Dalam koleksi rencana yang diterbitkan dengan judul A Plea for Empathy: The Quest for Malaysian Unity (2010), Dr Chandra Muzaffar beberapa kali mengulangi cadangan dan pendirian bahawa penulis pelbagai kaum di Malaysia perlu diberi ruang dan peluang untuk menggambarkan citra budaya kaum masing-masing dalam karya Bahasa Malaysia.
Tentu sahaja saya amat bersetuju dengan saranan itu kerana Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang saya wakili sejak 1999 turut berusaha ke arah itu dengan moto “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia”.
Pada masa sama, tentu sahaja saya, Kavyan, Dr Chandra Muzaffar dan sesiapa sahaja tidak mempersoalkan atau pun menafikan hak mana-mana individu berkarya dalam apa-apa bahasa; khususnya Bahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin.
Suatu hal yang menarik untuk diperhatikan adalah bahawa sejak tercetusnya kontroversi berhubung novel Interlok (edisi murid) pada Disember 2010, ramai juga dalam kalangan kaum India yang “marah-marah”.
Saya saksikan sendiri bagaimana ramai pemimpin masyarakat dan anggota masyarakat mula memperkatakan mengenai kandungan karya sastera dan novel Bahasa Malaysia yang berusaha menggambarkan citra budaya kaum India di negara ini.
Antara karya yang disebut-sebut adalah novel Sinappapal (1993) dan Sangeetha (2006) karya Azizi Haji Abdullah yang menampilkan watak kaum India tetapi tidak ada jaminan bahawa watak-watak dalam karya itu boleh membantu pembaca mengenali citra budaya sebenar kaum India di Malaysia.
Komen, rungutan dan kritikan mengenai “kegagalan” karya sastera Bahasa Malaysia dalam menggambarkan citra budaya kaum India memang selalu saya dengar dan alami sendiri.
Namun begitu, soalan saya adalah: Berapa ramai dalam kalangan kaum India yang sedia, sanggup dan mampu menghasilkan karya (fiksyen) Bahasa Malaysia yang boleh menggambarkan citra budaya dan pemikiran masyarakat India di Malaysia?
Apabila saya mengemukakan pertanyaan ini pada ruangan status di Facebook, seorang rakan memberi komen: “Kita semua sedar yang ada segelintir anak muda kita yang mampu menghasilkan karya sastera Bahasa Malaysia yang bermutu dan menggambarkan budaya kita, tetapi berapa banyak karya yang mendapat perhatian dan diberi sokongan adil seperti karya-karya hasil Bukan Kaum India?”
Komen yang diberikan oleh Jothy Jojo secara tidak langsung memberi semacam nafas baru kepada saya bahawa masih ada harapan untuk melihat kelahiran penulis kaum India yang mampu menghasilkan karya bermutu dalam Bahasa Malaysia.
[Tentu sahaja saya tidak mahu ambil pusing terhadap “usaha” pihak tertentu menghalang penglibatan masyarakat pelbagai kaum dalam sastera Bahasa Malaysia menerusi “kempen” menafikan kewujudan istilah “Bahasa Malaysia” serta “kempen” menafikan hak rakyat pelbagai kaum di negara ini terhadap Bahasa Malaysia.]
Seorang lagi rakan, Mak Hua Chyang berkongsi pandangan bahawa setiap kaum di Malaysia masih terikat dengan adat resam masing-masing dan “agak sukar untuk menghasilkan karya Bahasa Malaysia yang benar dan tulen kerana semua karya akan ditapis berulang kali bagi menjaga kepentingan sesuatu pihak”.
Berhubung kedua-dua pandangan di atas, saya sebenarnya sering berbincang bersama-sama rakan-rakan yang bertugas sebagai editor di beberapa majalah arus perdana yang menyediakan ruang penyiaran karya; khasnya sajak dan cerpen.
