30 Aug 2011

FAQ: Isu Royalti Teks Komsas

Selepas Surat Rayuan Terbuka Kepada Menteri Pelajaran disiarkan pada 26 Ogos 2011, pelbagai reaksi diterima. Kita lupakan sahaja komen-komen yang tidak membina dan usaha memperkecilkan tindakan berani kelima-lima penulis berkenaan “bersuara” di ruang siber.

Beberapa orang turut menghubungi saya menerusi SMS, telefon, Yahoo! Messenger dan Facebook, lalu bertanyakan pelbagai soalan. Sebahagian daripadanya sudah saya paparkan pada ruangan status akaun Facebook.

Untuk makluman, saya sudah “memurnikan” soalan-soalan yang dikemukakan supaya sesuai bagi tatapan umum. Soalan berbaur perkauman dan menghina diketepikan.

Berikut soalan (S) yang dikemukakan serta jawapan (J) saya. Selamat membaca!

S: Awak tak takutkah “menentang kuasa-kuasa besar” dalam menuntut royalti bagi penulis teks Komsas?

J: Takut. Saya memang sangat takut. Tapi saya berpura-pura berani demi memperjuangkan hak rakan-rakan penulis.

S: Bila awak harap isu royalti teks Komsas ini selesai?

J: Sebelum 1 Syawal 1432 (30 Ogos 2011).

S: Awak fikir menteri akan bertindak?

J: Tak. Saya harap menteri bertindak.

S: Apa yang menteri mampu buat dalam isu royalti Komsas?

J: Itu kena tanya menteri. Asalkan tidak buat Panel Bebas sudahlah! Nanti sandiwara berikutan penubuhan Panel Bebas Interlok Edisi Murid mungkin berulang.

S: Awak ingat hebat sangat kalau surat terbuka disiarkan di blog awak tu?

J: Memang tak hebat sebab blog saya tidak boleh diakses di China. Mujur juga Free Malaysia Today, The Malaysian Insider dan Malaysiakini turut menyiarkannya. Rakan-rakan turut memaparkannya pada dinding Facebook mereka. Malangnya, Facebook juga tidak boleh diakses di China.

S: Awak memang dah tak ada kerja lain selain menulis tentang isu-isu ini?

J: Tak. Saya memang penulis sepenuh masa. Saya juga suka tidur kalau ada masa lapang.

S: Khabarnya dalam kes royalti Komsas bagi karya Hizairi Othman, awak sendiri yang menghubungi ibunya, Timah Baba?

J: Benar. Saya masih terhutang budi kepada Allahyarham Dr Othman Puteh (suami Timah Baba). Saya mengambil cek daripada pengarah urusan Sasbadi Sdn Bhd, Encik Law King Hui pada 25 Ogos 2011 dan menyerahkannya kepada Puan Timah Baba pada 27 Ogos 2011.

S: Awak ni memang suka sibuk, ya?

J: Ya, saya suka sibuk. Saya juga suka membaca, menulis dan menonton.

S: Awak tak takut kena ISA?

J: Tiada kena-mengena, walaupun klon Subari Ahmadpasti suka. Saya boleh makan, tidur di rumah sendiri.

S: Kalau penerbit dakwa di mahkamah berikutan segala pendedahan yang dibuat, awak mampu ambil peguam?

J: Tak mampu. Saya hanyalah seorang penulis. Sama nasib seperti rakan-rakan penulis yang menjadi mangsa penganiayaan dalam isu royalti teks Komsas ini.

S: Karya awak tak apa pun dalam Komsas, kenapa menyibuk?

J: Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran, seperti kata Mahatma Gandhi.

S: Kenapa awak tak tolong penulis kaum India?

J: Adakah karya penulis kaum India dalam Komsas? Apa pun, saya dan Kavyan tidak melihat isu ini dari segi “kaum”.

S: Kenapa kecoh di internet? Kenapa tak jumpa terus?

J: Bahagian Buku Teks (BBT), Kementerian Pelajaran batalkan pertemuan pada 18 Ogos 2011. Saya dah bersiap dan pakai kasut baru dari Beijing pada hari tu.

S: Kenapa awak kacau BBT? Kenapa tak jumpa penerbit?

J: Saya bertemu pengarah urusan Sasbadi Sdn Bhd pada 25 Ogos 2011; semua isu teknikal selesai segera secara amat baik dan profesional dalam suasana harmoni. Penerbit lain belum hubungi saya.

S: Kenapa mesti kecoh di internet? Kenapa tak serah sahaja surat rayuan terbuka itu kepada Menteri Pelajaran?

J: Kerana ia surat rayuan terbuka. Kita perlu faham konsep itu.

S: Kenapa awak sahaja buat kerja ni? Mana penulis lain?

