29 Aug 2011

Media: SPM 2011 Tanpa Interlok

Berikut kenyataan media presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), Uthaya Sankar SB pada 29 Ogos 2011:

Masih Boleh Ambil SPM Tanpa Interlok


1. Tidak menjadi masalah jika novel Interlok Edisi Murid (cetakan 2010) tidak digunakan langsung oleh calon SPM yang bakal menduduki peperiksaan kertas Bahasa Malaysia pada 14 November 2011.


2. Sama ada novel ini digunakan atau tidak digunakan sebagai teks Komsas pada tahun 2011, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tetap wajib memberi royalti kepada Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain bagi naskhah yang dicetak pada 2010.


3. Kenyataan media Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Januari 2011 menyebut: “Novel Interlok (edisi murid) hanya akan digunakan setelah pindaan disiapkan dan diedar ke sekolah-sekolah.”


4. Pada Jun 2011, muncul usaha menggunakan “pelekat ajaib”. Kavyan menentang sekeras-kerasnya tindakan itu yang bertentangan dengan keputusan yang dicapai dan diumumkan di Dewan Rakyat pada 24 Mac 2011.


5. Akhirnya, pada 22 Jun 2011, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi dipetik Bernama Online berkata: “kementerian buat keputusan hari ini, untuk mencetak semula.”


6. Akhbar Utusan Malaysia (22 Jun 2011) melaporkan: “pada 28 Mac lalu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz dilaporkan berkata, pihaknya tidak akan mencetak semula novel itu walaupun pindaan dibuat.”


7. Novel Interlok Edisi Murid yang dimurnikan sepenuhnya dan dicetak semula seperti dijanjikan belum lagi dihantar ke sekolah-sekolah di Zon 2 (Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya).


8. Maka, ada alasan kukuh untuk “menangguhkan” penggunaan edisi baru novel itu sehingga tahun 2012.


9. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2009 bertarikh 25 November 2009 daripada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia kepada semua Pengarah Pelajaran di Jabatan Pelajaran Negeri menyebut: “Pengagihan novel adalah mengikut zon. Walau bagaimanapun, kelonggaran diberi kepada pihak sekolah untuk memilih judul novel yang bersesuaian bagi murid sekolah berkenaan.”


10. Maka, tidak menjadi kesalahan (atau dosa) sekiranya sekolah-sekolah di Zon 2 tidak menggunakan novel Interlok Edisi Murid (cetakan 2010) pada tahun ini.


11. Kavyan yakin bahawa guru-guru di Zon 2 mempunyai kepakaran, semangat, kebolehan dan ilmu untuk membantu pelajar Tingkatan Lima meneliti novel Kembara Amira (Zon 1), Sutera Dalam Lukisan (Zon 3) atau Kabus Di Perbukitan (Zon 4) sebelum 14 November 2011.


Huraian lanjut mengenai perkara ini boleh dibaca menerusi artikel “SPM 2011 Tanpa Interlok” di portal berita The Malaysian Insider pada 29 Ogos 2011. [KLIK DI SINI]


Sekian. Terima kasih.