[Sambil berjalan
menuju ke makam Tamnat Gangga, Hanuman mula terkenang akan Rama dan Sita.]
“Mengucap, tuanku! Itu hanyalah mainan
fikiran. Mimpi hanyalah mainan tidur. Jangan biarkan mimpi-mimpi buruk seperti
itu mengganggu ketenangan jiwa tuanku.”
Maramanden datang berdiri di sisiku. Dia
terus memegang bahuku. Aku membenarkan.
Memang antara kami tidak timbul perasaan
takbur. Aku lebih suka duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan semua
orang.
Raja dan rakyat adalah sama sahaja di sisi
Tuhan. Itu peganganku. Persetankan raja-raja yang menganggap diri mereka
sebagai bayangan Tuhan! Ada balasan menanti mereka di akhirat.
“Apa agaknya maksud mimpi itu?” Aku cuba
mencungkil pendapat Maramanden berhubung mimpiku.
Aneh, bukan? Aku berupaya masuk ke dalam
mimpi orang yang aku sayang; tetapi aku tidak dianugerahkan kebolehan mentafsir
mimpi aku sendiri.
Aku agak risau juga memikirkan kemungkinan
yang terkandung dalam mimpi itu: Dua musafir itu pulang ke istana, tetapi bukan
aku yang memerintah kerajaan ini!
“Tuanku jangan terlalu percaya pada mimpi.
Lupakan sahaja mimpi itu. Bukankah tuanku perlu pergi ke makam Tamnat Gangga
sekarang?”
Masakan aku terlupa! Setiap pagi, sejak
enam tahun lalu, aku ke makam Tamnat Gangga.
Berada di sisi makam itu memberikan semacam
ketenangan kepada jiwaku. Ia mengajarku erti pengorbanan. Ia mengajarku erti
kasih sayang.
Sesungguhnya kematian menyedarkan penghuni
alam tentang kuasa mutlak Tuhan ke atas hamba-hamba-Nya.
Tanpa membuang masa. Aku berangkat ke makam
Tamnat Gangga yang terletak kurang lebih dua pelaung dari istana.
Aku pergi bersendirian sahaja. Aku lebih
suka begitu. Lagipun, buat apa perlu membawa seribu pengiring istana sedangkan
aku pergi ke sana atas urusan peribadi.
Demi Tuhan, aku tidak mahu menjadi
pemerintah yang menggunakan khidmat rakyat untuk kepentingan diri.
Pemerintah sebegitu tidak akan lama
bertahan. Pemerintah seperti itu akan jatuh apabila rakyat yang ditindas
bangkit berjuang menuntut keadilan.
Sambil berjalan menuju ke makam Tamnat
Gangga, aku mula terkenang akan Rama dan Sita. Hari ini genap setahun pemergian
mereka.
Entah mengapa fikiranku tiba-tiba sahaja
melayang jauh. Lalu aku pun terkenang kembali segala kejadian masa silam. – Bersambung
DI SINI
(Uthaya Sankar SB sering menghasilkan karya parodi dan satira
berdasarkan kisah-kisah dalam Ramayana.
© Hanuman: Potret Diri 1996 dan © Hanuman: Suara Hati 2012 adalah milik
Uthaya Sankar SB. Bahagian 4 edisi
dimurnikan ini disiarkan di Free Malaysia Today pada 12 Februari 2012. Baca juga Ramayana: Valmiki vs Hanuman dan
Ramayana: Memoir Hanuman untuk
pemahaman lanjut.)