29 Aug 2011

Media: Penulis Dizalimi, TPM Membisu

Penulis sepenuh masa dari Johor, Rohani Deraman layak menerima royalti sekitar RM55,878.50 daripada antologi Gema Sepi Gadis Genius (DBP: 2010) yang dijadikan teks Komsas bagi pelajar Tingkatan Dua.

Cerpen “Warkah Daripada Ibu” karya Rohani Deraman mula-mula termuat dalam antologi Hanya Kita Yang Tinggal (Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd: 2001) dan penulis hanya dibayar RM40.


Kemudian, cerpen sama dimuatkan dalam sebuah antologi terbitan Edu Quest Publisher pada 2007 dan penulis tidak dibayar walau satu sen. [BACA DI SINI]


Data di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menunjukkan bahawa Edu Quest Publisher pernah menerbitkan beberapa buku kanak-kanak dan remaja pada 2000, 2005, 2006, 2007 dan 2008.


Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd adalah ahli Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) tetapi Edu Quest Publisher umpama sebuah syarikat “misteri” dan tiada banyak maklumat mengenainya.


Saya selaku pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd yang “memiliki” Nur-Ilmu Sdn Bhd juga “memiliki” Edu Quest Publisher.


Pada 31 Mac 2011, Kementerian Pelajaran Malaysia sudah membuat pembayaran secara elektronik kepada para penerbit asal bagi karya-karya yang termuat dalam antologi Gema Sepi Gadis Genius.


Royalti yang dibayar kepada Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd sebagai penerbit asal bagi cerpen “Warkah Daripada Ibu” adalah RM11,175.70 dan jumlah itu hanyalah royalti bagi cetakan pertama (2010).


Sebagai sebuah penerbit yang beretika dan bermoral, Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd sepatutnya berkongsi 50 peratus daripada “untung bersih” itu bersama penulis; iaitu sebanyak RM5,587.85.


Bagaimanapun, pada realiti, berapakah “hasil” yang dinikmati oleh penulis? Hanya RM40 iaitu apa yang dibayar pada 2001. Itu sahaja!


Orang ramai mempunyai alasan munasabah untuk beranggapan bahawa Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd “mencuri” duit royalti Rohani Deraman bagi cerpen “Warkah Daripada Ibu” sebanyak RM5,587.85 setahun.


Maka, bagi tempoh 2011-2020, jumlah duit royalti milik Rohani Deraman bagi cerpen “Warkah Daripada Ibu” yang “dicuri secara licik dan terancang” oleh Penerbit Mega Setia Emas Sdn Bhd adalah RM55,878.50.


Apa yang amat menghairankan, menyedihkan, mengecewakan dan menimbulkan kemarahan adalah bahawa isu mengenai penindasan dan penganiayaan terhadap Rohani Deraman serta beberapa penulis lain sudah pun diceritakan dalam Surat Rayuan Terbuka Kepada Menteri Pelajaran pada 26 Ogos 2011.


Surat rayuan terbuka (open appeal letter) itu turut disiarkan di portal berita The Malaysian Insider, Free Malaysia Today,dan Malaysiakini dan Inside Sarawak.


Surat itu ditulis selepas Bahagian Buku Teks (BBT), Kementerian Pelajaran Malaysia serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengesahkan mereka “tidak mampu” dan “tidak boleh” berbuat apa-apa berhubung kes ini.


Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang cuba membela nasib para penulis terbabit sejak 15 Ogos 2011, mengharapkan “berita gembira” daripada Menteri Pelajaran menjelang 1 Syawal 1432.


Bagaimanapun, sehingga kenyataan media ini dikeluarkan, Menteri Pelajaran “tidak mampu” dan “belum mampu” berbuat apa-apa untuk membantu membela nasib Rohani Deraman, Amy Suzani Mohd Ainuddin (Kelantan), Hazama Harun (Kuala Lumpur), Mohd Izan Abd Hazes (Kuala Lumpur) dan Erda Roslan Khairi (Putrajaya) yang secara terang-terangan dianiaya dan dimanipulasi sekumpulan penerbit yang mempamerkan sikap tidak berwibawa, tidak beretika, tidak bermoral dan tidak berperikemanusiaan.


Malah, orang ramai mendapat gambaran seolah-olah para penerbit terbabit “lebih berkuasa” daripada Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri.


Dalam keadaan seperti ini, orang ramai juga mempunyai alasan munasabah untuk mula tertanya-tanya secara senyap dalam hati: Apalah gunanya [kuasa pada tangan] seorang Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri jika beliau tidak mampu menggunakan kuasanya dan kuasa-kuasa khas yang ada padanya untuk membela lima penulis yang dizalimi?


Tepuklah dada, tanyalah selera. – Uthaya Sankar SB