J: Saya percaya mereka sentiasa mendoakan kejayaan.

S: Mungkinkah penulis lain diam sahaja kerana “carma”?

J: Itu kena tanya mereka. Saya tidak berhak masuk campur dan jejaskan periuk nasi mereka. (Istilah “carma” iaitu “cari makan” dipelopori SN Datuk A. Samad Said pada Julai 2011.)

S: Kenapa Kavyan sahaja? Mana persatuan penulis lain?

J: Saya percaya mereka juga sedang giat berusaha untuk cuba membantu dengan cara dan kemampuan sendiri.

S: Benarkah ada persatuan penulis peringkat nasional mengenakan bayaran dalam bentuk komisyen sehingga 50 peratus untuk membantu penulis dalam isu tuntutan royalti?

S: Saya juga ada mendengar perkara itu daripada beberapa penulis. Saya tidak akan menyebut nama persatuan itu dan saya juga tidak mahu masuk campur urusan mereka. Apa yang pasti, Kavyan dan saya tidak mengenakan apa-apa bayaran bagi perkhidmatan yang kami berikan kepada penulis terbabit.

S: Awak dan Kavyan bukan pakar undang-undang, kan?

J: Benar. Walaupun hanya Kavyan yang kelihatan “bising dan buat kecoh” tapi sebenarnya kami menerima bantuan daripada pelbagai pihak yang meminta identiti mereka dirahsiakan. Mereka termasuk (tetapi tidak terhad kepada) peguam, penulis, wartawan, pakar ICT, penganggur, pesara, akauntan bertauliah, pegawai SPRM, mahasiswa, sasterawan, aktivis sosial, NGO, persatuan penulis, pegawai kerajaan, pegawai badan berkanun, pegawai kementerian dan penerbit. Maka, saya dan Kavyan hanyalah “the tip of the iceberg” (Kamus DBP: “baru sebahagian kecil daripada yang sebenarnya; baru bunganya sahaja”).

S: Benarkah parti pembangkang mendalangi usaha ini?

J: Kavyan tidak pernah dan tidak akan bernaung di bawah mana-mana parti politik. Kavyan ada tulang belakang dan tidak tunduk pada atau bernaung di bawah mana-mana politikus; walaupun saya ada ramai kawan yang aktif dalam parti politik.

S: Awak anti-kerajaan?

J: Tak. Saya suka kerajaan. Kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Rakyat adalah kerajaan. Mana boleh saya anti-rakyat!


J: Hampir setiap hari sejak “pendedahan” menerusi artikel di portral berita Free Malaysia Today dan The Malaysian Insider pada 15 Ogos 2011.

S: Kamu semua berjumpa di mana?

J: Perbincangan dan komunikasi menggunakan telefon, e-mel dan Facebook sahaja. Saya belum pernah bertemu mereka; kecuali Puan Timah Baba.

S: Jadi, mereka semua (penulis terbabit) bukan kroni awak?

J: Memang pun kami kroni! Kami “kroni” dalam menuntut hak royalti teks Komsas.

S: Betulkah awak yang drafkan surat izin yang diberi oleh penulis kepada awak untuk melantik awak mewakili mereka?

J: Ya. Memang ada draf standard dan profesional yang disediakan oleh syarikat saya. Sedang juga diedarkan kepada beberapa lagi penulis yang menghubungi saya untuk mendapatkan bantuan berhubung kes tuntutan royalti Komsas dan kes-kes lain.

S: Berapa mereka (penulis) bayar awak?

J: Untuk rekod, tiada sebarang bayaran dikenakan oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) atau Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya bagi perkhidmatan itu.

S: Benarkah awak yang drafkan surat rayuan terbuka itu?

J: Ya. Memang itu sebahagian tugas saya sebagai wakil dan perunding profesional.

S: Berapa lama awak menulis draf surat rayuan terbuka itu?

J: Tiga jam; 3:00-6:00 pagi, 26 Ogos 2011. Termasuk mengedit, meneliti, merombak dan memurnikannya.

S: Kalau kerajaan masih tak dengar suara rayuan ini?

J: Kita boleh bersuara pula melalui undi pada Pilihan Raya Umum ke-13.

S: Awak tak takut buat kenyataan macam itu yang mungkin kedengaran berbaur ugutan?

J: Tak. Ini bukan ugutan. Jangan bimbang. Saya belajar sendiri daripada Pengerusi Barisan Nasional (BN) semasa beliau berkempen di Hulu Selangor (April 2010) dan Sibu (Mei 2010). Anda boleh membaca mengenainya secara terperinci menerusi artikel “Can We Have a Deal?” oleh Vijay Kumar Murugavell dalam buku March 8: Time for Real Change (2010).