[Demi cinta terhadap
suami, Mandodari mencipta klon untuk diserahkan kepada Ravana.]
Begitulah rendahnya nilai seorang wanita.
Bagaimana pula perasaan Dasaratha jika ibunya yang diminta oleh Ravana?
Sanggupkah dilepaskannya sebagaimana dia melepaskan Mandodari?
Selagi ada orang seperti Dasaratha, selagi
itulah wanita akan kekal sebagai hamba abdi yang boleh dijual-beli.
Pernah Belia Raja, iaitu raja kera,
menceritakan kepadaku kisah Dasaratha sewaktu aku bersamanya di negeri
Kishikindha dahulu.
Dasaratha adalah raja jurai keturunan
Dravida di Ayodhya. Dia beristerikan Mandodari yang merupakan puteri buluh
betung.
Perkahwinan Dasaratha dan Mandodari
menghasilkan dua anak lelaki yang diberi nama Ramachandran atau Rama dan
Letchumanen. Isteri kedua Dasaratha yang bernama Kikewi pula melahirkan
Bharata.
Sementara itu, Ravana adalah ketua jurai
keturunan Arya. Dia melakukan pertapaan yang hebat memuja Brahma.
Akhirnya, Brahma muncul di hadapan Ravana
dan berjanji akan memenuhi tiga permintaan Ravana. Ravana bertindak pantas
mengemukakan permintaannya.
Pertama, Ravana meminta Brahma menyembunyikan
nyawa Ravana di satu tempat yang mana hanya mereka berdua tahu.
Kedua, Ravana meminta supaya Brahma tidak
memberitahu sesiapa pun di mana letaknya nyawa Ravana.
Dan ketiga, Brahma tidak akan membunuh
Ravana dengan tangannya sendiri.
Brahma sangat terkejut mendengar permintaan
Ravana. Tetapi Brahma terpaksa memenuhi permintaan itu kerana harus berpegang
pada janji.
Maka, jadilah Ravana seorang raja yang
kebal. Para dewa sendiri tidak dapat menentangnya.
Ravana telah pergi ke kayangan dan
berkahwin dengan seorang puteri di sana. Lalu, lahirlah Indrajit.
Kemudian, apabila turun semula ke bumi,
Ravana terdengar khabar tentang Dasaratha yang memperisterikan puteri buluh
betung.
Menurut cerita Belia Raja, Ravana meminta
Dasaratha menyerahkan Mandodari kepadanya. Dasaratha membenarkan sahaja!
Mandodari pula memohon petunjuk Brahma.
Lagu-lagu pujaan yang dinyanyikannya semalaman memohon simpati Tuhan membuahkan
hasil apabila wujud seorang puteri replika.
Demikianlah, demi cinta terhadap suaminya,
Mandodari mencipta Mandudaki untuk diserahkan kepada Ravana.
Keesokan harinya, setelah Ravana pergi bersama-sama
Mandudaki yang difikirnya Mandodari, Dasaratha terkejut melihat isterinya masih
ada.
Pada malam itu, dia pergi meniduri
Mandudaki di istana Ravana yang terletak di Panggala.
Demikianlah balasan yang diterima oleh
seorang isteri yang mahu setia pada suaminya. – Bersambung ... [MAKLUMAT LANJUT DI SINI]
(Uthaya Sankar SB membaca dan
mengkaji pelbagai versi Ramayana dari
beberapa negara sebelum menulis novel parodi retorik ini. © Hanuman: Potret Diri 1996
dan © Hanuman: Suara Hati 2012
adalah milik Uthaya Sankar SB. Bahagian 5 edisi
dimurnikan ini disiarkan di Free Malaysia Today pada 18 Februari 2012.)