Antara penulis kaum India yang sudah pun aktif berkarya dalam Bahasa Malaysia sebelum
saya ialah M. Mahendran. Saya mula
mengenali penulis yang berasal dari Bentong, Pahang ini menerusi cerpen-cerpennya
yang menang Hadiah Cerpen Maybank-DBP
seawal 1988. Mahendran turut menggunakan nama pena “M. Prabhu” dalam penulisan
cerpen Bahasa Tamil sejak 1987. Sebagai pengarang yang menguasai Bahasa Malaysia dan Bahasa Tamil – secara lisan dan bertulis – Mahendran berupaya berkarya
dengan selesa dalam kedua-dua bahasa berkenaan. Cerpen Bahasa Tamil yang
dihasilkannya sering menghiasai dada akhbar dan majalah manakala cerpen Bahasa
Malaysia mendapat tempat dalam majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) serta Kumpulan Media Karangkraf. Karyanya juga termuat dalam
beberapa buku bersama-sama penulis-penulis lain; misalnya antologi Vanakam (2002). Saya mula mengenali pemuda ini secara peribadi sejak
sekitar 1994 apabila beliau menghubungi saya untuk menulis sebuah rencana mengenai
saya di sebuah majalah Bahasa Tamil. Malah, Mahendran yang berbakat besar dan
sangat merendah diri adalah salah seorang individu penting yang terlibat sama
dalam mengasaskan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada 22 Ogos 1999. Namun, belakangan
ini beliau sudah jarang menulis dan perkara ini adalah amat menyedihkan dalam konteks
perkembangan sastera kebangsaan. Jumlah penulis kaum India yang mampu menyajikan budaya
kaum India menerusi karya Bahasa Malaysia tidak ramai dan tentulah amat
merugikan sekiranya Mahendran menggantung pena pada saat khidmatnya masih amat
diperlukan. - [Biodata Mahendran 2019] - [Buku Sulung Mahendran] - [SENARAI PENULIS KAUM INDIA]