Perkara ini mungkin sedikit melucukan
tetapi sebenarnya tidak mustahil berlaku. Antologi cerpen Kopi (2012) mungkin akan dicetak rompak dan masuk ke dalam pasaran
gelap (black market) tidak lama lagi.
Malah, Amir Muhammad selaku pemilik Buku
Fixi yang menerbitkan “edisi terhad” buku ini bagaikan mengalu-alukan perkara
itu sambil menyatakan bahawa buku berkenaan dicetak hanya sekali dan sejumlah
1,500 naskhah.
Amir yang aktif menerbitkan novel-novel “pulp fiction” yang dilabelkannya
sebagai “novel urban kontemporari” sejak 2011 turut bertindak sebagai editor
bagi antologi yang memuatkan 19 cerpen oleh 19 penulis karya kontemporari.
Antaranya, Shaz Johar, Dayang Noor, Nadia
Khan, Adib Zaini, Gina Yap Lai Yoong, Ridhwan Saidi, Faizal Sulaiman, Syaihan
Syafiq dan Raja Faisal yang novel mereka – kebanyakannya novel sulung –
diterbitkan di bawah label Buku Fixi.
Antologi ini juga cukup istimewa dan
eksklusif kerana hanya memuatkan karya individu yang pernah terlibat dalam projek
penerbitan syarikat berkenaan; termasuk pemenang/hakim pertandingan cerpen di Facebook.
“Once
you’ve read Fixi’s ‘KOPI’ collection of stories, coffee will never taste the
same.”
Demikian saya mencatatkan pada ruangan
status Facebook pada 15 Januari 2012,
sejurus selepas selesai menyunting manuskrip antologi berkenaan dan mengirimnya
semula kepada penerbit.
Maknanya, saya sudah membaca kisah-kisah
ini sebelum ia terbit dalam bentuk buku. Bezanya, saya tidak tahu nama para pengarang
terbabit. Maka, saya berpeluang menikmati “kopi pelbagai perisa” tanpa perlu
risau memikirkan siapa yang menghasilkan atau membancuhnya.
Sebenarnya ada perbezaan antara “antologi”
dan “kumpulan” dalam konsep penerbitan buku di Malaysia tetapi tentulah Amir
tidak akan kisah semua itu.
Apa yang lebih penting, setiap cerpen yang
termuat dalam antologi ini mempunyai keistimewaan tersendiri dan menyajikan
kepada para pembaca, segugus karya yang pelbagai serta enak dinikmati secara
santai ... sambil menghirup secawan kopi panas.
Bagaimanapun, sepertimana yang saya
nyatakan kepada Amir sejak awal, karya-karya yang termuat dalam antologi Kopi hanya sesuai bagi pembaca dewasa –
dengan erti kata “matang” dari segi pemikiran; bukan setakat “dewasa” dari segi
umur.
Memandangkan buku-buku terbitan syarikat
ini berciri “urban” maka tentulah khalayak sudah sedia maklum bahawa antologi Kopi juga (mungkin) mengandungi
babak-babak yang tidak sesuai bagi peminat karya-karya konvensional; atau karya
Islamik, misalnya.
Ibu bapa wajar memastikan antologi ini
tidak “jatuh” ke tangan anak-anak bawah umur!
Secara mudah, Kopi memuatkan karya-karya yang tentu sahaja tidak akan disiarkan
dalam mana-mana majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Setiap cerpen di dalam antologi ini ada
kaitan dengan kopi tetapi tentulah penulis tidak bercerita mengenai kopi!
Sebaliknya, kopi menjadi penyeri – atau penyegar – kepada cerita-cerita yang
diangkat secara penuh kreatif.
Buku ini dicetak dalam jumlah terhad dan
tidak dijual di kedai-kedai buku biasa. Peminat karya urban kontemporari wajar berusaha
memiliki buku ini; sekurang-kurangnya supaya mampu menjualnya dalam pasaran
gelap pada masa hadapan!
(Ulasan buku ini ditulis
pada 5 April 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 20 April 2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Sila
KLIK DI SINI untuk
maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)