13 Sept 2012

Chellam – Bahagian 7

Masa terus berlalu. Anak-anak saya semakin membesar. Walaupun kami hidup susah, semangat mereka sangat kental.
 
Mereka tidak pernah menganggap diri mereka ada kekurangan berbanding rakan-rakan yang berasal daripada keluarga yang kaya. Sebaliknya, kemiskinan keluarga kami menjadi motivasi kepada anak-anak saya untuk belajar lebih bersungguh-sungguh.
 
Saya sangat yakin bahawa anak-anak saya akan berjaya. Mereka pasti akan mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran. Saya dapat membayangkan mereka mempunyai wang yang cukup untuk membina sebuah istana!
 
Apabila anak-anak saya berjaya dalam hidup, pasti mereka akan disegani dan dihormati. Pasti anak-anak saya akan menjadi contoh kepada remaja dalam masyarakat.
 
Tentu orang ramai akan mula faham bahawa anak perempuan tidak patut dianggap sebagai pembawa sial. Sebaliknya, anak-anak perempuan juga boleh berjaya dalam hidup.
 
Kavitha mendapat gred satu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dia antara pelajar terbaik dalam Aliran Sains di sekolahnya.
 
Kogila turut mendapat keputusan yang sangat membanggakan dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR). Karpagam dan Kannama juga telah mendapat keputusan baik dalam UPSR. Mereka juga mempunyai masa depan yang cemerlang dalam pelajaran.
 
Saya dapat membayangkan istana seperti yang diceritakan oleh Karpagam dahulu. Saya bukan memikirkan kemewahan untuk diri sendiri. Sebaliknya saya membayangkan hidup kami bersama di masa hadapan.
 
“Emak, saya tidak mahu pergi Tingkatan Enam.”
 
Saya amat terkejut mendengar kata-kata Kavitha. Tiba-tiba sahaja istana yang saya bayangkan itu roboh. Musnahlah segala impian dan cita-cita saya selama ini.
 
Kalau Kavitha tidak mahu belajar, apa yang akan berlaku? Adakah adik-adiknya akan terus berminat untuk belajar atau mereka juga mengambil keputusan untuk berhenti belajar.
 
“Bukankah sudah saya kata dulu,” sampuk Selvam yang sedang berbaring kemabukan di kerusi malas. “Tak guna hantar budak perempuan ke sekolah. Tentu dia ni dah ada teman lelaki. Dia akan minta izin untuk berkahwin. Kalau awak tak benarkan, dia akan lari dari rumah dan tinggal bersama-sama lelaki itu.”
 
“Diamlah!” tengking saya dengan perasaan marah, sedih, pilu dan kecewa. “Jangan cakap yang bukan-bukan mengenai anak-anak saya. Mereka tak akan buat keputusan bodoh seperti yang saya buat di masa lalu.”
 
Selvam berkata sesuatu yang tidak berapa jelas. Dia berdiri dan berjalan terhuyung-hayang menuju ke pintu. Tentu dia akan ke kedai arak atau berjumpa penjual najis dadah.
 
“Apa yang kamu cakap ni, Kavitha?” tanya saya kepada Kavitha sambil memegang bahunya dengan penuh kasih. “Kenapa kamu tak mahu belajar lagi?”
 
Gadis berumur 18 tahun itu tersenyum. Dia memegang bahu saya pula.
 
“Emak jangan risau. Saya tidak mengatakan saya tidak mahu belajar lagi. Cuma, saya tak mahu pergi ke Tingkatan Enam,” Kavitha menjelaskan. Bersambung
 
(© Uthaya Sankar SB. Disiarkan di The Malaysian Insider pada 10 Jun 2012.)