Tuesday, 8 May 2012

Hanuman: Suara Hati – Bahagian 2

[Lima tahun sesudah Ravana melarikan Sita, rindu Rama tidak tertahan lagi.]

Aku tersenyum lega mengenangkan peristiwa itu. Permintaan terakhir Indrajit sudah dipenuhi. Kini Tilewi menjadi raja di keinderaan.

Dahulu, Indrajit raja di sana. Ravana berkahwin dengan puteri kayangan dan memperoleh Indrajit. Apabila besar, Indrajit dirajakan di kerajaan tersebut. Dan kini Tilewi pula penggantinya.

Kelahiran Tilewi ada cerita tersendiri. Sita melahirkan putera itu di istana Ravana. Pada waktu itu, Sita masih berada dalam tawanan Ravana di Langkapuri.

Sebenarnya, lima tahun sesudah Ravana melarikan Sita ke pulau itu, rindu Rama kepada isterinya sudah tidak tertahan lagi.

Lalu aku pun menerbangkan Rama ke istana Ravana. Mujur tiada sesiapa yang sedar akan kehadiran kami.

Rama pergi menemui Sita di biliknya sementara aku berkawal di luar. Maka berkasihlah pasangan suami-isteri itu melepaskan rindu. Itulah sejarah kelahiran Tilewi.

Aku ada menyarankan supaya Rama melarikan Sita dari istana Ravana pada kali itu.

“Itu bukan tindakan seorang wira,” jawab Rama. “Aku akan memerangi Ravana di medan perang sebelum membawa pulang isteriku secara terhormat.”

Aku terpaksa akur pada perintah. Lalu aku pun menerbangkan Rama pulang ke Pantai Malabar di selatan Benua Hindia.

Kini aku tersenyum sendiri terkenang akan segala kejadian itu. Aku bersandar di atas singgahsana bertatah intan dan berlian.

Sejak menjadi Maharaja Kerajaan Indus setahun lalu, aku sudah agak jarang terbang ke sana ke sini seperti dahulu.

Kalau dahulu, aku adalah kenaikan yang paling penting bagi Rama. Tanpa aku, mustahil Rama berjaya menemui isterinya di Langkapuri.

Maaf, aku tidak bermaksud hendak bermegah diri. Sesungguhnya aku diutus untuk membantu Rama dari segala segi.

Langkapuri terletak terlalu jauh dari Pantai Malabar di bahagian selatan Hindia. Tiada seorang pun yang dapat pergi ke sana. Memang bijak Ravana memilih lokasi untuk membina istana barunya.

Ravana memiliki Pushpaka, sebuah rata ajaib yang boleh terbang. Dengan menggunakan rata itulah Ravana berjaya menerbangkan Sita ke Langkapuri.

Mungkin pada fikiran Ravana, tiada siapa yang akan dapat mengesannya di sana. Tapi ternyata dia silap. Akhirnya Ravana mati juga. Sita berjaya diselamatkan.

Rama seterusnya berusaha keras menyatukan keturunan Arya dan Dravida. Dia juga berjaya membina Kerajaan Indus di Lembah Sindhu.

Dan kini aku pula menggantikan tempatnya menjadi raja. Tapi layakkah aku? Bersambung di sini

(Uthaya Sankar SB seorang penulis sepenuh masa yang suka menonton filem, membaca buku dan tidur. © Hanuman: Potret Diri 1996 dan © Hanuman: Suara Hati 2012 adalah milik Uthaya Sankar SB. Bahagian 2 edisi dimurnikan ini disiarkan di Free Malaysia Today pada 5 Februari 2012. Baca juga Ramayana: Valmiki vs Hanuman dan Ramayana: Memoir Hanuman untuk pemahaman lanjut.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!