindi sebagai Aadmi Aur Apsara dan Malayalam sebagai Hai Sundhari.
.
Wajar dinyatakan bahawa filem Jagadeka Veerudu Athiloka Sundari menggandingkan Shalini bersama adiknya, Baby Shamili yang kemudian “menggemparkan” dunia melalui pembawaan watak kanak-kanak terencat akal dalam filem Anjali arahan Mani Ratnam.
.
Shalini lahir di Chennai, Tamil Nadu, India pada tahun 1979. Pelakon keturunan Malayalam ini fasih Bahasa Tamil dan hal ini amat nyata dalam filem-filem Malayalam dan Tamil lakonannya.
.
Shalini muncul sebagai pelakon kanak-kanak (“Baby Shalini”) dalam 80 filem Tamil, Malayalam dan Telegu bagi tempoh 1983-1990. Bagi tempoh 1997-2001 pula, Shalini muncul sebagai pelakon wanita utama dalam 12 filem Tamil dan Malayalam – tanpa perlu mendedahkan tubuh!
.
Filem pertama lakonannya adalah filem Malayalam arahan Fazil, Ente Mamattikkuttiyammakku, pada tahun 1983. Filem itu kemudian dibuat semula dalam versi Tamil dengan judul En Bommukutty Ammavuku pada tahun 1988; sekaligus membuatkan peminat filem Tamil di Malaysia turut mengenali Baby Shalini.
.
Shalini “menghilangkan diri” selepas filem Telegu Jagadeka Veerudu Athiloka Sundari (1990) dan muncul kembali sebagai pelakon utama (heroin) dalam filem Malayalam arahan Fazil, Aniyathi Pravu (1997).
.
Kemunculan semula Shalini disedari oleh peminat filem Tamil di Malaysia apabila filem Malayalam Aniyathi Pravu dibuat semula dalam versi Tamil, Kadhalakku Mariyadhai (1997). Filem berkenaan turut dibuat dalam versi Hindi, Doli Saja Ke Rakhna (1998) di mana Jyothika memegang peranan pelakon utama.
.
Dalam filem Amarkalam (2000), Shalini turut menyanyikan lagu “Sonthakuralil Paada” menggunakan suara sendiri; sebagaimana disarankan lirik lagu itu sendiri!
.
Shalini berganding dengan Ajith Kumar dalam filem itu. Mereka akhirnya berkahwin pada tahun 2000 dan Shalini mengumumkan akan meninggalkan dunia perfileman.
.
Filem Alaipayuthey (2000) dikatakan filem terakhir lakonan Shalini. Bagaimanapun, filem Kannukul Nilavu terbit selepas itu. Shalini juga masih “berhutang” dengan Kamal yang mengarah filem Malayalam Niram (1999) kerana mengikut perjanjian, filem berkenaan akan turut dibuat semula dalam versi Tamil. Maka, filem Tamil Piriyadha Varam Veendum (2001) adalah filem terakhir lakonan Shalini.
.

Pasangan Ajith-Shalini dikurniakan seorang anak perempuan pada awal tahun 2008. Mungkinkah Baby Anoushka bakal mengulangi kehebatan Baby Shalini di layar perak? [BACA JUGA - Tiga Lagi Filem Tamil] [Baca juga - Kisah Nayantara]