30 Aug 2011

Syawal, Perjuangan Diteruskan

Perjuangan menuntut keadilan bagi lima rakan penulis dalam isu royalti teks Komsas diteruskan pada Syawal 1432.

Pada mulanya Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) serta Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya berharap dapat menyampaikan “berita gembira” kepada kumpulan penulis itu menjelang 1 Syawal 1432 (30 Ogos 2011).


Rohani Deraman dari Johor, Amy Suzani Mohd Ainuddin (Kelantan), Hazama Harun (Kuala Lumpur), Mohd Izan Abd Hazes (Kuala Lumpur) dan Erda Roslan Khairi (Putrajaya) merasakan diri mereka menjadi mangsa penganiayaan, penindasan, kezaliman dan penipuan penerbit tidak beretika dalam soal penerbitan karya-karya mereka yang dijadikan teks Komsas.


Isu penindasan ini mula diketengahkan dalam artikel di Free Malaysia Today dan The Malaysian Insider pada 15 Ogos 2011. Surat Rayuan Terbuka Kepada Menteri Pelajaran turut disiarkan pada 26 Ogos 2011.


Bagaimanapun, sehingga 29 Ramadan 1432 (29 Ogos 2011), Kementerian Pelajaran, Menteri Pelajaran dan kerajaan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi ke arah menyelesaikan masalah yang dihadapi lima penulis terbabit.


Hal ini bermakna, penerbit yang tidak beretika berpeluang mengaut untung bersih sekitar RM11,000 setiap tahun bagi sebuah cerpen secara haram dengan “restu” Putrajaya.


Walaupun Kementerian Pelajaran yang menangani Komsas gagal membela nasib penulis yang teraniaya, perjuangan menuntut hak royalti, hak cipta dan harta intelek diteruskan pada Syawal 1432.


Tuhan sentiasa bersama golongan yang ditindas, dianiaya dan dizalimi. Tuhan pasti mendengar doa mereka dalam linangan air mata. Keadilan dan kebenaran pasti menang kali ini!