Maklum balas yang saya terima – dan saya pasti adalah benar – adalah bahawa jumlah penulis kaum India yang mengirim karya ke majalah-majalah berkenaan adalah amat sedikit. Ini belum lagi mengambil kira mutu karya itu serta penguasaan bahasa dalam penulisan. Juga belum mengambil kira kemampuan penulis itu menggambarkan budaya kaum India menggunakan Bahasa Malaysia.
Untuk berlaku adil, hakikat yang memeritkan tetapi tidak dapat dinafikan adalah bahawa belum ada ramai penulis kaum India yang aktif menghasilkan karya Bahasa Malaysia sejak tahun 1970.
Malah, kebanyakan nama yang muncul pada 1970, 1980, 1990 dan 2000-an tidak terus bertahan. Ramai yang tenggelam atau tenggelam-timbul.
Kita boleh merujuk senarai nama penulis yang disebut oleh Raja Rajeswari Seetha Raman dalam rencana pendeknya di akhbar Berita Harian (6 Februari 1999) dan membandingkan dengan nama-nama penulis yang masih aktif dewasa ini untuk membuktikan hal ini. [SENARAI PENULIS KAUM INDIA]
Satu-satunya buku yang memuatkan sepenuhnya cerpen Bahasa Malaysia oleh penulis kaum India di Malaysia adalah Vanakam (2002) manakala beberapa usaha menerbitkan buku kedua seumpamanya kurang berjaya.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berusaha menganjurkan sebuah bengkel cerpen khas untuk penulis muda kaum India pada Mac 2011; tetapi terpaksa dibuka kepada penulis kaum lain kerana jumlah peserta kaum India kurang memberangsangkan.
Kavyan juga sering menganjurkan bengkel penulisan cerpen dan sekiranya mahu diteliti, jumlah peserta kaum India memang amat kurang. Maka, saya tidak akan bersetuju atau menyokong mana-mana pihak yang mengatakan bahawa penulis muda kaum India tidak diberi ruang dan peluang.
Pengarang kaum India yang sering menjadi sebutan dan rujukan ialah Saroja Theavy Balakrishnan. Namun, sejak beberapa tahun lalu, beliau sudah amat jarang menghasilkan cerpen. Beliau sering menceritakan kepada saya tentang puncanya dan saya memahami alasan yang diberikan.
Seorang lagi pengarang kaum India yang berpotensi ialah M. Mahendran. Malangnya, belakangan ini beliau nampaknya sudah kembali menumpukan pada penghasilan karya Bahasa Tamil.
Malah, apabila saya menghubunginya semalam (8 Mei 2011), beliau mengatakan bahawa beliau tidak berkarya di mana-mana pada masa kini kerana kurang mendapat inspirasi. Saya perlu bertemu beliau dalam masa terdekat untuk memberi sedikit motivasi!
Satu-satunya pengarang kaum India yang sering menerima undangan membaca puisi di serata tempat ialah Raja Rajeswari, pengarang yang lahir menerusi Kavyan dan semakin menonjol sejak sepuluh tahun lalu. Namun, apabila bercakap secara khusus soal menggambarkan citra budaya kaum India, puisi-puisi Raja Rajeswari kurang menyumbang ke arah itu. [Rujuk di sini]
Memang terdapat ramai penulis di negara ini yang menghasilkan cerpen, sajak dan novel bermutu dalam Bahasa Tamil. Namun, saya lebih berminat terhadap karya Bahasa Malaysia kerana secara langsung, karya itu boleh dibaca, difahami, dinikmati dan dihayati semua rakyat Malaysia.
Maka, soalan yang masih wujud sejak 1970: Berapa ramai dalam kalangan kaum India yang sedia, sanggup dan mampu menghasilkan karya (fiksyen) Bahasa Malaysia yang boleh menggambarkan citra budaya dan pemikiran masyarakat India di Malaysia?
© Uthaya Sankar SB 2011. Pandangan ini disiarkan di portal berita Free Malaysia Today pada 9 Mei 2011. Ikuti perkembangan terkini penulis kaum India di Blog Kavyan.