14 Sept 2012

Panchayat – Reaksi Roslan Jomel


pada halaman terakhir, saya menemui bakat dan kepintaran Uthaya Sankar SB dengan membiarkan klimaks cerita yang serba misteri dan tegang itu tergantung tanpa penyelesaian. ini suatu pilihan yang bijak. ini mengingatkan saya pada beberapa karya yang sering menggunakan pendekatan sedemikian. namun, apakah teknik sedemikian berkesan, ia bergantung kepada bakat dan kemahiran seseorang penulis.


apa erti Panchayat? pengertian dan peranannya dijelaskan dalam halaman 23. di bawah pokok banyan, perbicaraan untuk mengadili sesuatu kes diketuai oleh, biasanya ketua kampung. perbicaraan itu penting sebelum sebarang keputusannya diperpanjangkan ke balai polis. dalam filem-filem Tamil, kita biasa melihat majlis perbicaraan sebegini.


Tapi, sami,” jerit Maramanden sambil tergesa-gesa menghampiri Senthamarei. “Cerita saya belum berakhir. Janji Panchayat untuk menegakkan keadilian belum ditepati.”


jika tidak silap saya, “janji ditepati” diulang hampir dua kali dalam novel ini. ulangan frasa “janji ditepati” dalam novel ini, sedikit-sebanyak membawa nuansa kontemporari yang berlaku ketika ini. dan siapakah yang tidak mengenali keperibadian Uthaya Sankar SB di luar sana? sama ada dibenci atau disuka, Uthaya Sankar SB memilih prinsip yang diyakininya. pejuang hak cipta penulis ini tahu betapa peritnya bercakap tentang kebenaran walau di mana-mana.


unsur kejutan telah lama dipraktikkan dan ia sangat relevan sehingga kini. Uthaya Sankar SB secara sengaja dan penuh keahlian, melakukan hal yang sama untuk novel Panchayat. sejujurnya ia sangat berkesan malah meyakinkan sebagai naratif sastera. malah dengan pendekatan yang mudah, novel Panchayat seharusnya membuka kesempatan kepada para pembaca untuk melihat budaya dan kepercayaan penganut Hindu melalui gambaran fiksyen. berbeza dengan novel Perempuan Nan Bercinta karya Faisal Tehrani yang lebih rumit dan sukar pertukangannya. tebal atau nipis sesebuah karya, tidak menjadi isu selagi kualitinya setara.


dalam sebuah cerpen klasik yang cukup terkenal hasil karya Kate Chopin, The Story of An Hour, sebaliknya unsur kejutan menegangkan plot cerita, menyebabkan para pembaca berasa seperti tidak percaya akan perkara yang berlaku. suasana yang bermula dengan kesuraman situasi, kepedihan dan kegelapan perasaan, tiba-tiba diletuskan oleh suatu kejutan. hari ini dan esok siapa boleh menduga? siapa berani menjangka seseorang yang dijangka meninggal dunia kemudian muncul tanpa diduga, hidup di depan mata?


When the doctors came they said she had died of heart disease - of the joy that kills.” demikian cerpen pendek klasik itu diakhiri. kegembiraan yang mengejutkan telah merenggut hayat dan bukannya ditentukan oleh penyakit. saya memang sungguh terpukau oleh cerpen klasik tersebut. ia memperlihatkan kebijaksanaan si pengarang cerita di sebalik keterbatasan ayat.


sementara dalam novel Panchayat, para pembaca harus secara perlahan-lahan mengikuti beberapa kisah dari seorang narator ke seorang narator. pada bab permulaannya, pembaca diperkenalkan dengan dua watak dominan, iaitu pasangan kembar, Raja (abang) dan Ramani (adik) yang saling sayang-menyayangi. sudah pun memiliki kekasih hati masing-masing. kemudian dalam suatu kejadian yang tidak disengajakan, ketika Ramani cuba memasukkan racun dalam tangki minuman penduduk kampung Kubur Gajah, berlaku pergelutan antara dua beradik itu. siapakah yang mati antara dua beradik yang intim hubungan batin itu? si adik atau si abang?



