5 Feb 2013

Kembali ke Kampung Medan

[Buku separa ilmiah ini membantu orang ramai memahami apa yang sebenarnya berlaku lebih sebelas tahun lalu.]
 
Saya mendapat tahu mengenai buku Violence Against An Ethnic Minority in Malaysia: Kampung Medan, 2001 (2012) tulisan Dr S. Nagarajan dan K. Arumugam apabila melihat foto buku ini pada dinding Facebook Sukumar Theviannan pada 17 Disember 2012 – BACA DI SINI.
 
Serta-merta saya berminat untuk memiliki dan membaca buku ini yang pasti sahaja merupakan suatu dokumentasi penting mengenai suatu insiden hitam dalam sejarah negara. Tambahan pula, “versi” yang pernah dipaparkan menerusi pelbagai media arus perdana berhubung insiden itu tentu sahaja sudah “dimurnikan” atau “diputar-belit” dan “dimanipulasi”.
 
Pada 17 Disember 2012 juga, saya melakukan pencarian di internet dan mendapat tahu bahawa buku berkenaan akan dilancarkan oleh Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur pada keesokannya. Saya segera menghubungi pegawai Suaram, Nalini Elumalai untuk mengesahkan kehadiran dan menyatakan keinginan untuk membeli buku itu.
 
Maka, sebaik tiba di dewan berkenaan pada tarikh dan masa yang ditetapkan, saya membeli enam naskhah buku tersebut. Sekurang-kurangnya saya boleh menjualnya kepada rakan-rakan yang berminat sebelum buku berupa dokumen penting ini berdepan risiko diharamkan atas alasan “mengancam keselamatan negara” dan “menyentuh sensitiviti kaum tertentu” misalnya.
 
Apabila meneliti buku setebal 147 halaman yang dibahagikan kepada enam bab serta satu bab kesimpulan, timbul pula pertanyaan: Apakah buku ini merupakan terjemahan daripada buku Bahasa Tamil berjudul Mac 8 (2006) tulisan Arumugam?
 
Rayner Yeo yang turut menghadiri majlis pelancaran buku dan forum bertajuk “Kampung Media Violence: Never Again” pada 18 Disember 2012 pernah menulis mengenai perbicaraan kes pengharaman buku itu di laman sesawang Loyar Burok (17 Oktober 2012). Maka, saya membaca laporannya untuk mendapatkan maklumat.
 
Pada 12 Februari 2010, permohonan Arumugam terhadap keputusan pengharaman buku Mac 8 ditolak Mahkamah Tinggi. Rayuan dikemukakan tetapi Mahkamah Rayuan pada 6 Ogos 2012 memutuskan untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dalam isu pengharaman buku tersebut.
 
Maklumat yang membuka minda
 
Tentulah saya tidak dapat mengulas lanjut mengenai buku Mac 8 kerana buku berkenaan sudah diharamkan dan saya tidak (baca: belum) berpeluang menelitinya. Bagaimanapun, pada majlis 18 Disember 2012, Arumugam yang juga pengerusi Suaram serta Dr Kua Kia Soong selaku penasihat Suaram menegaskan bahawa buku terbaru ini (Bahasa Inggeris) bukan terjemahan Mac 8 (Bahasa Tamil).
 
Namun begitu, saya percaya bahawa fakta dan data yang dikemukakan dalam kedua-dua buku ini masih sama. Misalnya, fakta bahawa insiden yang berlaku di Kampung Medan pada 4-8 Mac 2001 menyebabkan enam orang terkorban; iaitu lima penduduk kaum India dan seorang warga Indonesia.
 
Insiden berkenaan – yang digembar-gemburkan sebagai “rusuhan” oleh media tertentu pada waktu itu – turut menyebabkan 70 orang cedera; iaitu lapan penduduk kaum Melayu, 56 penduduk kaum India, seorang penduduk kaum Cina, tiga warga Indonesia, seorang warga Bangladesh dan seorang penduduk Sabah.
 
Penduduk di Malaysia – khususnya “Bukan Melayu” – sering dimomokkan dengan peristiwa hitam “13 Mei 1969” dan diingatkan sejak kecil supaya jangan menyebabkan insiden seperti itu berulang. Gambaran yang diberikan adalah seolah-olah penduduk “Bukan Melayu” yang menjadi punca segala masalah. Sesiapa yang menghadiri program Biro Tata Negara (BTN) pasti lebih memahami apa yang saya maksudkan.
 
Berbalik pada buku Violence Against An Ethnic Minority in Malaysia, bahagian prakata, pengantar dan pendahuluan juga memuatkan pelbagai maklumat yang mampu membuka minda kita untuk mengetahui dan memahami apa sebenarnya yang berlaku sebelum, semasa dan selepas peristiwa di Kampung Medan pada Mac 2001.
 
Saya memuji usaha Arumugam mendokumentasikan kejadian itu. Tambahan pula, beliau tinggal di Kampung Gandhi sejak 1974 dan mempunyai akses bagi pelbagai maklumat yang diperlukan untuk menghasilkan buku ini. Tidak dapat dinafikan, buku ini merupakan dokumen umum yang pertama seumpamanya di Malaysia dan wajar dimasukkan dalam senarai “wajib dibaca” (must read).
 
Bab kelima daripada tesis ijazah kedoktoran (PhD) bertajuk “A Community in Transition: Tamil Displacements in Malaysia” (2004) oleh Nagajaran menjadi sumber rujukan utama. Bagaimanapun, gaya dan penyampaian akademik dipermudahkan sedikit supaya buku ini sesuai dan selesa untuk bacaan umum.
 
