Hal ini juga jelas sewaktu saya berbual bersama beliau yang merupakan Penasihat Agung Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) semasa Konvensyen Penulis di Shah Alam pada 26 Jun 2011.
Umum mengetahui bahawa Pak Samad disoal polis berhubung sebuah sajak yang dideklamasikannya baru-baru ini di sebuah acara. [BACA DI SINI]
Saya yakin dan percaya bahawa Gapena, Pena, Kalam, Kemudi dan kesemua persatuan penulis di Malaysia, serta kesemua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang pernah menyertai perhimpunan di Rumah Gapena pada 15 Januari 2011 atas nama mempertahankan maruah Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain [BACA DI SINI] akan mengadakan perhimpunan besar-besaran sebagai menyokong Pak Samad yang juga seorang Sasterawan Rakyat dan Negarawan Unggul berjiwa (dan berjanggut!) putih dan bersih.
Saya juga yakin dan percaya bahawa empat Sasterawan Negara (atau kini mungkin lima dengan adanya SN ke-11) yang pernah mengeluarkan kenyataan bersama pada 8 Mac 2011 akan mengeluarkan kenyataan serupa.
“Benarkanlah penulis kita melukis kenyataan Malaysia, walau betapa pun tidak manis kenyataan itu. Kerana mereka juga berfikir bagi pihak kita, dengan sudut pandangan mereka sendiri, yang walau pun berlainan, masih diperlukan di negara yang demokratis, yang memberi kebebasan kepada sasterawannya untuk menulis, berfikir dan berpendirian. Marilah kita, rakyat Malaysia, membaca sastera dari pendekatan sastera dan menghormatinya secara wajar dan pintar, supaya darinya dapat kita kutip pemikiran dan kearifan sasterawan kita.” [TEKS LENGKAP]
Namun, saya percaya bahawa tanpa sokongan daripada mana-mana pihak sekali pun, Pak Samad akan meneruskan perjuangannya; sebagaimana beberapa perjuangan berani beliau sebelum ini. Ingat lagi Mogok Seni dan Mogok Sastera?