13 Sept 2012

Penulis Malaysia – 13

Setiap kali sambutan Hari Guru, sajak “Guru Oh Guru” (1979) karya Sasterawan Negara Datuk Usman Awang (Allahyarham) pasti mendapat perhatian. Selain daripada dibacakan pada majlis di sekolah, sajak penuh makna itu juga sering disiarkan semula di majalah, dijadikan poster di sekolah dan disiarkan menerusi televisyen. Sajak “Keranda 152” juga sering diperkatakan dan dilaungkan orang apabila berbicara soal bahasa. Biasanya kesemua perkara ini dilakukan tanpa mengambil kira hak cipta, hak moral dan hak royalti pengarang. Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa kesemua hak cipta karya Usman Awang dipegang dan dipelihara oleh UA Enterprises Sdn Bhd. Malah, cukup menyedihkan apabila pertubuhan penulis juga seperti sudah melupakan sumbangan arwah; khususnya pada saat waris beliau menghadapi masalah hilang hak cipta Muzikal Uda & Dara baru-baru ini. Amatlah malang jika generasi muda tidak didedahkan pada karya-karya sasterawan ini yang berjiwa Malaysia dan tidak melihat pada kaum, agama dan warna kulit. Walau bagaimanapun, agak menarik untuk diperhatikan bahawa Usman Awang terus menjadi idola dalam kalangan guru dan murid/pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. Bagi memastikan legasi Usman Awang tidak lenyap begitu sahaja, saya pernah menulis mengenai beliau di akhbar Sinar Harian (29 Jun 2009) selain menyampaikan kertas kerja mengenai karya-karya beliau (19 Jun 2010). Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) turut mengangkat sajak-sajak beliau menerusi acara “Baca Puisi Sasterawan Negara” (19 Julai 2009). Walaupun saya tidak pernah berpeluang bertemu Allahyarham semasa hayatnya, saya melakukan semua ini kerana saya amat terkesan apabila berpeluang membaca sajak “Guru Oh Guru” buat kali pertama pada tahun 1984. Semoga legasi Usman Awang tidak akan terkubur akibat kekhilafan pihak yang sepatutnya sama-sama bertanggungjawab memeliharanya. Selamat Menyambut Hari Malaysia!