Ops Medan dan peranan media
 
Dalam Bab 1, dinyatakan peranan yang dimainkan oleh media dalam melaporkan insiden yang berlaku di Kampung Medan. Rujukan khusus dibuat pada laporan di akhbar Utusan Malaysia (10 Mac 2001) yang memberikan gambaran seolah-olah penduduk kaum Melayu menjadi mangsa keganasan samseng kaum India. Tidak dapat tidak, mengingatkan kita betapa konsep “pendatang” dan “tuan” masih bermaharajalela di negara bertuah ini.
 
Turut disiarkan pengalaman 19 mangsa yang menjadi saksi kepada apa yang benar-benar berlaku. Foto-foto juga dimuatkan. Menerusi pembacaan pengalaman mangsa, kita akan tahu kisah sebenar. Sekurang-kurangnya kita tidak akan terus-menerus percaya pada “fakta yang dimanipulasi dan diputar-belitkan” demi kepentingan pihak tertentu.
 
Setiap bab diakhiri dengan ringkasan. Maka, bagi pembaca yang hanya mahu mendapatkan fakta, bahagian ini boleh menjadi sumber rujukan segera. Nota hujung yang diberikan pula amat berguna; sekurang-kurangnya untuk membuktikan bahawa fakta-fakta yang dipaparkan adalah berdasarkan sumber yang sahih.
 
Kisah asas yang diketahui umum berkaitan insiden di Kampung Medan adalah mengenai upacara kematian di rumah seorang penduduk kaum India dan majlis perkahwinan di rumah seorang penduduk kaum Melayu. Bab 2 buku ini menghuraikan apa yang berlaku dari 4 Mac 2001 hingga kepada insiden penduduk kaum India diserang secara rambang oleh kumpulan tertentu pada 8 Mac 2001 di sepanjang jalan utama di Taman Desaria, Kampung Medan, Kampung Datuk Harun dan Kampung Lindungan.
 
Tentulah kita akan tertanya-tanya mengapa dan bagaimana anggota pasukan keselamatan seramai 2,053 orang yang dikerah bertugas 24 jam sehari masih gagal mengawal keadaan. Maklumat terperinci mengenai “Ops Medan” boleh dibaca dalam Bab 3 yang memaparkan kenyataan bersumpah Ketua Polis Daerah Petaling.
 
Agak menarik untuk diperhatikan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan waktu itu, Norkhaila Jamaluddin dipetik oleh Malay Mail (10 Mac 2001) dan Malaysiakini (9 Mac 2001) sebagai berkata bahawa penduduk kaum India di situ adalah gangster dan sering menimbulkan kekacauan.
 
Anehnya, dalam The Sun (16 Mac 2001), beliau dilaporkan menyifatkan penduduk pelbagai kaum itu hidup aman damai tanpa sebarang sengketa sejak sekian lama. Mungkin kenyataan ‘flip flop’ seperti ini adalah lumrah dalam kalangan politikus.
 
Reaksi NGO, MIC dan YSS
 
Seterusnya, Bab 4 membantu kita mengetahui sejarah dan asal-usul Kampung Medan. Digambarkan suasana sebelum dan selepas 1969. Peta-peta yang dimuatkan juga membantu pemahaman. Tidak lupa juga akan pelbagai rajah, data dan statistik yang dimuatkan dalam buku ini.
 
Reaksi badan bukan kerajaan (NGO), MIC dan Yayasan Strategik Sosial (YSS) dimuatkan dalam Bab 5 untuk membantu kita memahami tindakan susulan pihak terbabit berikutan insiden di Kampung Medan. Agak menarik untuk diperhatikan apakah reaksi Datuk Seri S. Samy Vellu (presiden MIC waktu itu) apabila seorang wartawan menulis berita mengenai penderitaan mangsa di Kampung Medan di akhbar The Star (28 Mei 2001). Juga tindakan YSS selepas itu serta “makian” yang terpaksa diterima mangsa di Kampung Medan daripada seorang pemimpin parti politik.
 
Bab 6 memuatkan analisis yang lebih akademik mengenai insiden di Kampung Medan. Perlu dinyatakan bahawa rata-rata penduduk kaum India tampil menyatakan bahawa mereka tidak menghadapi apa-apa masalah dengan penduduk Melayu sebelum dan selepas peristiwa hitam itu.
 
Maka, timbul pertanyaan akan kemungkinan “penduduk” kaum Melayu yang menyebabkan lima penduduk kaum India terbunuh dan 56 lagi cedera sebenarnya adalah orang dari luar Kampung Medan. Kemungkinan ada “tangan-tangan ghaib” yang merancang semua itu demi kepentingan politik pihak tertentu. Wallahu A’lam.
 
Buku berupa dokumen penting ini turut menyiarkan semula memorandum yang ditandatangani wakil 51 NGO dan diserahkan kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) pada 20 Mac 2001. Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan dinamakan sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden di Kampung Medan dan beberapa kawasan sekitar.
 
Semasa forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pada 18 Disember 2012, Arumugam menegaskan bahawa kerajaan sepatutnya mengakui kesalahan dan kegagalan dalam menangani kejadian itu.
 
Ditanya mengenai kemungkinan Violence Against An Ethnic Minority in Malaysia mengalami nasib sama seperti Mac 8, Arumugam yang juga editor majalah Semparuthi berkata, “Tindakan mengharamkan buku tidak membawa kebaikan kepada sesiapa; tidak membantu sesiapa. Kita (rakyat Malaysia) sudah cukup matang untuk membaca buku seperti ini.”
 
[Makalah ini ditulis pada 20 Disember 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 22 Disember 2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]