boleh dikatakan pasangan kembar seiras, Raja dan Ramani menjadi benang panjang dan berliku-liku sebaik sahaja plot dan cerita dikembangkan. Raja dilaporkan hilang ketika penduduk Kubur Gajah riuh oleh kehilangan berhala Kaali Devi. tanpa dijangka, dengan bijak, Uthaya menterbalikkan insiden kehilangan Raja. Lalu, siapakah yang sesungguhnya mati dan menyamar sebagai Raja di belakang hari hingga memaksa Malliga menganggap bahawa dirinya kini sudah pun menjadi balu? balu kepada bakal suami yang sudah pun diyakini mati kerana dirodok oleh tanduk lembu bernama Madurai Kaala. dan Raja secara misteri muncul semula di depan Malliga.


bermula dengan berhala kes Kaali Devi dicuri secara mencurigakan, cerita diruncingkan dengan aksi-aksi tragis. pun demikian, unsur-unsur ganas, dikawal dengan kemas apabila penulis novelnya memilih untuk menyederhanakan gaya penceritaan. menulis dengan bahasa yang mudah menjadi pilihan Uthaya Sankar SB. siapakah indivu yang tergamak mencuri dari sebuah tempat beribadat? sama ada di tokong, kuil atau surau, siapakah yang berhati busuk sanggup melakukan kecurian di tempat yang dianggap mulia oleh penganutnya? belum sempat berhala Kaali Devi ditemui, pelbagai perkara yang bertentangan dengan keluhuran Panchayat mula menghuru-harakan penduduk Kubur Gajah.


cukup di situ saya memberi gambaran novel ini. sejujurnya, novel ini pada permulaannya, mungkin kurang menangkap daya minat para pembaca. tetapi tunggu sekejap, semakin lama para pembaca menyelak helaian demi helaian, cerita bertambah menarik dan mendebarkan. kejadian-kejadian yang tidak dijangka muncul perlahan-lahan di akhir babak. kepada para pembaca yang sudah biasa dengan landskap dalam filem-filem Tamil, novel ini menawarkan kepuasan visual yang tidak kalah menariknya.


“Suatu hari nanti, awak boleh menceritakannya kepada seluruh dunia. Tapi buat masa kini, biarlah cerita awak tergantung begitu sahaja, Mamaranden. Biarlah cerita Panchayat Kubur Gajah tergantung begitu sahaja.” demikian kata Senthamarei. mengapakah Senthamarei berasa tawar hati untuk meneruskan sidang panchayat? apakah beban kesalahan emosi yang ditanggung secara psikologi dan tidak mahu didedahkannya?


dalam halaman 243, dilukiskan perasaan bersalah ketua panchayat itu;


Senthamarei memandang para penduduk Kubur Gajah seperti pandangan seorang pesalah yang akan dibawa ke tali gantung sebentar lagi. Ketua panchayat itu memandang mereka bagikan inilah kali terakhir dia akan memandang mereka semua.


lantaran, apalah ertinya perbicaraan menegakkan keadilan sekiranya keadilan itu sudah pun dihakiskan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri? ketamakan merebut harta keduniaan, kelunturan maruah diri dan kekuatan makna kasih sayang menebalkan isi cerita dalam novel Panchayat. itulah persoalan utama yang diterapkan dalam novel Panchayat. keadilan yang menjadi asas ketamadunan masyarakat berbudaya tinggi mungkin ada namun kadang-kadang boleh digelapkan oleh kelicikan manusia. perihal keadilan dari dahulu sehingga kini, kisahnya tetap sama selama mana ia dituntut. di mana-mana juga, manusia amat memerlukannya.


Biarlah orang ramai meneliti semula segala apa yang berlaku di Kubur Gajah sejak Sabtu lalu. Dan mereka sendiri boleh mengadili seadil-adilnya. Kuasa kini di tangan orang ramai, di tangan rakyat.” melalui ayat pesanan sedemikian, halaman novel Panchayat ditutup. novel ini wajar dimiliki oleh para peminat kesusasteraan di Malaysia untuk membuktikan keluasan geografi dan pengetahuan. novel Panchayat bukan semata-mata bercerita dari sudut kepercayaan dan adat resam penganut Hindu, jauh daripada itu, ia masih berbicara tentang hati nurani kemanusiaan.
   
[Roslan Jomel, 5 September 2012]