[“Mungkin perasaan
tuanku terganggu mengenangkan Rama dan Sita,” kata Maramanden.]
Rama tidak pernah mengakui kelayakan
sebenar yang aku miliki. Cuma, sebelum dia pergi tahun lalu, dia menyerahkan
cokmarnya kepadaku.
“Engkaulah penggantiku, Hanuman,” katanya.
Tapi bukankah aku hanya anak angkat Rama?
Bukankah itu sahaja kedudukan tertinggi yang Rama anugerahkan kepadaku?
Bukan itu soalnya kini, kukira. Aku perlu
memikirkan hal-hal yang kontemporari.
Kerajaan sudah di tangan. Bukan ini masanya
mempersoalkan kelayakan.
Akulah kera putih itu. Pengikut setia Rama.
Aku kini menggantikan tempatnya memerintah kerajaan yang maha luas ini.
Tiada musuh. Bukankah semuanya sudah Rama
uruskan? Tiada masalah. Bukankah semuanya sudah Rama uruskan? Aman.
Seluruh isi istana tujuh belas tingkat
aman. Para penduduk sekitar dua puluh enam ribu orang, semuanya hidup aman
damai.
Apa lagi yang perlu mereka risaukan?
Semuanya sudah Rama uruskan sebelum dia pergi.
Demikianlah seorang raja yang rakyat
kasihi. Hingga dianggap sebagai jelmaan Vishnu sendiri. Dan ada pula ura-ura
mahu membina kuil di tempat kelahirannya di Ayodhya!
Demikianlah Rama berjaya mendapat tempat
istimewa dalam hati rakyat.
Tapi dalam hatiku? Amankah; tenangkah?
“Dirgahayu, tuanku,” sembah Maramanden.
Tiba-tiba sahaja dia sudah berdiri di
hadapanku di balairung. Entah sudah berapa lama dia berdiri di situ.
Mungkin aku terlalu leka mengimbas kejadian
masa lalu sehingga tidak menyedari kedatangannya tadi.
“Tuanku sihat sekarang?”
“Kenapa dengan saya?”
“Ampun, tuanku. Malam tadi, tuanku
mengigau. ...”
“Mengigau?”
“Benar, tuanku. Mungkin perasaan tuanku
terganggu mengenangkan Rama dan Sita yang pergi meninggalkan kita semua setahun
lalu. Tuanku meracau dalam tidur. Mungkin bermimpi.”
Istana tujuh lapis bertingkat tujuh belas
tersergam indah di Gunung Maha Purita. Ular danu melengkungi puncak istana.
Sepasang musafir berlari masuk ke
balairung. Maramanden menyambut mereka.
Di atas singgahsana, duduk seorang manusia.
Tubuhnya tegap berotot. Wajahnya bersinar-sinar. Bibir tersenyum gagah. Matanya
bercahaya. Subang di telinga kirinya berkilau.
“Saya bermimpi, mamanda. ...”
“Mimpi yang bagaimana, tuanku?”
“Saya bermimpi, kononnya bukan saya yang
duduk di singgahsana ini. ...” – Bersambung DI SINI
(Uthaya Sankar SB menerima
Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1998/99 menerusi kumpulan cerpen Surat Dari Madras. © Hanuman: Potret Diri 1996 dan © Hanuman: Suara Hati 2012 adalah milik Uthaya Sankar SB. Bahagian 3 edisi
dimurnikan ini disiarkan di Free Malaysia Today pada 11 Februari 2012. Baca juga Ramayana: Valmiki vs Hanuman dan
Ramayana: Memoir Hanuman untuk
pemahaman lanjut.)