[Bahagian pertama
novel bersiri yang memaparkan kisah Ramayana dari sudut pengalaman Hanuman.]
Hanuman. Akulah kera putih itu. Akulah yang
mempunyai keupayaan membesar sebesar alam dan mengecil sekecil kuman.
Akulah kera putih yang dianugerahkan Tuhan
keupayaan menjelma dalam mimpi orang yang aku sayang. Akulah Hanuman, kera
bermata hijau yang boleh terbang membelah langit; bernafas di dalam air.
Maha Agung Tuhan yang mengurniai kera kecil
ini dengan sekian banyak keajaiban.
Akulah Hanuman yang keputihan bulunya
melambangkan kesucian hati; kehijauan matanya menggambarkan pandangan kasih.
Akulah yang diutuskan Brahma untuk membantu
Rama membunuh Ravana. Akulah yang dikatakan pengikut setia Rama. Rama yang
perkasa, yang wira, yang berketrampilan, yang membunuh Ravana.
Itu semua orang tahu. Tapi aku bukan
sekadar pengikut setianya. Aku juga .... Tidak! Aku tidak boleh memecahkan
rahsia itu selagi Rama sendiri tidak mengakuinya.
Di Gunung Maha Purita ini, Rama telah
membina istana tujuh lapis bertingkat tujuh belas. Tapi dia tidak lama
memerintah.
Baru setahun lalu, semasa usiaku dua puluh
sembilan tahun, Rama pergi bersama-sama isterinya, Sita. Tampuk pemerintahan
Kerajaan Indus telah Rama serahkan kepadaku sebelum dia pergi.
Mengapa aku? Mengapa tidak Tilewi, anaknya yang
mengahwini Puteri Indera Kesuma, anak Indrajit?
Bodohnya soalan itu! Bukankah Tilewi sudah
berkerajaan sendiri.
Selepas kematian Ravana, Rama berusaha
menyatupadukan keturunan Arya dan Dravida. Selepas kematian Ravana selaku ketua
keturunan Arya, saki-baki keturunan tersebut datang bernaung di bawah Rama.
Langkah ini memudahkan usaha Rama. Raja itu
sendiri mengahwinkan puteranya yang bernama Tilewi dengan Puteri Indera Kesuma,
anak Indrajit.
Sebenarnya, langkah itu adalah sebagai
memenuhi permintaan Indrajit jua. Aku masih ingat peristiwa itu. Kata-kata
Indrajit kembali terngiang-ngiang di cuping telinga.
“Kebenaran harus terus hidup,” kata
Indrajit sebelum menghembuskan nafas terakhir di medan perang. “Aku sudah pun
melaksanakan tanggungjawabku. Aku telah berperang sebagai seorang anak yang
setia kepada Ravana. Aku sudah membuktikan bahawa biar sehebat mana sekali pun
seseorang, wijaya tetap di pihak yang memperjuangkan kebenaran.”
Indrajit merenung mataku sambil menahan
sebak. Aku mengusap dadanya.
“Tapi aku tidak mahu keturunan Arya terus
memihak kepada pihak yang bersalah. Tolonglah, Hanuman, jadikan anakku menantu
Rama. Biarkan cucu-cicitku nanti berasa megah berada di pihak yang benar.
Biarlah keturunan Dravida dan Arya bergabung. Kahwinkanlah Puteri Indera Kesuma
dengan Tilewi, anak Rama. Rajakanlah Tilewi di kerajaan keinderaan.” – Bersambung di sini
(Uthaya Sankar SB
menggemari watak Hanuman dan pelbagai versi Ramayana
sejak usia muda. © Hanuman: Potret Diri
1996 dan © Hanuman: Suara Hati 2012
adalah milik Uthaya Sankar SB. Bahagian 1 edisi
dimurnikan ini disiarkan di Free Malaysia Today pada 4 Februari 2012. Terjemahan
Bahasa Inggeris boleh dibaca DI SINI. Baca
juga Ramayana: Valmiki vs Hanuman dan
Ramayana: Memoir Hanuman untuk
pemahaman lanjut.)